Tuesday, August 22, 2006

Apabila Dollah dan Tok Guru bermesra

Akhbar THE STAR meletakkan gambar besar PM Dollah Badawi bermesra dengan MB Kelantan Tok Guru Nik Abd Aziz, dengan gambar menunjukkan Dollah menyerahkan seulas pisang kepada Tok Guru, dua-dua tersenyum mesra. Manakala dalam akhbar UTUSAN dimuatkan pula gambar Dollah memimpin Tok Guru untuk turun dari pentas VIP.



Kita tolak tepi isu perbezaan politik, saya berani mengatakan seluruh rakyat Malaysia khasnya yang berbangsa Melayu/Islam akan merasa sejuk dan terhibur melihat gambar kedua-dua tokoh ini dalam keadaan demikian. Malah barangkali rakyat Malaysia yang lain pun akan turut merasa senang hati.

Mengapa gambar-gambar sebegini sukar diperolehi? Mengapa yang sering dipaparkan adalah sengketa dan perbalahan antara mereka?

Apabila kedua-dua tokoh ini ditonjolkan dalam keadaan berperang politik maka keadaan politik negara juga turut tegang kerana rata-rata bilangan peyokong masing-masing bukannya kecil jumlahnya. Dollah adalah PM dan Presiden Umno manakala Tok Guru adalah MB Kelantan dan Mursyidul Am PAS. Kalau nak kira penyokong dan mereka yang bersimpatai malah yang dalam Umno dan kerajaan pun sebenarnya ramai yang sayang dan hormati Tok Guru cuma tidak berani menzahirkan secara terbuka.

Oleh itu mungkin akan terjadikah satu hari dimana kedua-dua tokoh ini boleh duduk berkira-bicara dan berbincang dengan hati terbuka meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara di hadapan, melakar dan menggerakkan teraju negara dengan penuh mesra dan penuh bertanggungjawab?

Kalau HAMAS dan Fatah pun boleh duduk berunding dan PM Lubnan Fuad Siniora dan wakil Hizbollah boleh duduk dalam satu kabinet, mengapa Dollah dan Tok Guru tak boleh mencari ruang dan peluang yang sama?

Kurangkanlah pertelagahan yang hanya membawa rugi kepada agama, bangsa dan negara. Kurangkanlah berburuk sangka, kuranganlah syak-wasangka.

Banyak yang boleh dilakukan kiranya umat Islam dan rakyat Malaysia bersatu, pokoknya kita perlu jujur dan ikhlas. Islam boleh dibela, Islam boleh dimartabatkan, Islam boleh menjadi Ad Deen yang menaungi negara ini tanpa kita meminggirkan kepentingan dan kebajikan sahabat-sahabat kita dari kaum dan agama lain di negara ini.

Ramai yang mungkin tidak bersetuju dengan saya namun siapa pun tidak dapat menafikan hak saya untuk mengimpikan satu hari yang begitu rupa, saya yakin saya bukan berseorangan dalam hal ini.

No comments: