Saturday, August 05, 2006

Kenyataan Ka Ting berbau perkauman

MCA adalah sebuah parti kaum Cina. Tetapi bolehkah MCA diberi lesen untuk melontarkan mesej dan perjuangan perkauman khususnya dalam negara Malaysia yang berbilang kaum ini.

Semalam semasa merasmikan Konvensyen MCA Kelantan di Kota Bharu Presiden MCA itu telah meningatkan ahli-ahlinya di Kelantan agar menebus kembali kerusi DUN Kota Lama dari tangan PAS. Pada pilihanraya 1999 kerusi tersebut yang diperuntukkan oleh BN kepada mereka telah dirampas oleh PAS.


Antara Annuar & Ka Ting

Calon PAS tersebut iaitu Dato Annuar Tan, terus mempertahankan kerusi tersebut pada pilihanraya umum baru-baru ini dan merupakan satu-satunya EXCO Kelantan yang berbangsa Cina dalam kerajaan PAS pimpinan Tok Guru Nik Abd Aziz.

Dalam keghairahan beliau memotivasi ahli-ahli MCA agar merampas kembali kerusi itu Ka Ting dilaporkan sebagai berkata:

Only the MCA understood the plight of the Chinese in Kelantan.

Hanya MCA yang mengetahui akan masalah masyarakat Cina di Kelantan.


Bagi saya ini merupakan satu kenyataan yang berbau perkauman dan sangat songsang terutama dalam amalan Barisan Nasional sendiri. Beliau seolah-olah cuba menggambarkan yang hanya masyarakat Cina yang layak mewakili bangsa mereka sendiri. Beliau lupa atau buat-buat lupa bahawa Annuar Tan itu sungguhpun seorang Islam tetapi bukannya berbangsa Melayu. Lalu kalau benar pengundi di Kota Lama hanya layak diwakili oleh kaum Cina, mereka sudah boleh berpuas hati kerana ADUN mereka kini adalah dari kaum mereka walaupun bukan dari parti MCA.

(Selain itu beliau juga barangkali buat-buat lupa bahawa kerusi DUN Kota Lama itu sebenarnya cuma memiliki 37% pengundi Cina dan lebih 60% pengundi Melayu!)

Kalau demikianlah rasional yang cuba dibawa oleh Presiden parti kedua terbesar dalam kerabat BN itu maka bagaimana pula dengan wakil-wakil MCA yang lain yang memenangi kerusi majoriti Melayu? Bagaimana dengan wakil-wakil parti komponan yang lain yang bertenggek atas ihsan majoriti pengundi Melayu?

Bagaimana dengan kerusi parlimen Alor Setar yang diwakili Chor Chee Heung dari MCA yang pengundi Melayunya berjumlah lebih 58%? Kuantan juga 58%? Alor Gajah lebih 55%, begitu juga Ayer Hitam dan banyak lagi.

Kalau hanya orang Cina yang layak mewakili kaum Cina maka orang Melayu juga akan menuntut bahawa kerusi yang mereka majoritinya hanya diwakili bangsa mereka dan begitulah berikutnya. Terkini di Pulau Pinang Pergerakan Pemuda Umno di sana sedang menuntut agar kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang digilir-gilirkan antara parti-parti komponan di sana.

Demikianlah hakikatnya, dimajlis-majlis terbuka parti-parti komponan BN samada Umno, MCA, MIC dan lain-lain akan berlakon seolah merekalah yang memiliki formula perpaduan kaum yang terbaik. Tetapi hakikatnya bila berkumpul sesama mereka, masing-masing akan menzahrikan taring perkauman masing-masing sebagaimana yang dilakukan oleh Ka Ting di Kota Bharu ini.

Rakyat jelata perlu lebih berhati-hati dan berwaspada. Malaysia tidak ada tempat untuk mereka yang mempelopori politik perkauman yang ekstrim dan ultra. Kalau Umno, MCA, MIC dan lain-lain merupakan pengamalnya, maka eloklah kita fikir-fikir untuk membuat perubahan.

No comments: