Wednesday, August 23, 2006

Bersatu Pemuda Malaysia

Semalam saya menyiarkan gambar dan berita bagaimana Tok Guru MB Kelantan berada dalam satu majlis dengan PM Dollah Badawi di Kelantan. Masing-masing penuh ceria dan gembira.

Tujuan saya memaparkan berita itu adalah untuk menyatakan betapa indahnya jika datang satu hari dimana segala perbezaan politik dapat diketepikan dan semua pihak bersatu atas nama keadilan dan kebenaran. Memartabatkan Islam. Mempertahankan agama, membela bangsa dan tanah air.



Ada yang bersama-sama saya mengimpikan hari itu dan ada juga yang tidak (sebagaimana komen-komen yang saya terima terhadap artikel tersebut)


Semalam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, suatu lagi majlis yang sungguh bersejarah telah dianjurkan. Atas inisiatif DBP telah dihimpunkan Ketua-ketua Pemuda parti-parti politik seluruh negara, dari Umno, PAS, MCA, MIC, Gerakan, DAP dan PKR berhimpun atas platform Perhimpunan Gabungan Pemuda Malaysia. Tema perhimpunan tersebut adalah:

Hargai kemanusiaan, kembalikan kemanan

Membincangkan khusus tentang konflik di Lubnan dan Palestin.

Maka berucaplah Shamsul Iskandar dari PKR, YB Datuk Liow Tiong Lai dari MCA, YB Nga Kor Ming dari DAP, S. Ramis dari MIC, Mah Siew Kong dari Gerakan, YB Salahuddin Ayub dari PAS dan Dato Hishamuddin Tun Hussien dari Umno.

Saya kira selepas Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor dan Tun Dr Mahahtir Mohammad berucap atas pentas yang sama beberapa tahun dahulu, inilah kali pertama pimpinan pemuda dari pelbagai parti pembangkang dan kerajaan pula boleh berucap dalam satu forum yang sama.

Jelas dalam hal ini Salahuddin dan Hishamuddin telah berjaya mempamirkan kematangan politik masing-masing dalam membicarakan isu yang sungguh besar dan sensitif terhadap umat Islam dunia dan negara kita Malaysia. Malah telah diisytiharkan bahawa Salahuddin dan Hishamuddin akan bersama-sama ke Beirut bagi membawa misi kemanusiaan dan menyatakan kepaduan sokongan Pemuda dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan mereka dan penentangan terbuka kita terhadap regim haram Zionis Israel itu.

Mudah-mudahan pemuafakatan ini adalah pemuafakatan permulaan, yang akan disusuli dengan pemuafakatan terhadap isu-isu lain yang menyentuh kepentingan rakyat, agama dan bangsa di Malaysia.

Dan mudah-mudahan kemesraan yang ditunjukkan antara Salahuddin dan Hishamuddin itu atas nama kemanusiaan dapat menjalar pula kepada isu-isu lain sehingga berjaya membentuk sebuah negara yang aman, yang hormat-menghormati, yang taat dan patuh pada agama, yang adil dan saksama, bebas dari rasuah dan penyelwengan serta benci kepada segala bentuk penindasan dan kezaliman.

Memanglah ramai skeptics yang akan menyatakan sebagaimana aksi Tok Guru dan Dollah semalam, bahawa Salkahuddin dan Hishamuddin sekadar mencuri kesempatan dari isu yang berada di depan mata. Saya tidak boleh menghalang mereka untuk berpandangan demikian sebagaimana mereka juga tidak boleh menghalang saya dan saya yakin ramai seperti saya yang inginkan kesudahan yang baik pada kemelut politik di tanahair tercinta ini. Mungkin ianya suatu impian yang terlalu jauh, terlalu besar, namun yang penting ianya perlu diusahakan dengan ikhlas dan jujur, tiada yang mustahil insyallah.

No comments: