Sunday, December 05, 2004

DEBAT PERDANA PASTI MEMBUKA MATA RAKYAT

Sekali lagi program Debat Perdana anjuran RTM berjaya diadakan secara langsung di televisyen. Kali ini ahli panelnya terdiri dari Rohani Ahmad bekas AP Parit Sulong, YB Wong Nai Chee AP Kota Melaka, Profesor Dr. M. Rajindran dari Universiti Malaya dan Dr. Siti Mariah Mahmud AJK PAS Pusat. Tajuk forum yang diberikan adalah Halatuju perpaduan kaum dan survival negara.

Seperti biasa program kali ini sekali lagi dijadikan majlis membelasah dan menyerang PAS dengan ketiga-tiga ahli panel termasuk moderatornya bertindak sebagai tukang pukul menyerang dan mengasak setiap ruang yang ada bagi tujuan memalu dan menelanjangkan PAS dikhalayak ramai.

Terus-terang saya nyatakan sesiapa sahaja yang menonton debat tersebut pasti akan bersimpati malah tak keterlaluan kalau saya katakan akan turut kagum dengan kesabaran, keberanian dan kewibawaan Dr. Siti Mariah.

Seperti biasa juga perbincangan tersasar jauh dari tajuk yang diberikan malah masing-masing ahli panel mengambil apa sahaja peluang yang ada untuk mengkritik PAS dan mengagungkan Umno dan BN.

Dari pemerhatian saya Dr. Siti Mariah telah berjaya mencuri peluang yang sangat terhad dan mengunakannya sebaik mungkin disamping mempertahankan PAS dalam waktu yang sama turut menyajikan pada perhatian awam apakah PAS itu yang sebenarnya. Saya yakin ramai termasuklah ahli-ahli panel tidak menjangkakan keupayaan wakil PAS untuk menjawab hujah-hujah mereka dan sekaligus menerangkan darihal agenda PAS kepada umum.

Contohnya apabila isu perletakkan jawatan Tok Guru Nik Abd. Aziz sebagai MB Kelantan dibangkitkan dengan tohmahan kononnya suatu tindakan yang tidak demokratik, Dr. Mariah telah mengambil peluang menerangkan darihal elemen demokrasi itu sendiri dalam pemilihan pemimpin dan lebih menarik lagi beliau berhujah mengapa harus seorang pemimpin yang baik dan tidak pernah menyalah-gunakan kedudukannya itu meletakkan jawatan.

Malah saya merasakan sikap ahli-ahli panel khususnya Dr. Rajindran dan Rohani yang menjerit-jerit dan berhujah secara lantang dengan seorang wakil wanita akan dilihat sebagai tidak gentelman malah biadap oleh orang-ramai yang menonton. Dalam hal ini kehadiran Dr. Mariah telah meninggalkan kesan yang sangat positif untuk PAS.

Hujah Rohani dan Wong adalah merupakan hujah-hujah biasa yang didengar dari mana-mana pemimpin Umno dan MCA namun hujah Dr. Rajindran yang sepatutnya mewakili golongan akademik sungguh mengecewakan. Sejurus selepas selesai debat tersebut seorang sahabat telah SMS kepada saya menyatakan wakil akademik berhujah seolah-olah mewakili Pemuda Umno! Beliau tidak sedikit pun mencerminkan dirinya sebagai seorang ahli akademik sebaliknya hujah-hujah beliau lebih emosional dan kadangkala saya rasakan sungguh keterlaluan bukannya terhadap PAS malah terhadap Islam itu sendiri.

Kesimpulannya PAS perlu banyak belajar dari peluang berdebat ini. Melalui majlis ini kita dapat melihat sikap dan pendirian sebahagian besar segmen masyarakat bukan Melayu sungguh pun mereka lebih mewakili suara yang pro Umno/BN. Ringkasnya untuk berpolitik secara lebih berkesan PAS perlu menyelami perasaan dan tuntutan masyarakat ataupun golongan ini. Demikianlah suasana politik di Malaysia. Jangan kita pandang negatif apa yang ditonjolkan oleh wakil-wakil mereka ini semata-mata kerana mereka pro Umno/BN.

Tahniah saya ucapkan kepada Dr. Mariah, masyarakat Islam berbangga dengan hujah-hujah anda dan PAS lebih-lebih lagi sewajarnya berbangga kerana memiliki pemimpin Muslimat yang seumapama beliau.

No comments: