Sunday, December 12, 2004

SELANGOR SUDAH MAJU KATA KHIR TOYO

Ketika berucap menjunjung kasih sempena ulangtahun keputeraan DYMM Sultan Selangor semalam MB Selangor berkata Selangor tidak perlu menunggu tanggal 31 Ogos 2005 untuk diisytiharkan sebagai negeri maju oleh kerana menurut petunjuk yang ada Selangor telah pun mencapai taraf negeri maju yang dicita-citakan.

Kejayaan ini berdasarkan 75 petunjuk yang mengukur kemampuan negeri tersebut. Antaranya menurut Khir kuasa membeli per kapita menurut perbandingan bagi Selangor pada tahun 2003 adalah RM44 800 ataupun USD 11 782 berbanding dengan hitung panjang per kapita Negara maju iaitu USD 10 000.

Saya tidak pasti apakah ukuran yang dimaksudkan oleh Khir yang dipantau oleh Pusat Produktiviti Negara, UIA dan UITM itu benar-benar mencerminkan keadaan sebenar di peringkat akar-umbi di negeri Selangor atau sekadar angka bagi menyedapkan halwa telinga dan bagi bahan politik untuk berbangga dan mendabik dada sedangkan di bawah tidak demikian.

Kemungkinan kita perlu bertanya juga umpamanya pada setinggan di Kampung Medan, Kg. Penaga dan Kg. Desa Hurmat. Ukur keadaan hidup mereka yang tinggal di rumah-rumah kos murah dan rumah pangsa kos murah yang tinggi mélangit macam sarang merpati itu.

Jangan lupa mereka yang tinggal bergantung pada hasil kelapa yang sentiasa merungut biarlah buahnya di pokok sahaja.

Bulan Disember ini bulan yang paling sesuai untuk membuat kajian kerana ketika inilah ibu-bapa sedang bergelut mengumpulkan dana untuk membiayai persekolahan anak masing-masing. Rungutan yang biasa didengar, harga pakaian seragam sekolah mahal, buku dan peralatan mahal, tambang bas, tuisyen dan lain-lain yang berkaitan, cuba tanya mereka ini setujukah Selangor ini dah menjadi Negara Maju!

Pernahkah kita buat perbandingan secara menyeluruh antara pendapatan rakyat Selangor dengan pendapat rakyat di Negara maju yang lain? Maaf Dato Seri saya kurang percaya dan saya yakin saya bukan berseorangan dalam hal ini.

Kalau sekadar ada Pusat Latihan ICT di kampung-kampung, yang dikunjungi oleh anggota JKK dan anak-beranak mereka pada waktu dan ketika tertentu maka Selangor dah jadi negeri maju, susahlah sedikit nak terima. Cuba kita buat kajian juga berapa ramai anak Selangor yang terlibat dengan AH LONG berhutang kerana tak mampu nak membiayai persekolahan anak, nak melangsungkan kenduri-kendara, hendak membesarkan perniagaan kerana institusi yang sepatutnya membantu cuma memberi perhatian pada kroni dan yang ada saluran sahaja.

Saya bukannya tidak bersetuju semata-mata kerana tidak menyokong Dato Seri akan tetapi saya merasakan pengisytiharan ini sesungguhnya tidak mencerminkan nadi dan denyutan jantung rakyat negeri ini yang sebenarnya.

No comments: