Thursday, August 31, 2006

Merdeka 49 tahun

Saya bersyukur kerana menghuni dalam sebuah negara yang bebas merdeka. Tidak lagi dibelenggu penjajah. Tidak lagi dicucuk hidung lalu ditarik ke sana ke mari oleh mereka.



Perjuangan menuntut kemerdekaan ini penuh dengan ranjau dan duri. Ada diantara mereka yang terdahulu telah terkorban ada yang berjuang dengan darah dan air mata, ada yang telah merengkok dalam tahanan penjajah British, Jepun dan kemudiannya British sekali lagi.

Tunku Bapa Kemerdekaan, namun jangan pula kita lupa akan pengorbanan mereka yang selain Tunku. Jangan lupa jasa Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Mokhtaruddin Lasso, Ibrahim Hj Muhammad, Almarhum Ustaz Abu Bakar al Baqir dan ramai lagi.


Dr Burhanuddin

Kini kita telah semakin matang dan berusia. 49 tahun bukannya satu tempoh yang singkat.

Walaubagaimanapun, dalam keadaan merdeka, kehidupan rakyat masih belum selesa. Kita mungkin telah jauh maju dan membangun berbanding tahun 1957 dan sebelumnya, namun kemerdekaan dalam erti kata sebenar masih jauh dan belum dapat dinikmati sepenuhnya.

Kebebasan bersuara masih disekat-sekat, rakyat yang berhimpun secara aman untuk protes dibelasah sehingga tercedera. Akhar-akhbar masih belum bebas malah terikat dengan kehendak satu pihak, tiada pandangan alternatif.

Kos hidup rakyat semakin tinggi, pendapatan rakyat masih rendah. Negara telah diurus oleh anak bangsa lebih 49 tahun, namun anak bangsa yang kebanyakkan masih hidup susah dan tertekan.

Harga minyak mahal, harga barangan tinggi, kos pendidikan lanjutan meningkat, kos pengangkutan lain termasuklah tol terus membakar lubang dikocek rakyat.

Dan dalam pada itu kalangan pimpinan terlibat dengan rasuah, kronisma dan nepotisma. Kadar jenayah semakin mencacak naik kerana tiada kawalan terhadap unsur-unsur dan gejala maksiat.

Dan yang paling menyayat hati dalam 49 tahun merdeka ini ada kalangan anak bangsa telah secara terbuka mengisytiharkan meninggalkan Islam untuk menerima agama lain. Lebih malang anak bangsa yang diberi amanah memimpin dan memerintah seolah tidak berdaya membendung gejala ini.

Kerana itu walaupun saya berbangga negara telah 49 tahun merdeka, saya masih belum berpuas hati dan mengharapkan rakyat jelata akan meneliti semua kekurangan ini dan akhirnya bangun sederap dan selangkah secara berani untuk membuat perubahan demi agama,bangsa dan tanahair.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

No comments: