DEBAT PERDANA PENGHARAPAN TINGGI RAKYAT TERHADAP PAS
Saya telah mengambil masa mengundi dalam Poll SMS Harakah yang mahu mengukur, patutkah wakil PAS terus menyertai Debat Perdana RTM. Setelah mengundi saya menerima SMS menyatakan bahawa keputusan terkini menunjukkan:
83.28 peratus menyokong patut serta
16.11 peratus mengatakan tidak patut serta
0.61 peratus tidak tahu
Isu ini telah dibangkitkan dalam program Munaqasyah Ucapan dasar Presiden ke 50 yang telah diadakan di Taman Melewar pada hujung minggu lalu. Benarkah PAS mahu tarik diri dari menyertai siri-siri debat seterusnya ataupun mahu terus kekal menyertainya?
Bagi saya pertimbangan yang harus dibuat adalah samada menyertai debat ini menguntungkan PAS ataupun tidak dari segi politik dan matlamat perjuangan. Berdasarkan keputusan poll di atas jelas rakyat jelata yang mengambil bahagian (yang sebahagian besarnya sudah pasti adalah ahli-ahli PAS) mahu PAS terus menghantar wakil dan mengambil bahagian. Sebagai parti yang menghurmati dan menghargai pandangan ramai saya kira pimpinan PAS perlu akur dengan kehendak ini yang saya yakin tidak sekali-kali bertentangan dengan syarak.
Secara peribadi saya merasakan setelah Ustaz Nasharuddin, Husam Musa, Sallehudin Ayub, Mahfuz Omar dan Dr Siti Mariah Mahmud muncul mewakili PAS di dalam siri-siri debat berkenaan PAS sudah mula dianjakkan kembali ke dalam arus perdana politik negara setelah setback pilihanraya ke 11 lalu. Kelima-lima wakil PAS berkenaan sesungguhnya telah berjaya dalam misi mereka mewakili PAS dan sekaligus memaparkan kepada ramai akhlak, hati-budi dan keterampilan pimpinan PAS yang selama ini dimomok dan diserang oleh musuh.
Malah dari feedback yang BLOG ini terima rata-rata kelima-lima pemimpin berkenaan telah jauh mendahului wakil Umno dan BN dari segi hujah dan personaliti ketika berhadapan dengan persoalan yang bertubi-tubi dari setiap penjuru. Saya dan saya yakin ramai kalangan ahli dan penyokong begitu berbangga dengan persembahan mereka masing-masing sekaligus mencerminkan kepada ramai kematangan dan kewibawaan PAS sebagai parti politik Islam yang terunggul dalam Negara.
Debat ini merupakan peluang percuma bagi PAS untuk menonjolkan dirinya kepada masyarakat ramai. Kita sering dipinggirkan dari media perdana, suara kita disekat, pandangan kita dinafikan, melalui debat ini walaupun kita diserang dari pelbagai penjuru namun rakyat yang menyaksikan insyallah dapat membuat kesimpulan dan yang lebih penting lagi terdapat ruang untuk kita bersuara secara terbuka.
PAS sewajarnya menghargai peluang terbuka ini dan bersikap proaktif menyusun pasukan kerja bagi merampas peluang yang ada. Dulu kita pernah mencabar Umno dan BN agar memberi kita walau sedikit ruang untuk muncul di kaca TV dan radio, kini peluang diberikan, maka demi Allah gunakanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya jangan hampakan harapan tinggi rakyat terhadap kita!
No comments:
Post a Comment