Tuesday, August 01, 2006

Menantu nak boikot Pak Mertua kata jangan

Satu dua hari ini saya lihat negara seolah ditadbir oleh sebuah keluarga. Baru-baru ini Poland melantik kembar seiras sebagai Perdana Menteri dan Presidennya, satu rekod untuk dunia, dimana saudara kembar menjadi orang nombor satu dan dua negara.

Di Malaysia orang nombor satu dan orang yang DIJULANG sebagai nombor dua, kedua-duanya sekeluarga juga. Seorang bapa mertua dan seorang menantu, begitulah kira-kiranya.

Dua hari lepas si menantu mengumumkan pada dunia bahawa pergerakan pemuda yang beliau merupakan orang nombor duanya (walaupun kelihatana bagaikan nombor satu sahaja) akan menyenaraikan jenama-jenama produk dan syarikat-syarikat antarabangsa yang beroperasi di Malaysia tetapi diketahui menyokong dan menyumbang bantuan kewangan kepada regim Zionis Israel.

Senarai ini nanti akan dipamirkan dan diumumkan untuk pengetahuan seluruh rakyat Malaysia dengan harapan barangan-barangan dan syarikat-syarikat itu nanti akan diboikot dalam rangka kita menuntut keadilan untuk rakyat Palestin dan Lubnan yang diserang dan dibunuh secara ganas orang regim haram itu.

Belum pun sempat kering tuntutan menantu PM itu, Menteri Luar Syed Hamid terus mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan itu. Maklumlah ianya datang dari menantu PM, takkanlah nak tentang pula!

Kata Syed Hamid:

Pemuda mempunyai hak dari segi politik untuk melakukannya terutama dalam suasana yang tidak tenteram di Asia Barat. Selain itu kita juga tidak menjalin perdagangan dengan Israel.

Tiba-tiba semalam sebagaimana disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini, bapa mertua si menantu tadi mengeluarkan kenyataan menolak bantahan itu.

Kata si bapa mertua:

Kita jangan cakap besar kerana bila hendak melaksanakannya kita akan menjadi teruk, terpaksa berpatah balik, kerana ini akan membebankan.

Menurut UTUSAN:

Perdana Menteri berkata cadangan sesetengah pihak untuk memboikot barangan dari kedua-dua negara itu perlu difikir semasak-masaknya kerana masalah yang akan dihadapi di kemudian hari adalah rumit.(yang tersepit Syed Hamid, sekarang bagaimana/)

Saya cadangkan perselisihan pendapat bapa mertua dan menantu seumpama ini selesai sahaja di dapur rumah. Janganlah sampai perlu didedahkan kepada orang-ramai sebegini rupa. Sebab kalau bapa mertua dan menantu sudah tak sehaluan, susah negara nanti. Kalau tingkat empat dah tak sehaluan dengan tingkat lima, yang susah rakyat jelata juga(termasuklah Syed Hamid yang tidak sabar-sabar mahu mengampu itu, saya sokong, saya sokong: Meminjam kata-kata Tun Dr M)

Kempen boikot barangan dan syarikat berkaitan Israel ini sebenarnya telah lama dilakukan. Ianya boleh dilayari di http://www.inminds.co.uk/boycott-israel.html . Dan saya difahamkan Tuan Hj Azmi Abd Hamid (Presiden TERAS) dan Hj Mahfuz Omar (IMPAK) serta beberapa NGO lain akan melancarkan GAZA (Gerakan Anti Barangan Zionis dan Amerika) bagi tujuan yang sama.

Dalam pada bapa mertua dan menantu bertelagah, rakyat jelata yang prihatin tidak perlu menunggu keluarga yang CONFUSED itu. Kita masing-masing tahu dan melihat kezaliman dan keganasan regim haram Zionis Israel itu, terhadap saudara-saudara kita di Lubnan dan Palestin, kita tidak perlu pasangan bapa mertua dan menantu itu untuk bersetuju atau tidak bersetuju, demi solidariti kita dengan saudara-saudara kita itu insyallah ayuh kita pulaukan barang-barang dan syarikat-syarikat ini.

Ia mungkin satu tindakan yang kecil namun sekurang-kurangnya kita tidak memberi saham untuk digunakan oleh musuh-musuh Allah bagi membunuh saudara-mara kita sendiri.



(Sementara itu menurut Jeff Ooi dan beberapa blogger yang lain, ECM Libra Avenue yang kini dimiliki oleh si menantu itu sendiri sebenarnya juga ada kepentingan dalam syarikat yang mendokong perjuangan haram Zionis itu. Menurut maklumat Pantai Holdings Berhad memiliki kepentingan di dalam Avenue Resources yang kini telah diambil-alih oleh si menantu dan rakan-rakannya.
Syarikat induk Pantai iaitu Parkway Holdings Singapura turut dimiliki oleh seorang warga Amerika bernama Richard Blum yang dikenali dunia sebagai seorang penyumbang aktif kepada regim Zionis Israel. Isteri beliau ialah seorang senator Kongres AS iaitu Senator Dianne Feinstein, seorang pelobi kuat Israel. Oleh itu boikot juga syarikat si menantu itu!)


No comments: