Thursday, December 30, 2004

SINGAPURA CADANG BUKA KASINO
MALAYSIA BILA CADANG NAK TUTUP?

Selain berita bencana Tsunami yang kini telah meragut lebih 80,000 nyawa, tidak banyak berita lain yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar. Satu yang menarik perhatian saya adalah berita:

CASINO PROPOSAL SOUGHT

dalam THE STAR. Menurut laporannya kerajaan Singapura sedang menimbangkan beberapa cadangan untuk membuka operasi perjudian berbentuk kasino, yang jika dibenarkan akan merupakan kasino yang pertama di Negara pulau tersebut.

Namun keputusan belum dibuat. Malahan bantahan terhadap cadangan ini yang diterima dari warga Singapura begitu kuat sekali. Pihak pelbagai agama dan badan serta perkumpulan sivik membantah atas alasan implikasi buruk yang bakal dibawa terhadap rakyatnya apabila perjudian sedemikian besar dibenarkan. Dalam hal ini kerajaan Singapura dikatakan sedang menimbangkan kiranya kasino tersebut dibuka pelbagai bentuk larangan terhadap warga Singapura akan dikenakan khususnya bagi mengelakkan rakyatnya sendiri dari menjadi ketagih judi.

Malaysia telah memiliki kasinonya sendiri sejak dari zaman Tun Razak lagi. Walaupun orang Islam warga Malaysia dilarang berjudi namun bangsa-bangsa lain bebas keluar-masuk di kasino puncak gunung yang dibuka 24 jam itu. Menurut maklumat orang Islam tempatan yang mahu masuk boleh berpakat dengan kakitangan kasino tersebut dan sebaik saja ada pihak Jabatan Agama yang datang maka isyarat akan diberikan agar mereka lekas-lekas keluar.

Walaupun terdapat larangan yang dikatakan longgar itu namun rakyat Malaysia yang beragama Islam bebas dilantik sebagai ahli lembaga pengarahnya, membeli sahamnya di pasaran terbuka, bekerja sebagai kakitangannya dan syarikat judi gergasi ini pula pada musim-musim perayaan dibenarkan menghulurkan bantuan hasil haramnya walaupun kepada anak-anak yatim dan orang-orang tua yang beragama Islam.

Rata-rata syarikat judi yang diberi lesen oleh kerajaan Islam Hadhari Malaysia ini merupakan salah sebuah syarikat terkaya yang tersenarai di Bursa Malaysia. Bagi suku tahun ketiga 2004 sahaja pendapatannya mencecah RM1.142 billion dengan keuntungan sebelum cukai bagi 3 bulan itu sahaja sebanyak lebih setengah billion ringgit Malaysia.

Melihatkan perkembangan di Singapura ini, wajar sangatlah kerajaan Malaysia dengan hasratnya kononnya mahu menjadi Negara Islam contoh diperingkat global menimbangkan untuk menutup sahaja pusat maksiat ini. Biarlah kaki judi semua bertumpu ke Singapura, biarlah Genting sekadar menjadi pusat hiburan untuk keluarga dan tidak lagi pusat menempah tiket ke neraka.

Kalau Pak Lah mampu menyekat majlis maksiat menjelang ambang tahun baru 2005, tak mustahil Pak Lah juga mampu menutup kasino di Genting, 4 nombor ekor Magnum, Sports Toto, Pan Malaysian Pools dan lain-lain industri yang melibatkan judi dalam Negara Islam Malaysia ini. Kecualilah Umno melihat syarikat-syarikat ini sebagai sumber pendapatannya khususnya apabila menghadapi pilihanraya. Kalau demikian halnya penatlah sahaja kita berdoa dan solat hajat sebagaimana saranan Pak Lah bila menghadapi bencana Tsunami, sedangkan punca bencana yang besar seperti industri judi yang dikutuk dan dilaknat oleh Allah swt ini terus dipupuk dan dibela bagai menatang minyak yang penuh.




No comments: