Thursday, August 03, 2006

Jenayah menghancurkan budaya kita

Hakikatnya keadaan jenayah semakin memuncak sejak kebelakangan ini. Kes-kes jenayah berat umpama rogol, rompakan bersenjata, pembunuhan, penyeludupan dadah berlaku hampir saban hari dengan kadar yang sungguh membimbangkan.

Dimanakah puncanya?

Mungkinkah kerana kurangnya anggota polis yang memantau, sebagaimana yang dilahirkan oleh Perdana Menteri semalam:



Pak Lah mengambil perhatian perkara itu dan sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan lebih ramai anggota polis, lebih banyak kereta polis membuat rondaan.

Tetapi polis sekadar agensi penguatkuasa. Takkanlah kita nak melahirkan ribuan anggota polis sehingga nisbahnya 1 anggota 50 rakyat biasa, sudah pasti ianya sesuatu yang mustahil dan tak masuk akal. Itu kita belum mengambil kira masalah dalaman pihak polis sendiri, contohnya anggota dan para pegawai yang terlibat dengan rasuah.

Saya kira bilangan kekuatan anggota polis bukan puncanya.

Masalah sebenar berpunca dari kesilapan kita sendiri. Kita bimbang pada kadar jenayah yang tinggi tetapi dalam waktu yang sama kita menternak ataupun meyediakan kemudahan untuk aktiviti jenayah ini tumbuh dan subur,

Umpama mahu membenteras nyamuk aedes tetapi rumah penuh dengan tempat-tempat takungan dan pembiakan nyamuk.

Kita budayakan masyarakat dengan kebebasan yang berlebihan, gaya hidup yang longgar dan kononnya liberal. Kita perkayakan program-program hiburan yang keterlaluan. Kita taja, pupuk dan belai industri dan aktiviti mungkar seluas-luasnya. Kita buka seluas-luasnya pintu pagar untuk kemasukkan budaya dan pengaruh asing yang liar dan sesat.

Perlakuan sumbang dan tidak senonoh sudah tiada pengawalnya.

Selain itu masyrakat semakin terhimpit dengan kesempitan kewangan lantaran kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Peminjam-peminjam wang (Along) kita biarkan subur tanpa kawalan dan pantauan.

Lalu dalam keadaan seumpama ini, apa yang boleh kita harapkan? Masyarakat hidup dalam enviromen yang bebas, liar dan liberal. Aku mahu kaya dan senang cepat tidak kira apa cara. Aku mahu dapatkan sesuatu tidak kira bagaimana.

Dan dalam pada itu agama kita letakkan di kaki lima. Program dan aktiviti agama dilihat sebagai menghalang kemajuan, membuang masa. Tuntutan agar kembali kepada agama kita anggap sebagai suatu tuntutan ekstrim, malah kita lahirkan pula sesuatu yang baru, yang pada anggapan kita lebih terbuka dan liberal, lebih Hadhari.

Lihatlah keadaan kita hari ini. Pembunuhan, perkosaan, sumbang mahram, penipuan, rasuah, salahguna kuasa, salahguna dadah, rompakan, samun berlalu macam sesuatu yang biasa.

Selesaikah masalah kita dengan lebih ramai anggota polis dan kereta peronda?

No comments: