Monday, December 27, 2004

SHAMSIAH FAKEH RATU RIMBA MALAYA
DARI AWAS KE REJIMEN KE 10

Sekiranya disebut nama Shamsiah Fakeh berkemungkinan ramai anak-anak muda hari ini tidak mengenalinya apalagi dapat mengaitkan beliau dalam perjuangan membebaskan tanahair. Malah nama Shamsiah bagi yang mengecam atau mengenalinya pun apabila disebut maka akan digambarkan wajah seorang pengganas atau terrorist yang pernah terlibat bersama Partai Komunis Malaya PKM satu ketika dahlu sehingga mencetuskan huru-hara dalam Negara.

Bagi kita diluar Shamsiah lebih dikenali sebagai seorang yang ganas dan jahat. Inilah gambaran yang telah diasak bertalu-talu oleh penjajah British kepada kita dan inilah yang telah kita terima dan perakui melainkan bagi mereka yang rapat atau mengenalinya dengan dekat.

Lantaran itu karya beliau yang telah diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia berjudul MEMOIR SHAMSIAH FAKEH DARI AWAS KE REJIMEN KE 10 seharusnya dapat memberikan gambaran yang kontra dari apa yang telah pihak British sajikan pada kita selama ini. Apakah versi British atau versi Shamsiah yang benar, terserahlah kepada rakyat untuk membuat perhitungan. Langkah UKM menerbitkan buku ini seharusnya dipuji demi mendapatkan gambaran sejarah yang seimbang walaupun ada pihak yang mendesak agar karya ini diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Sesunggunya Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM yang ditubuhkan pada tahun 1945 di Ipoh merupakan satu-satunya parti politik Melayu yang terawal ditubuhkan di tanahair. Ia berfahaman kebangsaan progresif dan kemudiannya melahirkan sayap-sayap lain yang bersifat kiri umpamanya API atau Angkatan Pemuda Insaf yang diketuai Ahmad Boestamam dan AWAS ataupun Angkatan Wanita Sedar yang diketuai oleh Shamsiah. Memoir Shamsiah ini menghuraikan darihal penglibatan beliau dalam PKMM melalui AWAS dan pendedahan awal beliau terhadap gerakan politik tanahair.

Sesuatu yang menarik dalam bukunya adalah apabila Shamsiah mendedahkan darihal perkahwinannya dengan Ahmad Boestamam. Shamsiah menurut Memoirnya berkahwin sebanyak 5 kali dan perkahwinannya dengan Ibrahim Mohamad adalah yang terakhir baginya. Boestamam tidak pernah menulis darihal perkahwinan ini dalam mana-mana karya beliau. Menurut Shamsiah perkahwinannya dengan Boestamam terganggu dengan penahanan Boestamam oleh kerajaan penjajah British pada April 1947.

Dalam hal ini Shamsiah menyatakan betapa Boestamam telah diheret ke mahkamah atas pertuduhan menghasut melalui karya panas beliau TESTAMEN API yang telah diharamkan oleh pihak penjajah. Boetamam telah didapati bersalah dan kemudiannya didenda seribu dua ratus ringgit ataupun 9 bulan penjara. Boestamam telah membayar denda tersebut dan kemudiannya telah dibebaskan.

Menurut seorang bekas pegawai Polis yang pernah berkhidmat dengan Cawangan Khas Shamsiah sebenarnya telah mendesak Boestamam agar tidak membayar saman tersebut kerana tindakan itu akan dikira sebagai tunduk kepada British sedangkan mereka berjuang menentang British. Namun Boestamam memikirkan yang beliau lebih penting berada diluar dari dibelenggu di penjara maka keputusan Boestamam membayar denda itulah sebenarnya yang telah mencetuskan penceraian mereka kerana Shamsiah tidak dapat menerimanya. Namun dalam memoirnya Shamsiah tidak menyatakan demikian.

Apabila penjajah British mula mengekang gerakan politik Melayu yang dianggap ekstrim dan kiri, Shamsiah dan rakan-rakannya mula terasa tertekan. Penahanan Boestamam dan ramai lagi mengakibatkan API dan badan-badan gerakan kebangsaan lain kemudiannya diharamkan dan lumpuh kecuali Umno. Umno tidak diambil tindakan dan tidak seorang pun ahlinya ditahan oleh kerena menurut Shamsiah jelas parti tersebut pro penjajah malah bekerjasama pula dengan penjajah untuk menekan dan menindas golongan yang dikatakan kiri.

Akibat dari tekanan pihak penjajah yang berterusan inilah akhirnya Shamsiah membuat keputusan menurut jejak langkah rakan-rakan seperjuangannya untuk lari masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan bersenjata dari sana. Shamsiah yakin dengan tindakan ini malah kepada soalan mengapa perlu masuk hutan Shamsiah menyatakan:

Bagi orang-orang yang memperjuangkan Kemerdekaan maka tidak ada pilihan lain lagi melainkan berjuang mengangkat senjata untuk menggulingkan penjajah apabila jalan damai sudah ditutup. Bukan kita yang menutupnya tetapi penjajah British.

Sememangnya perjuangan melalui PKMM dan AWAS merupakan perjuangan demokratik secara terbuka. Namun pihak British tidak pernah selesa dengan tindak-tanduk mereka, lantaran itu pengharaman badan-badan siasah ini bagi Shamsiah dan rakan-rakan merupakan isyarat bahawa berakhirlah perjuangan melalui lunas demokrasi dan bermulalah perjuangan melalui angkat senjata.

Dalam hal ini Shamsiah menulis:

Situasi ketika itu sudah mulai tegang. Kami telah diperintahkan masuk hutan di kawasan Lubuk Kawah. Aku pun masuk hutan dan bermulalah era aku berjuang mengangkat senjata. Semangat cintakan tanahair dan Kemerdekaan serta kesetiaan kepada perjuangan telah mebuat aku teguh dan sanggup masuk hutan. Yang penting ialah mencapai Kemerdekaan. Pada fikiranku setelah Merdeka maka segala-galanya akan dapat diselesaikan.

BERSAMBUNG...

No comments: