Wednesday, June 20, 2007

Sokong memorandum MTUC

Presiden MTUC Sdr Syed Shahir Syed Mohamud baru-baru ini telah menyerahkan memorandum kesatuan tersebut kepada Pejabat Perdana Menteri berhubung tuntutan agar gaji minima para pekerja disektor swasta dalam negara ditetapkan pada kadar RM900 sebulan disamping diberikan Elaun Kos Hidup (COLA) sebanyak minima RM300 sebulan.

Tuntutan ini dibuat memandang kos hidup rakyat dalam negara ini semakin tinggi sejak kebelakangan ini khasnya setelah kenaikan kos barangan dan perkhidmatan yang tinggi yang rata-rata membebankan rakyat kebanyakkan. Disektor awam pihak kerajaan telah cuba meringankan bebanan ketara ini dengan mengumumkan kenaikkan gaji setinggi 35% dan pertambahan COLA setinggi 100% bermula 1 Julai ini.


Menurut MTUC adalah wajar dengan kenaikan gaji sektor awam ini maka lebih 8 juta warga pekerja di sektor swasta juga diringankan bebanan masing-masing dengan pihak kerajaan bersetuju menetapkan gaji minima dan COLA sebagaimana dituntut mereka itu.

Sesungguhnya kerajaan perlu mengiktiraf sumbangan besar para pekerja sektor swasta yang telah bersama-sama rakan-rakan mereka disektor awam menyumbang ke arah kemajuan dan kesejahteraan negara sejak kemerdekaan negara 50 tahun lalu.

Menurut kajian pihak MTUC walaupun beberapa sektor perindistrian telah mencatatkan keuntungan yang besar namun kebanyakkan pekerja disektor ini masih dibayar gaji yang di bawah paras kemiskinan. Antaranya di sektor perladangan, tekstil, perhotelan, galian dan perkilangan, masih ada warga kerja di sektor-sektor berkenaan yang dibayar gaji bulanan antara RM290 ke RM600 sebulan.

Bagimanakah mereka ini akan mampu hidup dan menguruskan keluarga masing-masing dalam keadaan bebanan kos hidup yang begitu besar berbanding dengan gaji sekecil ini?

Menurut memo pihak MTUC itu gaji minima RM900 itu diperolehi berdasarkan kajian yang dilakukan pada tahun 2000 iaitu kira-kira 7 tahun yang lalu. Pihak MTUC telah tanpa gagal mengemukakan tuntutan ini kepada pihak kerajaan, malangnya sehingga kehari ini ianya tidak dilayan dengan sewajarnya oleh pihak yang berkenaan.

Menurut Sdr Syed Shahir kiranya pihak kerajaan tidak mengendahkan tuntutan mereka ini maka pada 25 Jun ini pihak MTUC akan menganjurkan piket besar-besaran peringkat kebangsaan di seluruh negara bagi melahirkan keseriusan mereka dalam perkara ini.

Secara peribadi saya merasakan layak sangatlah tuntutan pihak MTUC ini dikaji dan dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Isu ini melibatkan kaum pekerja yang merupakan tulang belakang kemajuan dan kemakmuran negara. Tuntutan yang dikemukakan pun bukanlah sesuatu yang luar biasa malah tidak pun melampaui apa yang telah dianugerahkan kepada sektor awam.

Kalau benar kita mahu melangkah maju, maka patikanlah juga nasib dan kebajikan rakyat kita terbela dan terpelihara. Apa guna negara sahaja yang maju tetapi rakyatnya merempat di bawah paras kemiskinan!?

No comments: