Saya akan terus berkarya insyallah
Saya menerima banyak sms, email dan panggilan telefon berkenaan perkembangan ini, tidak ketinggalan juga komen yang diberikan oleh para pengunjung BLOG ini. Isunya adalah berkenaan ura-ura kerajaan mahu mengawal ataupun mengambil tindakan terhadap mana-mana BLOG ataupun laman web yang dikatakan terlibat dalam penyibaran fitnah dan hasutan.
Ramai yang memberi perangsang dan tidak kurang juga yang menasihatkan agar saya berhati-hati. Terima kasih.
Saya sekadar blogger picisan kalau nak dibandingkan dengan blog dan laman web yang gergasi umpama Malaysiakini, Malaysia Today, Jeff Ooi, Laman Marhaen, Umno Reform, Tranungkita. Agendadaily dan lain-lain. Barangkali saya tidak terlibat dalam amaran pihak kerajaan itu, dan yang lebih perlu berhati-hati dalam hal ini rasa saya adalah gergasi-gergasi yang saya sebutkan itu.
Namun apa pun, tulisan yang saya terbitkan di sini merupakan idea dan pandangan peribadi saya. Saya tidak dibayar oleh mana-mana pihak dan saya juga tidak diarah atau dipengaruhi mana-mana pihak.
Saya sekadar mengamalkan hak kebebasan saya yang dijanjikan oleh Perlembagaan Negera. Iaitu hak untuk bersuara.
Apa yang saya tulis mungkin tidak dipersetujui oleh pihak-pihak tertentu, mungkin tidak dapat diterima, mungkin tidak disenangi, mungkin melawan arus. Walaubagaimanapun saya yakin dan percaya ianya tidak langsung memiliki sebarang unsur fitnah ataupun hasutan.
Saya seorang yang cintakan kebenaran dan keadilan. Saya mahu memastikan negara ini dipimpin oleh mereka yang bertanggungjawab kepada rakyat dan Allah swt. Kalau pun saya menulis mengkritik pimpinan, mana-mana parti atau mana-mana pihak ianya bermaksud untuk menonjolkan kebenaran. Tujuannnya agar rakyat akhirnya dapat membuat perubahan melalui kaedah yang dibenarkan undang-undang.
Saudara tak takut ke?
Ada yang bertanya. Memang kalau hasil tulisan saya ini dilihat sebagai satu ancaman, dilihat sebagai sesuatu yang mampu menggugat ketenteraman dan keselamatan negara, sudah pasti sebagai manusia biasa akan terdetik juga perasaan takut dan bimbang akan kemungkinan diambil tindakan dan seumpamanya.
Namun saya yakin tulisan-tulisan saya tidak begitu. Malah kalau ada pun motif tertentu, ianya sekadar bermaksud mahu mengajak rakyat membuat perubahan. Kalau itu pun dikira satu ancaman, maka saya berlepas diri. Saya insyallah selagi diberikan kesihatan dan kemampuan oleh Nya akan terus menulis dan menulis. Saya bukannya seorang yang berani atau keras kepala, namun demi mempertahankan hak untuk berkarya sebegini saya sanggup memikul risikonya kalau terpaksa. Semoga Allah swt melindungi kita semua.
No comments:
Post a Comment