Tuesday, August 29, 2006

Umno bagaikan bahtera senget yang pasti karam

Tun Dr Mahathir mendakwa Umno tidak beri peluang untuk beliau bersuara. Ahli-ahli tidak berkesempatan untuk mendengar penjelasan dari beliau, lebih-lebih lagi mengenai siri-siri kritikkan beliau terhadap PM Dollah Badawi dan kaum keluarganya.

Lalu beliau membuat keputusan untuk bertanding sebagai perwakilan Umno ke Perhimpunan Agung parti itu yang dijadualkan pada bulan November nanti. Umno bahagian Kubang Pasu dijadualkan bermesyuarat agung pada 9 September ini. Setakat ini menurut Malaysiakini gandingan Tun dan anaknya Mukhriz mendapat pencalonan tertinggi dari cawangan-cawangan. Dari 136 cawangan Tun mendapat 79 pencalonan.



Mengapa Umno seolah mahu menghalang Tun?

Tun dijemput merasmikan mesyuarat-mesyuarat agung bahagian-bahagian, namun MT Umno membuat keputusan cuma ahli-ahli MT dan Menteri-menteri Umno sahaja dibenarkan meresmikan mesyuarat-mesyuarat agung tersebut. Lalu Tun tidak dapat bersuara.

Kini cuma tunggal satu cara untuk beliau iaitu bertanding sebagai perwakilan. Itu pun pelbagai pihak telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan negatif. Malah kalangan pimpinan bahagian Kubang Pasu pun seolah panik dengan mendakwa bahawa walaupun jika Tun berjaya sebagai perwakilan, belum tentu beliau akan dibenarkan bercakap kerana keputusannya terletak pada Perhubungan Negeri Kedah!

Sah para pimpinan Umno mahu menghalang Tun dari bersuara.

Saya kira kalau Tun berjaya sebagai perwakilan itu sudah dikira satu kejayaan besar setelah seluruh pimpinan Umno mengeluarkan pelbagai kenyataan negatif terhadap langkah beliau itu.

Kalau Tun berjaya ke PWTC November ini, ianya suatu tamparan hebat kepada Dollah. Tambah lagi jika Tun dikekang dari bersuara, ketika itu dunia akan berpusat di PWTC, dunia akan lihat betapa Pengerusi OIC, cuba menghalang bekas ketuanya dari bersuara. Bayangkan implikasinya ketika itu! Dan bayangkan pula jika Tun dibenarkan bersuara, mungkinkah para perwakilan Umno nanti akan memberikan reaksi positif dan terus melakukan coup de tat terhadap Presiden mereka?!

Apa pun terbukti Umno kini sudah tidak mampu mengawal urusan rumah tangganya lagi. Sejak Tun meletakkan jawatan digantikan dengan Dollah rumah tangga Umno sudah tidak aman lagi.

Orang Melayu perlu membuat keputusan apakah mereka tiada pilihan lain lagi? Apakah mereka perlu karam bersekali dengan bahtera Umno yang sudah senget dan menunggu masa untuk menjadi tukun di lautan dalam itu?

Kita sudah 49 tahun Merdeka. Kita sudah matang dan dewasa berpolitik. Kita dan bukannya Umno yang menentukan nasib dan jatuh bangun negara ini. Jika Umno sudah demikian rupa, dijangkiti rasuah yang parah, kronisma dan nepotisma terus bersarang, kebenaran mahu disekat, kebatilan mahu ditegakkan,maka tiba masanya untuk umat Melayu berfikir semula. Ayuh bangun dan berani membuat keputusan. Bukan semestinya Umno sahaja yang memimpin kita, jika mereka sudah terbukti parah dan tidak mampu kebah lagi maka eloklah kita mencari yang alternatif, demi menyelamatkan agama, bangsa dan tanahair yang tercinta ini.

Tun Dr Mahathir yang mereka sanjung dan julang satu ketika dahulu pun kini mereka maki hamun dengan serapah dan nista. Bermakna adat dan kesopanan Melayu pun sudah mereka gadai dan korbankan.

Ini sesungguhnya isyarat bagi satu kumpulan yang lemah walaupun besar dan ramai keanggotaannya. Anak menantu mengaut kekayaan dan tempat dibiarkan bebas tanpa tindakan, anak bangsa merempat dengan tekanan kos hidup yang memuncak tiada siapa yang membela.

49 tahun ini suatu jangka masa yang panjang. Berilah peluang kepada yang ikhlas dan yang bertaqwa untuk memimpin dan memandu kita kali ini. Cukuplah yang lepas-lepas, Tun saya pasti akan menemui kegagalan kerana Umno kini sudah tiada lagi tempat untuk suara yang menentang. Kita sahaja yang tinggal untuk membawa panji-panji kebenaran ini, jangan gagal lagi kali ini.

No comments: