Friday, June 15, 2007

Jauhnya kita bermimpi (dari 2020 ke 2057)

Kalau saya dibenar mengelamun, jika ditakdir Allah swt panjang usia saya, maka pada tahun 2057 iaitu 50 tahun dari sekarang saya akan tua dimakan usia, iaitu menjangkau 90an tahun. PM Dollah Badawi jika masih hidup (pasti bukan lagi PM ketika itu) akan berusia 118 tahun.

Sebenarnya secara peribadi tidak pernah pun terdetik difikiran saya untuk mengelamun begitu jauh sekali jangkauannya.

Malaysia menurut bekas PM dahulu Tun Dr Mahathir dijangka mencapai status negara maju pada tahun 2020. Iaitu kira-kira 13 tahun dari sekarang (saya mungkin masih hidup ketika itu kalau dizinkan Allah). Bermakna ketika itu taraf ekonomi dan taraf hidup negara setanding dengan negara-negara maju yang lain umpama di Barat atau sekurang-kurangnya Singapura.






Belum pun habis rakyat mengelamun akan tibanya tahun 2020 itu, tiba-tba PM Dollah Badawi membuka mimpi baru. Dalam akhbar hari ini Dollah mengulangi jangkauan yang lebih jauh lagi iaitu 2057, tatkala beliau nanti akan berusia 118 tahun sebagaimana saya sebutkan di atas tadi!

Kata Dollah pada tahun 2057 nanti Malaysia akan melahirkan pemenang hadiah Nobel, syarikat yang benar-benar global, dihormati dan memasarkan jenama terkenal, mempunyai penyair dan artis diiktiraf dunia, memiliki paten saintifik terbesar di dunia, ahli sukan terkemuka, malah skuad bola sepak terbaik di Asia.

Tambahnya lagi, pelajar dan profesor negara ini pula akan menguasai universiti terkemuka dunia, manakala universiti tempatan akan menjadi pusat kecemerlangan untuk cendekiawan antarabangsa. Kita akan menjadi perintis tenaga alternatif, lahir daripada kelebihan kita dalam biofuel. Bandar raya kita paling ceria dengan gabungan kemudahan kosmopolitan yang bertunjangkan masyarakat adil dan bertolak ansur.

Saya hairan kenapa kita tidak boleh beri tumpuan kepada 2020 sahaja yang semakin hampir dalam jangkauan. Kenapa Malaysia tidak boleh cemerlang, gemilang dan terbilang pada 2020 nanti? Apa perlu kita bercakapa dan mengelamun tentang sesuaut yang terlalu jauh sedangkan apa yang dirancangkan pada 2020 belum pun dapat dirasai?

Biarlah telur yang ada ini menetas dahulu, sebelum kita menanti-nanti untuk mengeramkan telur yang baru. Pepatah Inggeris mengatakan jangan dihitung anak ayam pada telur yang belum menetas, ini bukan lagi menghitung, telur pun tidak nampak bayang lagi?!

(Untuk rekod: Abdullah pertama kali mengumumkan Misi 2057 selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) 12 Mac lalu, sebagai kesinambungan Wawasan 2020 bagi memastikan rakyat terus membangun mengikut acuan sendiri selepas Malaysia menjadi negara maju.)

No comments: