Thursday, March 31, 2005

SINGAPURA DAN THAILAND
LEBIH ISLAM HADHARI DARI MALAYSIA

BERNAMA
melaporkan hari ini betapa perbahasan berhubung perlu ataupun tidak sebuah kasino diizinkan di Singapura sedang hangat diperkatakan. Rata-rata rakyat Singapura bimbang akan implikasi negatif yang bakal timbul terhadap institusi masyarakat hasil dari pembinaan kasino ini kelak.

Bekas Ketua Pembangkang JB Jeyaratnam dilaporkan tidak berpuas hati apabila pihak kerajaan enggan memberikan keizinan kepada satu kumpulan yang mahu berdemonstrasi di kotaraya Singapura memprotes secara terbuka terhadap ura-ura pembinaan kasino ini.

Malah Menteri Kanan yang juga bekas PM Singapura Lee Kuan Yew dipetik sebagai berjata bahawa beliau sendiri tidak dapat menerima hasrat pembinaan kasino di negara pulau itu. Kata beliau tidak ada mana-mana individu yang boleh kaya melalui aktiviti perjudian.

Menkajubkan juga apabila memikirkan bagaimana sebuah negara sekular yang bukan Islam seperti Singapura dapat memberikan tindak-balas sedemikian rupa terhadap hasrat membina sebuah pusat perjudian.

Demikianlah juga halnya di Thailand baru-baru ini apabila ribuan sami-sami Buddha berdemonstrasi di Bangkok membantah penyeneraian sebuah syarikat arak ke Thailand Stock Exchange ataupun Bursa saham Thailand. Sami-sami ini membantah dengan mengatakan bahawa arak bukanlah sebahagian dari ajaran Buddha dan arak itu sendiri sebenarnya memberikan kesan buruk terhadap masyarakat.

Thailand adalah sebuah negara bukan Islam yang majoriti penduduknya beragama Buddha belaka.

Akan tetepai di Malaysia sebuah negara Islam (sebagaimana yang dilabelkan Umno) judi dan arak diizinkan secara terbuka atas alasan bertoleransi serta memberikan masyarakat bukan Islam kesempatan mengamalkan Sesutu yang tidak dilarang agama mereka!

Malahan di Malaysia kerajaan Islamnya bukan sekadar memberikan lesen operasi untuk sebuah kasino yang beroperasi 24 jam, ia juga mengizinkan premis-premis judi dibuka yang menjual nombor-nombor ramalan yang dicabut hampir setiap hari. Kesemua syarikat-syarikat judi ini tersenarai di Bursa Malaysia.

Begitulah juga halnya dengan arak. Kerajaan Islam Malaysia bukan sekadar mengizinkan pembinaan kilang-kilang arak, malah arak itu sendiri boleh didapati dimana-mana kedai termasuklah kedai yang beroperasi 24 jam. Syarikat-syarikat arak di Malasyia turut disenraikan di Bursa Malaysia.

Kesemua syarikat judi dan arak dikategorikan sebagai saham-saham mewah ataupun BLUECHIP belaka.

Negara bukan Islam prihatin tidak mahu rakyatnya terjebak ataupun terbabit dengan kerja-kerja mungkar, negara Islam Hadhari macam mana?

Berikut diberikan petikan konsep Islam Hadhari sebagaimana terdapat dalam laman http://www.islamhadhari.org/prinsip10.html :

Islam Hadhari akan memberi penekanan kepada pembangunan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

Nampaknya lebih ISLAM HADHARI Singapura dan Thailand dalam kontek ini!
MUFTI KATA HARAM
PAK LAH KATA JANGAN KEROSEK

Dalam BLOG ini Sabtu lepas saya mengulas kenyataan Pak Lah berkenaan isu tanda logo halal. Kata Pak Lah jika satu-satu jenis makanan itu telah ada tanda logo halal maka umat Islam tidak perlu curiga untuk mengguna atau memakannya.

Soalnya umat Islam di Malaysia mula mempersoalkan tanda halal ini apabila terdapat beberapa kes yang mencurigakan yang telah sampai kepengetahuan umum. Antaranya kes daging khinzir yang distor bersama-sama dengan daging halal, kes sosej menggunakan usus binatang dan terbaru di Sarawak daging babi dalam tin yang terdapat tanda halal pada labelnya.

Kes-kes seumpama ini mengakibatkan umat Islam lebih berhati-hati dan mula menyaisata asal-usul sesuatu bahan itu.

Hari ini MALAYSIAKINI melaporkan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria dalam mengulas isu sosej ini telah menegaskan:

Beliau berkata, jika meragukan atau was-was, maka ia disebut SYUBHAH dan orang Islam dilarang memakannya. Hadis telah menjelaskan perkara halal dan perkara haram dan kalau ada yang meragukan, ia adalah haram.

Bermakna umat Islam bertanggungjawab meyakini asal-usul sumber makanannya kerana sebarang yang meragukan atau was-was akan jatuh SYUBHAH dan bila ia jatuh SYUBHAH maka ianya menjadi haram.

Jadi antara Mufti dan Pak Lah dalam hal agama seperti ini kita nak dengar siapa?

Pihak kerajaan perlu meyakinkan rakyat sepenuh-penuhnya darihal tanda halal yang dipertanggungjawabkan kepada pihak JAKIM ini. Belanjalah wang untuk penyelidikan dan penguatkuasaan, jangan beri alasan yang tidak munasabah kerana ianya melibatkan maruah umat Islam.

Selagi kemampuan JAKIM terus dipersoalkan maka selagi itu janganlah Pak Lah berang apabila rakyat kerosek sana kerosek sini.

Wednesday, March 30, 2005

APA JASA VINCENT TAN KEPADA KELANTAN?

Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat hari Ulangtahun Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan Yang Ke-55. Semoga Allah swt melanjutkan usia ke bawah DYMM Al Sultan dan Raja Perempuan.

Namun demikian sebagai hamba rakyat saya rasa terkilan apabila membaca senarai para penerima bintang dan darjah kebesaran sempena ulangtahun keputeraan Al Sultan itu. Kerana salah seorang penerimanya adalah VINCENT TAN CHEE YIOUN iaitu Pengerusi Berjaya Group Berhad. Beliau menerima Darjah Kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran DATUK.

Berjaya Group ini adalah syarikat induk yang memiliki Berjaya Sports Toto syarikat perjudian yang juga tersenarai di Bursa Malaysia. Kedua-dua Berjaya Group dan Berjaya Sports Toto tidak termasuk dalam senarai saham yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah Bursa Malaysia.

Kerajaan PAS negeri Kelantan telah mengamalkan dasar MEMBANGUN BERSAMA ISLAM sejak memerintah negeri itu pada tahun 1990 . Ia telah berusaha membina dan membentuk rakyat dan negeri Kelantan kearah penerimaan Islam secara total sebagai satu cara hidup demi kesejathteraan rakyat dan negeri. Antara langkahnya adalah mengharamkan premis judi sejak tahun 1990 serta segala aktiviti yang bercanggah dengan Islam setakat mana kuasa yang terdapat padanya.

Walaupun diperakui bahawa kuasa menganugerahkan bintang dan darjah kebesaran adalah kuasa DYMM Al Sultan namun saya merasakan ia perlulah seiring dengan dasar dan matlamat kerajaan negeri. Bukankah sepatutnya istana dan kerajaan itu laksana isi dan kuku, istana memayungi kerajaan dan kerajaan mendaulatkan istana.

Tindakan mengurniakan bintang kebesaran kepada pemilik syarikat judi ini dikira tidak selari dengan hasrat rakyat untuk kembali kepada Islam. Dan semoga ianya akan diberi perhatian oleh pihak istana dan kerajaan negeri. Jangan sampai Islam dipersendakan oleh pihak musuh lantaran kealpaan kita.

Tuesday, March 29, 2005

MYANMAR: KENAPA PAK LAH TIDAK BERANI BERTEGAS

BERNAMA melaporkan hari ini bahawa pendirian kerajaan Malaysia berhubung Myanmar tidak akan berubah. Walaupun ada usaha dari Kelab Penyokong Kerajaan atau BBC di Dewan Rakyat untuk membantangkan usul mendesak ASEAN menangguhkan keputusannya melantik Myanmar untuk mempengerusikan ASEAN bagi tempoh 3 tahun sehingga 2007.

Pak Lah menegaskan bahawa keputusan perlantikan ini telah dibuat secara kolektif sesama anggota ASEAN dan kerajaan tidak berhasrat membelakangkan keputusan tersebut.

Myanmar adalah sebuah negara autokratik yang dipimpin oleh junta tentera. Demokrasi tidak diamalkan di Myanmar. Malah pilihanraya yang diadakan pada tahun 1990 telah dibatalkan dengan pemimpin parti yang memenangi pilihnaraya tersebut Aung San Su Kyi telah ditahan sehingga ke hari ini.


SYU KYI

Setakat hari ini masih tidak kelihatan perkembangan yang positif di Myanmar. Demokrasi masih dibelenggu, Syu Kyi masih dalam tahanan dan junta tentera terus memegang kuasa. Mengapa Malaysia mengambil sikap membisu dalam hal ini?

Dalam isu Palestin Malaysia mahu menjadi juara, menuntut hak untuk warga Palestin. Malaysia melaung-laungkan pencapaiannya sebagai sebuah negara demokrasi yang bebas, yang berani bersuara dalam isu-isu antarabangsa termasuklah menuntut reformasi dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, tiba-tiba dalam hal Myanmar ia memilih untuk menyepi!

Junta tentera di Myanmar menekan dan menindas demokrasi, hak rakyatnya untuk bersuara disekat. Mengapa dalam isu yang berlaku di rantau Asia Tenggar ini Malaysia seolah-olah kelu sedangkan isu nun jauh di Timur Tengah ia mahu mengambil peranan. Kalau benar mahu jadi juara Malaysia harus berani menganjurkan kongres antarabangsa untuk pembebasan Myanmar. Ini tidak, yang dekat diabaikan yang jauh pula ia bersungguh.

Barangkali kerajaan tidak mampu melakukan apa-apa lantaran di Malaysia sendiri itulah lebih kurang amalan kerajaan pun. Walaupun tidak ada junta tentera di sini tetapi sikap kerajaan lebih-kurang macam Myanmar pun. Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA digunakan sesuka hatinya untuk menyekat mereka yang menentangnya. Kebebasan bersuara dan berhimpun walaupun dibenarkan namun dilonggokkan dengan pelbagai syarat dan peraturan yang tak masuk akal.

Oleh kerana tak banyak beza antara kerajaan Myanmar dan kerajaan disinilah maka Pak Lah menganggap junta kuku besi Myanmar sebagai kawan. Yang penting Malaysia boleh berniaga dan mengaut keuntungan, isu moral dan apa saja lagi dihumbankanlah sahaja ke dalam tong sampah!

Monday, March 28, 2005

CEMERLANG MEMBAZIR GEMILANG YANG SIA-SIA

Saya menghormati Pak Lah sebagai PM Malaysia. Sebagai ketua eksekutif negara pada tangannyalah terletak nasib dan masa depan bangsa dan negara. Kiranya beliau kuat dan berwibawa maka demikianlah negara namun kiranya beliau lemah maka akan lemahlah juga negara dan rakyat di dalamnya.

Sejak menjadi PM pelbagai komen dan pandangan telah dilontarkan terhadap kepimpinan beliau. Banyak yang baik banyak juga yang negatif.

Bagi saya dalam tempoh sesingkat 48 jam sebelum artikel ini ditulis sahaja beliau telah terlibat dalam kerja-kerja pembaziran dan sia-sia yang terus-terang saya katakan telah merugikan negara. Bayangkan negara seterusnya di bawah kepimpinan beliau?!

Pada hari Sabtu lalu di Kuala Terengganu Pak Lah telah mengumumkan pembinaan ISLAMIC CIVILISATION THEME PARK, yang dijangka siap dalam tempoh 3 tahun. Kerajaan akan melantik pakar perunding dan para artisan yang pernah bekerja untuk taman tema bertaraf antarabangsa seperti Movie World dan Sea World di Australia dan Disnelyland Tokyo bagi merealisasikan matlamat penubuhan taman berkenaan. Taman ini yang terletak di Pulau Pak Man berhampiran Pulau Duyong akan dipenuhi dengan binaan 21 replika bangunan dan monument bersejarah Islam termasuklah masjid-masjid terkenal diseluruh dunia. Juga akan dibina sebuah MASJID KACA KRISTAL TERAPUNG di atas Sungai Terengganu!



Belanjanya RM200 juta! Tidakkah ini satu pembaziran besar khususnya bagi rakyat Terengganu. Apa gunanya dibina replika 21 masjid sedangkan masjid-masjid di Terengganu pun dhaif-dhaif belaka? Apa gunanya masjid terapung dari kaca kiranya rakyat Terengganu kebanyakkannya sengsara menderita tidak memiliki rumah sendiri?

Sedangkan dengan RM200 juta boleh membina sehingga 8,000 buah rumah untuk rakyat termiskin kiranya kos pembinaan rumah tersebut sekitar RM25,000 sebuah.

Kemudian siang tadi pula di Putrajaya Pak Lah telah merasmikian persidangan PEACE IN PALESTINE yang dihadiri sekitar 400 peserta termasuk wakil-wakil aktivis masyarakat. Dalam ucapannya Pak Lah mengajak masyarakat dunia untuk bergabung bagi mencari penyelesaian terhadap isu Palestin khususnya dalam hubungan Israel – Palestin.

Sejauh manakah suara Pak Lah ini didengari? Adakah melangkau bangunan Putrajaya International Convention Centre itu atau sekadar bergema di dalam bangunan gajah putih itu sahaja tanpa mampu menerobos ke dunia luar.

Mengapa kita berbelanja bertaus ribu malahan menjangkau jutaan barangkali semata-mata bagi menganjurkan satu persidangan antarabangsa yang tidak pun diambil peduli langsung oleh dunia luar apalagi negara yang berkonflik itu. Seolah-olah majlis ini dirancang untuk menonjolkan imej Pak Lah semata-mata tanpa menghiraukan sedikit pun samada ianya akan mampu memberi impak ke atas Palestin atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Kerana itu bagi saya dalam tempoh 48 sahaja Pak Lah telah membuktikan yang beliau berkemampuan membawa mudarat kepada rakyat dan negara. Apa akan jadi 48 jam berikutnya, dan hari-hari seterusnya? Cemerlang, gemilang, terbilang atau apa?
PUTERA UMNO: ALAT UNTUK TAWAN ANAK MUDA MELAYU MELALUI PINTU BELAKANG

Semasa diwawancara oleh BBC baru-baru ini Presiden PAS Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang menyatakan bahwa tidak terdapat demokrasi yang sebenar di Malaysia. Pihak pemerintah lazimnya akan guna apa sahaja yang berada ditangannya untuk kepentingan politknya.

Parti pembangkang disekat dari mendapat liputan di media perdana (kalau ada pun yang buruk-buruk belaka), akhbar pembangkang dikenakan pelbagai syarat, ceramah politik pembangkang dihalang, disekat dan diganggu oleh pihak keselamatan, harta dan jentera kerajaan digunakan untuk manfaat politik parti pemerintah. Demikianlah kekangan dan halangan terhadap demokrasi di Malaysia.

Kini Umno mahu meneruskan perkosaan terhadap demokrasi dengan memperkenalkan Putera Umno pula. Tak mengapalah kalau sayap ini ditubuhkan semata-mata sebagai sayap politik, pengambilan keahlian dilkakukan secara terbuka tanpa memperalatkan mana-mana jentera ataupun jabatan kerajaan. Tetapi sebagaimana kenyataan Tuan Guru kepada BBC Umno sememangnya sinonim dengan penyalahgunaan kuasa dan mereka akan tersu melakukannya kerana tidak siapa yang mampu atau berani menghalang.

Menurut Naib Ketua Pemuda Umno, Pergerakan Pemudanya akan menggerakkan siri jelajah ke seluruh negara mulai bulan depan bagi memberi penerangan serta menarik lebih ramai generasi muda menyertai Putera UMNO. Sasaran mereka adalah golongan remaja disekitar 18 – 25 tahun.

Isunya tidakkah keahlian Putera ini kelak bertentangan dengan Akta Universiti dan Universiti Kolej 1971 yang melarang mana-mana pelajar IPTA menjadi anggota atau memegang jawatan dalam mana-mana badan siasah? Parti-parti pembangkang tidak dibenarkan sama-sekali berbuat demikian malah ada kalangan pelajar IPTA yang pernah digantung dan dibuang dari kampus kerana aktiviti politik luar kampus yang dikatakan bertentangan dengan AUKU.

Kata Khairy:

Kita bukan mahu mempolitikkan pendekatan ini sebaliknya bertujuan meningkatkan semangat patriotisme di kalangan golongan muda menerusi pemahaman tentang sejarah dan perjuangan UMNO.

Kalau demikian mengapa mahu digunakan nama Umno. Penggunaan nama Umno itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan wujudnya usaha untuk mempolitkkan sayap ini.

Khairy perlu jujur dan sebagai pemimpin muda perlu belajar bercakap benar dan elakkan dari berdusta. Jelaslah Putera Umno ini kelak akan digunakan oleh Umno sebagai batu loncatan persediaan bagi menghadapi plilihanraya umum ke 12 setelah Puteri Umno berjaya menguasai golongan remaja wanita.

Jika Umno dan BN menghargai demokrasi dan kebebasan maka secara gentleman mereka sepatutnya turut membenarkan parti-parti lain berbuat perkara yang sama. Apabila inisiatif politik cuma dibenar dan dihalalkan untuk parti pemerintah sahaja sedangkan parti-parti lain dikekang bermakna kita sekadar bermimpi untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan dunia pertama sedangkan mentaliti dan sikap kita masih di takuk dunia ketiga!

Saturday, March 26, 2005

ISU TANDA LOGO HALAL:
INI BUKAN SOAL KEROSEK

Allah swt berfirman yang maksudnya:

Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan karena sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-terangan bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah yang baik-baik dari apa-apa yang telah Kami berikan kepadamu, serta bersyukurlah kepada Allah kalau betul-betul kamu berbakti kepadaNya. Allah hanya mengharamkan kepadamu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih bukan karena Allah. Maka barangsiapa dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melampaui batas, maka tidaklah berdosa baginya, karena sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (al-Baqarah: 172-173)

Bab makanan yang halal dan haram begitu sensitif bagi umat Islam di Malaysia. Sehingga dikatakan walaupun seseorang itu tidak sembahyang, fasik, jahil dan apa sahaja tetapi bab makan ini orang Melayu khususnya begitu berjaga-jaga. Sebut sahaja babi maka mereka akan menolaknya. Demekian juga dengan daging yang tidak disembelih dengan meneyebut nama Allah. Malah dikatakan orang Melayu yang kaki botol sekalipun, begitu berjaga-jaga dalam bab makanan

Inikan pula umat Islam yang beriman. Beberapa isu mutakhir yang melibatkan tanda halal dan pengusaha makanan yang tidak menghormati sisitivi agama Islam telah mengakibatkan umat Islam semakin meragui kerja-kerja JAKIM yang bertanggungjawab mengeluar dan memantaui sijil-sijil halal ini.

Mula-mula kita dikejutkan dengan daging babi yang distor bersekali dengan daging-daging halal dalam bilik sejuk, kemudiannya beberapa pengusaha makanan terutama yang bukan Melayu yang telah menyalahgunakan sijil halal ini dan yang terbaru darihal sosej yang mengunakan usus babi.

Bila JAKIM yang dib eri amanah boleh dibolosi kewibawaannya sudah pasti umat Islam tidak boleh disalahkan apabila mereka mula lebih berhati-hati dari sebelumnya.

Syeikh Muhammad Yusuf Qardhawi di dalam kitabnya HALAL DAN HARAM DALAM ISLAM telah menulis:

Masalah halal yang sudah jelas, boleh saja dikerjakan. Dan soal haram pun sudah jelas, samasekali tidak ada rukhsah untuk mengerjakannya, selama masih dalam keadaan normal.
Tetapi di sebalik itu ada suatu persoalan, yaitu antara halal dan haram. Persoalan tersebut dikenal dengan nama syubhat, suatu persoalan yang tidak begitu jelas antara halal dan haramnya bagi manusia. Hal ini mungkin tejadi karena tasyabbuh (tidak jelasnya) dalil dan mungkin karena tidak jelasnya jalan untuk menerapkan nas (dalil) yang ada terhadap suatu peristiwa.


Terhadap persoalan ini Islam memberikan suatu garis yang disebut Wara (suatu sikap berhati-hati karena takut berbuat haram). Dimana dengan sifat itu seorang muslim diharuskan untuk menjauhkan diri dari masalah yang masih syubhat, sehingga dengan demikian dia tidak akan terseret untuk berbuat kepada yang haram.

Cara semacam ini termasuk menutup jalan berbuat maksiat (saddudz dzaraik) yang sudah kita bicarakan terdahulu. Disamping itu cara tersebut merupakan salah satu macam pendidikan untuk memandang lebih jauh serta penyelidikan terhadap hidup dan manusia itu sendiri.
Dasar pokok daripada prinsip ini ialah sabda Nabi yang mengatakan:

Yang halal sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas, di antara keduanya itu ada beberapa perkara yang belum jelas (syubhat), banyak orang yang tidak tahu: apakah dia itu masuk bagian yang halal ataukah yang haram? Maka barangsiapa yang menjauhinya karena hendak membersihkan agama dan kehormatannya, maka dia akan selamat,. dan barangsiapa mengerjakan sedikitpun daripadanya hampir-hampir ia akan iatuh ke dalam haram, sebagaimana orang yang menggembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir akan jatuh kepadanya. Ingatlah! Bahwa tiap-tiap raja mempunyai daerah larangan. Ingat pula, bahwa daerah larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi).

Oleh itu saya tidak boleh terima apabila Pak Lah sebagaimana yang dilaporkan oleh UTUSAN boleh berkata:

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pengguna tidak perlu curiga untuk mengguna atau memakan produk makanan di negara ini yang mempunyai tanda logo halal yang sah.

Perdana Menteri menegaskan, ini kerana kerajaan pasti bertindak sekiranya terdapat maklumat dan aduan berhubung produk makanan yang kelulusan halalnya diragui.

Sehubungan itu, Abdullah turut meminta semua pihak supaya berhenti menggembar-gemburkan isu berkaitan halal haram barangan makanan dan logo Halal.

Janganlah kerosek (loghat Kedah: cari) sana, kerosek (cari) sini,, katanya.

Apabila umat Islam bersikap berhati-hati, ia adalah kerana isu ini sudah menjadi besar dan mereka tidak mahu terjebak menjadi mangsa kerananya. Ini bukan soal kerosek, ini soal hilang keyakinan. Pak Lah jangan pandang kecil perkara ini. Orang Melayu mula hilang keyakinan apabila JAKIM dilihat tidak mampu bertindak secara berkesan apabila berlaku kes-kes seumpama ini. Lebih-lebih didenda, maka umat Islam sekadar menjadi bahan senda gurau. Kerajaan perlu bertindak secara serius dan biar para pebgusaha makanan turut serius dan tidak sekadar mengaut untung atas kelemahan kita.

Friday, March 25, 2005

JANGAN KIRA PAS ATAU UMNO
BANGKIT PERTAHANKAN ISLAM!


Desakan 52 NGO dan entah berapa ramai lagi individu terhadap menghapuskan undang-undang dan peraturan yang mencegah kelakuan tidak bermoral dikalangan individu khususnya umat Islam ini satu desakan melampau. Ianya suatu isu yang besar. Ianya bukan isu PAS atau Umno. Ianya bukan isu Melayu, Cina atau India. Sesungguhnya ia isu melibatkan maruah dan martabat Islam dalam Negara ini.

Saya tidak hairan kiranya umat Islam tidak kira dari mana fahaman bangkit dan menentang desakan kumpulan ini. Kerana memang ianya patut ditentang kiranya kita cemburu pada agama kita yang suci ini. PAS telah menyatakan bangkangan mereka dan demikian juga beberapa individu dan tokoh umat Islam samada yang berjawatan maupun yang memimpin NGO.

Dalam akhbar UTUSAN hari ini selain memuatkan sokongan Nazri Aziz, Rais Yatim dan Azalina Othman terhadap tuntutan kumpulan pelampau ini, dimuatkan juga pandangan Radzi Sheikh Ahmad, juga Menteri di JPM dan Setiausaha Agung Umno. Kata Radzi desakan ini TIDAK MUNASABAH.

Antara lain Radzi mengatakan:

Kalau kita hendak cakap fasal hak dan asasi, semua orang ada hak dan dengan undang-undang itulah yang kita selalu gunakan untuk tegakkan hak seseorang.

Sama juga soal akhlak ini, kita tidak boleh biar orang lain bebas buat apa dia suka, kita mesti ingat ada batas-batas yang perlu diikuti dan dihormati, ujarnya.

Mereka minta undang-undang perbandaran dimansuhkan, takkan kita hendak biarkan orang buka pusat hiburan sampai pagi, hendak bina disko suka-suka hati, ini tidak bolehlah.

Saya SALUTE Radzi kerana berani menyatakan pendirian demikian. Kerana apabila bangkit apa-apa isu berkenaan ISLAM seharusnya kita umat Islam perlu bangkit dan pertahankannya tidak kira apa pandangan dan pendirian politik kita. Tidak seperti Nazri, Rais dan Azalina yang beria-ia menyokong semata-mata kerana anak PM Norli Pak Lah yang merupakan salah seorang jurucakap kumpulan ini.

Kita takut pada Allah atau pada Pak Lah?

Saya juga menghargai pandangan , Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaitoon Othman yang turut menyuarakan rasa terkejut dengan tindakan kumpulan NGO itu yang menurut beliau, sanggup menggadai kepentingan masyarakat semata-mata untuk melindungi hak individu.

Kita mendoakan di hari Jumaat yang mulia ini semoga usaha kumpulan pendesak yang melampau ini akan digagalkan oleh Allah swt. Dan semoga seluruh umat Islam dalam Negara ini akan bangkit mempertahankan yang hak, insyallah.
ISU MORAL POLICING:
JANGAN BUKA PINTU KE ARAH KEBINASAAN

Seperti dijangkakan peristiwa penyerahan memorandum oleh beberapa NGO di bangunan Parlimen semalam yang mendesak agar dihentikan penguatkuasaan tehadap kesalahan akhlak ataupun MORAL POLICING mendapat liputan meluas akhbar-akhbar tempatan hari ini terutama yang berbahasa Inggeris. Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Meteri di JPM Nazri Abdul Aziz.


TIGA YANG MENYOKONG

Menurut NST dua menteri kabinet iaitu Rais Yatim dan Azalina Othman turut menandatangani memorandum tesebut, malah Nazi sendiri turut berbuat demikian. NST melapokan Nazri sebagai berkata:

He said that the issue was a serious matter as Malaysia was a multiracial community.
We do not want Malaysia to turn into Taliban rule. If we dont stop it, it may happen. We are a multi-racial, multi-religious country and have to respect individual rights regardless of religion or creed.


No one religion should dominate the private lives of Malaysians in general, he said, adding that the memorandum, which he gave his signature to, contained strong reasons.

Beliau bekata isu ini adalah serius kerana masyarakat Malaysia berbilang kaum.
Kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti Taliban. JIKA KITA TIDAK MENGHENTIKANNYA ia akan berlaku. Kita adalah sebuah Negara berbilang bangsa, berbilang agama dan oleh itu perlu menghormati hak individu tanpa mengira kaum atau agama.


Tidak ada satu agama yang berhak mempengaruhi kehidupan persendirian mana-mana warga Malaysia secara amnya. Menurut belia memorandum yang turut beliau tandatangani itu memiliki ASAS YANG KUAT.

Apakah yang dapat kita baca dari perkembangan ini?

Secara tidak langsung apabila 3 menteri kabinet dari Umno menyatakan sokongan terbuka terhadap memorandum ini termausklah Menteri di JPM sendiri, tidakkah ini merupakan satu trend yang membimbangkan dan membahayakan Islam?

Kalau isu moral diserahkan kepada pilihan individu atas nama hak asasi dan hak persendirian, awas, kita sebenarnya membuka pintu ke arah kebinasaan dan keruntuhan masyarakat. Bayangkan contohnya jika ini berlaku kelak di bulan Ramadhan jika ada individu Islam yang tidak berpuasa dan makan dikhalayak ramai, atas nama hak individu beliau tidak boleh diganggu, alasannya kerana ia memilih dengan sukarela untuk tidak berpuasa!

Demikian juga di kasino Genting Highlands kelak, individu Islam yang memilih untuk berjudi boleh sahaja melangkah masuk dan berjudi di kasino sesuka hati, pihak penguatkuasa agama jika mahu bertugas di pintu masuk, perlu membawa sama pegawai kanan polis, jika tidak berdirilah tercegat disitu kerana beliau tidak mematuhi prosedur kerajaan.

Ini belum lagi kita memikirkan isu individu Islam yang memilih untuk tukar agama, berkahwin dengan bukan Islam tanpa pasangannya tukar agama, dan berbagai masalah lagi yang bakal timbul atas nama hak individu, hak persendirian dan hak asasi.

Perkembangan negatif ini sungguh merbahaya dan umat Islam yang prihatin perlu ambil perhatian serius. Para pejuang liberalisma sedang menggunakan apa sahaja pengaruh yang ada pada mereka untuk menekan dan mempengaruhi kerajaan. Kerajaan yang lemah pasti akan tunduk dan akur dan yang bakal memikul balanya kelak adalah kita semua.

Saya yakin dan percaya kiranya Nori Abdullah tidak bersama turut menyerahkan memorandum tersebut di Parlimen semalam serta menjadi pula salah seorang jurucakapnya belum tentu Nazri, Rais dan Azalina akan menandatangani memorandum tersebut ! Malangnya umat Islam Malaysia. Jangan biarkan cita-cita durjana ini menjadi kenyataan.

Thursday, March 24, 2005

AGENDA MELUCUTKAN TARING
PENGUATKUASA AGAMA MEMUNCAK

Buletin Utama TV3 sebentar tadi membawa tajuk utama yang antara lain berbunyi berkuatkuasa serta merta semua serbuan jabatan agama mestilah di bawah pemantauan Ketua Polis Daerah ataupun OCPD.

Menurut Menteri di JPM Nazri Abdul Aziz di Wilayah Persekutuan semua serbuan pihak JAWI perlulah disertai oleh pegawai kanan polis di daerah berkenaan bagi memastikan yang pihak polis akan bertanggungjawab terhadap prosedur serbuan dan tangkapan jika ada. Malah menurut MALAYSIAKINI waran perlulah diperolehi terlebih dahulu sebelum sesuatu serbuan dilakukan.

Sekiranya kehadiran pihak polis bermakna kerja-kerja penguatkuasaan agama akan berjalan dengan lebih lancar dan teratur maka langkah baru ini sangatlah dialu-alukan. Namun demikian kiranya prosedur tambahan ini akhirnya mengekang pihak berkuasa agama dalam menjalankan tugas mereka atau mengakibatkan menjadi terhalang kerja-kerja mereka maka sudah pastilah langkah baru ini sangat dikesali.

Nazri dilaporkan memberikan kenyataan ini setelah menerima memorandum dari pihak NGO di dewan Parlimen yang menurut MALAYSIAKINI menuntut:

The document registered protest against recent actions to enforce morality among Muslims in particular, saying the state has no role in policing morality.

Dokumen tuntutan ini merakamkan bantahan mereka terhadap tindakan menguatkuasakan moral dikalangan umat Islam khususnya, dengan menekankan bahawa kerajaan sesungguhnya tidak berhak mengawal moral individu.



NORI PAK LAH & SUAMI

Kalau ada sesiapa yang berpeluang menonton siaran Buletin Utama ini akan dapat menyaksikan bahawa NORI ABDULLAH anak PM Pak Lah kelihatan bersungguh-sungguh menjelaskan tuntutan di dalam memorandum tersebut kepada Nazri disaksikan oleh wakil NGO lain serta wakil media.

Apakah mesej yang cuba diutarakan?

Tuntutan kumpulan pendesak ini yang terdiri dari 52 NGO dan 42 individu sesunggunya cuba menarik terus taring ataupun merampas kuasa pihak penguatkuasa agama dalam menjalankan tugas-tugas mencegah kemungkaran. Mereka mendesak agar kerajaan menjamin yang akhlak dan moral individu itu adalah hak masing-masing dan tidak perlu dikawal atau dicegah mana-mana pihak termasuklah pejabat agama dan PBT.

Dan kumpulan ini mengunakan NORI ABDULLAH untuk menjuarai tuntutan mereka sekaligus membuktikan bahawa anak PM sendiri berdiri di belakang mereka!

Jelas perkembangan ini membayangkan satu trend yang sangat merbahaya terhadap masadepan Islam. Atas nama kebebasan dan hak asasi sebarang bentuk kerja ataupun aktiviti mencegah kemungkaran sedang cuba dikekang dan dihapuskan. Bermakna jika tuntutan ini akhirnya diterima kerajaan maka Islam nanti akan hanya diberikan keizinan melakukan kerja dan aktiviti amar makruf semata-mata, bina masjid sekolah agama musabaqah bank Islam dan lain-lain, tetapi sebarang bentuk mencegah kemungkaran akan diharamkan.

Bersedialah kita untuk menghadapi gelombang maksiat dan keruntuhan akhlak kerana selepas ini isu moral dan akhlak adalah hak masing-masing, bebas tanpa sekatan ataupun larangan!

Untuk rekod antara yang menyokong dan menandatangani memorandum ini di lobi Parlimen adalah Rais Yatim dan Azalina Othman.

Wednesday, March 23, 2005

MEMANSUHKAN NAHI MUNGKAR
SATU DESAKAN JAHAT

Kumpulan ini mahu menunjukkan yang mereka mewakili suara rakyat Malaysia. Kerana itu mereka mendakwa mewakili 280 NGO dan individu. Dengan dokongan itu mereka mahu mendesak pihak kerajaan dan parlimen agar akur dengan tuntutan mereka. Sedangkan sebenarnya terdapat beribu NGO dan beratus ribu malahan jutaan individu lain yang saya yakin tidak dapat menerima tuntutan melampau mereka itu.

Apakah pendirian mereka? Mereka menganggap sebarang undang-undang atau peraturan yang diperkenalkan untuk memelihara moral rakyat sesungguhnya menghakis kebebasan individu.

Bagi mereka apa sahaja jenis pakaian yang ingin diperagakan dikhalayak ramai, itu adalah hak individu. Sekiranya remaja memilih untuk bersuka-ria di kelab-kelab malam samada meminum arak, menari berpeluk-pelukan atau apa sahaja jenis perlakuan ianya merupakan hak masing-masing dan mana-mana pihak juga tidak sepatutnya menyekat hak demikian.

Bagi mereka isu moral adalah isu peribadi bermakna segala yang berkenaan akhlak dan perlakuan seseorang itu terpulang kepada masing-masing individu tanpa mana-mana parti mempunyai kuasa untuk menyekat atau melarang.

Almarhum Prof. Zulkifli Muhammad pernah menulis sebuah artikel berkenaan akhlak yang antara lain berbunyi:

Soal mempunyai dan menjaga kehormatan diri dan nilai hidup manusia adalah soal utama dalam akhlak. Manusia yang tiada menghargai dirinya sendiri sudah barang tentu longgar dalam kelakuan akhlaknya dan tidada dapat pun menggambarkan kehormatan masyarakat yang mana adalah pokok pancaran akhlaknya. Hanya dengan kehormatan dirilah manusia bertegap dan berkuat pada pendiriannya dan hak-hak hidupnya dan dengan itu pula ia menghormati pendirian orang lain dan hak-hak hidup mereka.

Ini membuktikan betapa kehormatan diri dan nilai hidup itu penting dipelihara dan dipertahankan dalam usaha mewujudkan masyarakat yang berakhlak. Apabila atas nama hak asasi kita turut memberikan kebebasan sepenuhnya kepada manusia untuk mengikut nafsunya tanpa kawalan akhlak bermakna kita bakal membentuk masyarakat yang porak peranda tanpa nilai dan harga diri.

Lebih tepat lagi Dr Harlina Halizah Siraj di dalam artikelnya yang disiarkan dalam BERITA HARIAN hari ini menulis:

Selagi seseorang itu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai manusia yang diciptakan Allah sebagai hamba dan khalifah, dia berhak dihormati dan tidak ditindas lantaran warna kulit, rupa paras, dan adat bahasa. Seorang manusia yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, tidak kira besarnya, mempunyai hak untuk diperbetulkan. Ia mesti dilaksanakan oleh rakan manusia lain di sekitarnya.

Menjadi tanggungjawab kita yang menyaksikan kemungkaran dan kemaksiatan di depan mata untuk berusaha menghalang dan memperbetulkannya. Hanya dengan usaha itu, barulah kita berhak mendapat gelaran KAHIRUL UMMAH atau ummah terbaik. Ia seperti dijanjikan Allah dalam firman-Nya bermaksud:

Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada Allah.

(Surah al-Baqarah, ayat 110)

Kesimpulannya kumpulan pendesak yang kecil ini perlu akur bahawa ISLAM menuntut pembentukan sebuah masyarakat yang berakhlak. Masyarakat ini akan terbentuk apabila kerja-kerja menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari tercetusnya kemungkaran sentiasa diberi perhatian.

ISLAM menjamin hak asasi dan kebebasan manusia. Namun ISLAM tidak pernah sekali-kali mengizinkan penyalahgunaan kebebasan hak asasi tadi dengan memberikan lessen kepada perlakuan maksiat dan kerja-kerja mungkar. Terbentuknya satu masyarakat yang berakhlak dan saling hormat-menghormati itu sesungguhnya adalah merupakan satu hak yang dijamin dan dipertahankan oleh ISLAM.
ATAS NAMA KEBEBASAN HAPUSKAN NAHI MUNGKAR

Akhbar THE SUN hari ini meletakkan di muka depan tajuk:

CAMPAIGN AGAINST MORAL POLICING

dengan gambar warna Ivy Josiah, Sivarasa, Raja Aziz dan Marina Mahathir yang mewakili 280 NGO dan individu yang melancarkan kempen mendesak agar segala jenis undang-undang dan peraturan berhubung pengawalan ataupun pembenterasan kesalahan moral dibatalkan.

Menurut kumpulan ini isu moral sepatutnya ditangani diperingkat keluarga masing-masing dan sebarang usaha untuk memperuntukkan kawalan terhadapnya akan hanya memberikan implikasi negatif terhadap rakyat jelata.

Antara tuntutan pihak ini adalah supaya segala peraturan dan undang-undang samada berkenaan agama ataupun PBT yang menafikan hak individu dan hak bersuara rakyat perlulah dibatalkan.

Tuntutan ini dipercayai berpunca dari beberapa isu antaranya peraturan PBT yang melarang pasangan bercumbuan di taman-taman awam, garispanduan pakaian wanita yang ingin diperkenalkan MPKB serta kes serbuan JAWI di The Zouk baru-baru ini.

Soalnya adakah memelihara kesejahteraan ummah dengan mengawal dan melarang perlakuan yang tidak Islamik (saya tidak mahu gunakan istilah sumbang) dikhalayak ramai itu salah, bertentangan dengan Islam atau bagaimana? Benarkah isu moral semata-mata urusan keluarga masing-masing? Benarkah memelihara ummah dari gejala sosial yang dilarang Islam itu menggugat hak asasi umat Islam?

Pihak berkenaan harus sedar bahawa tidak ada keluarga di Malaysia ini yang tidak mahu anaknya dibesarkan dalam eviromen yang sihat dan baik. Tidak ada ibu ataupun bapa yang bersedia melihat di depan matanya, anaknya sendiri berpakaian tidak senonoh digomol pula oleh anak orang lain dari berlainan jantina dikhalayak ramai. Ibu ataupun bapa Muslim tidak akan membenarkan anak-anaknya berpelisiran di kelab-kelab malam yang hidangan minumannya termasuk arak, yang pakaian para pengunjungnya menjolok mata belaka kerana risiko terhadap kemuliaan dan nama baik keluarga masing-masing.

Memang atas nama liberalisma, keterbukaan dan lain-lain mungkin ada segelintir ibu-bapa Muslim yag tidak kisah. Barangkali Marina Mahathir sebagai seorang ibu tidak kisah, namun beliau tidak boleh mewakili umat Islam di Negara ini! Lihat sahaja dalam kes serbuan di Zouk, Jeslina Hashim mengatakan ibu-bapanya tidak marah dan tidak kisah pun beliau berpakaian demikian, adakah ibu-bapa beliau mewakili pandangan ibu-bapa Muslim sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam?

Nyatalah matlamat kumpulan ini sungguh longgar dan tidak boleh diterima oleh mana-mana Muslim yag berilmu khususnya dalam bab menegakkan yang makuf dan mencegah yang mungkar. Antara ahli palimen yang menyokong tuntutan kumpulan ini disamping ahli parlimen wanita DAP adalah Zaid Ibrahim, ahli parlimen Kota Bharu. Marina Mahathir dipetik sebagai berkata bahawa peraturan dan undang-undang yang sedia ada TIDAK MASUK AKAL.

Hairan, dalam bumi Islam Hadhari tuntutan untuk melonggarkan lagi akhlak umat Islam yang telah sedia longgar diberikan tempat dan ruang.

Tuesday, March 22, 2005

SUHAKAM DESAK BEBASKAN
SEMUA TAHANAN ISA

Semalam seramai 6 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA telah dibebaskan dari kem tahanan masing-masing di Kamunting. Mereka adalah Abi Dzar Jaafar, 18, Eddy Erman Shahime, 19, Mohd Radzi Abd Razak, 19, Mohd Ikhwan Abdullah, 19, Mohamad Akil Abd Raouf, 21, dan pensyarah UTM, Wan Min Wan Mat.

Kesemua mereka sebelum ini telah ditahan atas tuduhan kononnya terlibat dengan Jemaah Islam JI ataupun KMM, kedua-dua badan yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Al Qaeida.

Hari ini BERNAMA melaporkan bekas hakim yang juga Pesuruhjaya SUHAKAM Datuk KC Vohrah telah menggesa kerajaan agar membebaskan kesemua tahanan ISA yang telah melalui tempoh tahanan 2 tahun atas tuduhan mengancam keselamatan negara.


KC VOHRAH

Kata Vohrah kerajaan perlu menyemak semula semua kes-kes di bawah ISA dan mengkaji samada mereka yang dituduh benar-benar mengancam keselamatan negara, perkhidmatan perlu dan ekonomi negara.

Beliau menambah SUHAKAM mahu kerajaan mengimbangkan antara keselamatan negara dan hak asasi rakyat. Sekiranya benar-benar terdapat bukti terhadap tertuduh maka mereka septutnya didakwa di mahkamah terbuka sebagaimana amalan prinsip hak asasi manusia.

Dalam keghairahan kerajaan mahu menjadi juara dunia yang cemerlang, gemilang dan terbilang, maka wajarlah seruan Vohrah ini diberi perhatian. Antara tahanan yang masih merengkok dalam tahanan tanpa diberi hak untuk membela diri adalah Nik Adli Nik Mat anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Adli dituduh kononnya terlibat dengan KMM dengan mahu mendirikan Daulah Islamiyah dirantau Asia Tenggara ini. Mengapa beliau tidak didakwa di mahkamah? Mengapa beliau dan berpuluh-puluh lagi dinafikan hak mereka semata-mata kerana kononnya kerajaan menganggap mereka mengancam keselamatan negara!

Tahniah Vohrah, tahniah SUHAKAM. Sekurang-kurangnya masih lagi ada badan yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan hak dan kebebasan insane dalam negara ini.
HADI PERBETULKAN PERSEPSI JAHAT BARAT TERHADAP PAS

BBC News baru-baru ini menyiarkan rencana khas mengenai kononnya ancaman keganasan dan militan Islam terhadap rantau Asia Tenggara. Liputan dibuat mengenai keadaan di Selatan Thai, Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Rencana khas ini turut memuatkan temuramah wakil BBC dengan Presiden PAS Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang di rumah beliau di Rusila sejurus selesai kuliah pagi Jumaat. Dari penerangan yang dibuat oleh Tuan Guru jelas persepsi jahat barat terhadap PAS tersasar jauh sama-sekali. Malah hasrat rencana ini untuk memerangkap dan menyerang PAS ternyata gagal.



Tuan Guru ditanya berkenaan kemampuan PAS untuk mendirikan sebuah Negara Islam di Malaysia. Kata Tuan Guru hasrat ini akan tercapai kiranya demokrasi yang diamalkan diwujudkan secara tulin dengan semua pihak diberikan peluang yang sama. Jika ini berlaku tidak mustahil PAS boleh berjaya.

Dalam erti kata lain demokrasi ala Malaysia yang dikongkong oleh kerajaan jelas menyekat peluang PAS. Jika gelanggang demokrasi yang sebenar dibuka, rakyat akan memperolehi penjelasan dan maklumat yang sebenar, dan ketika itu tidak mustahil rakyat akan menerima perjuangan PAS secara menyeluruh.

Wakil BBC kemudiannya bertanya:

Whats your message to those who use violence to get what you want through democracy?

Apakah mesej anda terhadap mereka yang menggunakan keganasan bagi memperolehi (negara Islam) apa yang anda perjuangkan melalui demokrasi?

Kata Tuan Guru:

Matlamat yang betul mestilah melalui cara yang betul. Islam tidak membenarkan cara yang tidak betul walaupun matlamatnya betul.

Ketegasan Tuan Guru dalam hal ini membuktikan sesunggunya garis pemisah yang ketara wujud antara kaedah perjuangan PAS dengan golongan ataupun kelompok lain yang menggunakan kaedah bukan demokratik bagai mencapai matlamat perjuangan Islam.

Wakil BBC seterusnya bertanya:

What if a member of KMM or JI walks into your mosque here, what would you do? Would you hand them over to the police?

Apa akan berlaku sekiranya ada ahli KMM ataupun JI mengunjungi masjid ini, apa akan anda lakukan? Adakah anda akan menyerahkan mereka kepada pihak polis?

Soalan ini merupakan satu lagi soalan perangkap yang cuba mengaitkan langsung PAS dengan KMM dan JI yang merupakan sasaran rencana ini. Ianya juga cuba mencungkil sentimen Tuan Guru terhadap KMM dan JI serta kesediaan Tuan Guru bekerjasama dalam memerangi keganasan.

Tuan Guru menjawab:

Saya tidak membenarkan kalangan-kalangan ini (KMM atau JI) wujud di dalam jemaah saya (di dalam ) kepimpinan saya. Saya menghormati undang-undang yang ada dan memang kita memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis sekiranya kalangan-kalangan yang melakukan masalah bukan hanya kepada negara malah kepada parti sekali, PAS bersedia memecat ahli-ahlinya yang memilih kaedah seumpama ini.

Penjelasan Tuan Guru ini yang pasti disaksikan oleh warga dunia khususnya di sebelah barat sekurang-kurangnya akan dapat memberikan gambaran sebenar darihal perjuangan PAS. Sebarang bentuk tohmahan dan cubaan untuk memburuk dan mengaitkan PAS dengan keganasan telah mendapat komen terus dari lidah Tuan Guru sendiri.

Kata wakil BBC semasa membuat pengambaran di dalam dan luar Masjid Rusila ketika Tuan Guru sedang menyampaikan kuliahnya dalam rencana khas ini:

There is no battle cry from this mosque

Tiada ada laungan keganasan (peperangan) dari masjid ini.

Mudah-mudahan penjelasan Tuan Guru akan mendidik dunia barat termasuklah anak-anak muridnya di sebelah sini darihal asas, kaedah serta matlamat sebenar perjuangan PAS. Benar PAS mahu menegakkan Negara Islam, tetapi melalui kaedah demokrasi.

Monday, March 21, 2005

NASIB ORANG MELAYU DIJAJAH BANGSA SENDIRI

Buletin Utama TV3 sebentar tadi terus memaparkan kegiatan pembalakan hutan di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang serta nasib para penduduk di kampung-kampung Melayu yang berhampiran.

Jika semalam dipaparkan betapa para penduduk tempatan terpaksa merendam hasil getah mereka sementara menunggu air sungai naik bagi memudahkan mereka membawanya ke pekan berhampiran menggunakan perahu panjang untuk dipasarkan. Hari ini ditunjukkan pula keadaan jalan tanah merah yang merupakan satu-satunya jalan menghubungi kampung-kampung berdekatan dengan pekan berhampiran.



Jalannya merupakan jalan bertanah yang berdebu semasa musim panas dan lecak serta berselut di musim hujan.

Sedih apabila melihat Ketua-ketua Kampung serta Ketua Umno cawangan mengeluh dan menyatakan tidak puas hati masing-masing terhadap pihak kerajaan. Ada yang mendakwa telah menjadi ahli Umno sejak hampir 40 tahun namun janji cuma tinggal janji. Wakil rakyat cuma datang apabila undi mereka diperlukan, selepas pilihanraya beginilah nasib anak-anak bangsa.

Kenyataan yang paling tajam datangnya dari seorang pakcik yang menyebut bahawa keadaan mereka seolah-olah hidup dalam era penjajahan. Tapi penjajahnya bukan orang asing tetapi sesama bangsa sendiri!

Demikianlah nasib orang Melayu, hina dan merempat di tanah air sendiri. Nasib dan kebajikan mereka tidak terbela sedangkan sokogan dan undi mereka dituntut semasa perlu. Berapa lamakah lagi mereka yang terlibat akan hidup dalam keadaan demikian?

Di Kuala Lumpur herot-herot mulut para pemimpin mendabik dada memperkatakan darihal pembangunan dan kegemilangan bangsa dan negara, tetapi hakikatnya ramai lagi yang diabaikan, hidup sengsara dan menderita.

Untuk rekod pada pilihanraya umum 1999 PAS menang di DUN Tahan namun Umno menang kembali pada pilihanraya umum lalu. Sementara itu rakyat di sana terus susah dan dirundung malang.

Sunday, March 20, 2005

KITA YANG BUKA PINTU PAGARNYA

Di Malaysia ini tuntutan untuk kembali kepada Islam bukan hanya diinginkan oleh orang PAS sahaja malah ramai yang inginkan demikian cuma tertakluk kepada keterbatasan masing-masing. Mereka yang dalam Umno, tidak berparti, ahli akademik, kakitangan kerajaan, remaja Islam sehinggalah kepada Raja-raja Melayu masing-masing samada kuat ataupun kurang semuanya mahu melihat Islam ini dimartabatkan di tempat yang tertinggi.

Semua yang prihatin ingin melihat anak-isteri dan kaum keluarga masing-masing menjadi individu yang baik-baik. Selamat di dunia dan lebih penting lagi selamat di akhirat.

Kerana itu dalam hal ini kita semua tidak kira mana parti ataupun fahaman bertanggungjawab membela dan mempertahankan Islam. Bila bertembung antara tuntutan dunia dan tuntutan Islam maka lepaskanlah tuntutan dunia itu dan berpaut teguhlah pada Islam. Ketika itu Islam akan dihormati dan disegani.

Tetapi apabila kita tidak demikian. Kepentingan dunia, survival politik, kerusi dan kuasa lebih penting maka akhirnya nanti Islam akan menjadi hina dan lemah.

Baru-baru ini Majlis Perbandaran Kota Bharu mengeluarkan cadangan (baru cadangan belum pun dikuatkuasa lagi) garispanduan pakaian untuk para peniaga wanita yang bukan Islam. Bagi yang Islam dituntut supaya sentiasa menutup aurat (itu peruntukkan Allah swt bukannya MPKB atau PAS). Cadangan pakaiannnya adalah kemeja ataupun blouse tangan panjang dan skirt labuh sekurang-kurangnya paras lutut (bukannya suruh tutup aurat pun!).

Sebagai seorang Islam saya rasa sesuailah peraturan itu memandangkan Kelantan pun lebih 95 peratus penduduknya beragama Islam. Soal ianya diperintah PAS tidak penting, ini soal mahu melaksanakan Islam dalam keadaan keupayaan yang ada. Mengapa kita tidak boleh sokong? Mengapa kita tidak boleh keluarkan kenyataan mengalu-alukan langkah ini? Lebih sedih lagi mengapa pula kita buka peluang untuk pihak bukan Islam membuat komen dan memberikan tafsiran mereka pula terhadap Islam?

Dalam akhbar THE STAR hari ini seorang pembaca yang mengulas isu ini menulis:

Choosing to wear body hugging t-shirts, blouses and various lengths of the skirt is the right of an individual. I believe that if a person is endowed with good physical assets, she should be proud and flaunt it and not hide it under long and loose clothing

Memilih untuk menggunakan tshirt ketat (memeluk tubuh), kemeja dan skirt apa sahaja panjangnya adalah hak individu. Saya percaya yang sekiranya seseorang itu dianugerahkan tubuh badan yang cantik, dia sepatutnya berbangga dan memperagakan (kecantikan tubuh) itu tanpa perlu menyembunyikannya di bawah pakaian panjang dan labuh.

Apabila kita membuka pintu pagar atas nama hak asasi dan kebebasan maka tatkala itu bersedialah untuk melihat Islam diperkecil dan dipersendakan. Dan apabila ini berlaku kita menjadi kepanasan dan tidak menentu.

Dalam hal MPKB ini pihak berkenaan masih membuka pintu dailog dengan para peniaga pasaraya dan gedung-gedung. Bermakna ianya belum muktamad lagi. Malah usaha MPKB berdailog dengan para pengusaha untuk memutuskan perkara ini sewajarnya dialu-alukkan. Tetapi kita tidak, kita izinkan pula pihak yang tidak tahu untuk membuat pelbagai komen dan telahan.



Kesimpulannya berikut saya siarkan kenyataan Tok Guru MB Kelantan dalam wawancaranya dengan UTUSAN hari ini, mudah-mudahan menjadi renungan kita semua:

Harapan saya ialah saya minta orang Melayu beragama Islam faham Islam sebenar, supaya hidup di dunia selamat, dalam kubur selamat dan di akhirat juga selamat. Kedua kalau ada orang Cina yang pandang serong kepada Islam tolong ubahkan fikiran, kalau rasa tidak puas hati dengan Islam, tanya keluarga Islam, tanya saya pun tak apa.

Jangan kita pula menjadi agen ataupun alat untuk Islam itu dipersendakan.
BAHANA TUNTUTAN GENDER EQUALITY TERHADAP ISLAM

Islam sentiasa menjamin hak wanita. Malah Islamlah yang tersohor memberikan penghormatan dan menaikkan martabat kaum wanita diketika dunia Eropah masih dalam belenggu kegelapan. Insan yang pertama memeluk Islam adalah seorang wanita dan demikian juga yang pertama syahid di jalan Allah adalah wanita jua.

Islam telah complete sebagai satu peraturan hidup yang diterima penganutnya, sesuai untuk sepanjang zaman sehingga hari akhirat. Cuma sejak akhir-akhir ini ekoran persitiwa September 11 Islam mula mahu disuntik kononnya dengan nafas baru oleh para pengganggunya dengan menggunakan individu dan badan Islam yang bobrok bagi menjuarai trend sesat ini.

Isu umpama GENDER EQUALITY ataupun persamaan hak khusus untuk golongan wanita mula diumpan dan dimain-mainkan. Sesungguhnya peruntukkan terhadap hak wanita dalam Islam tidak pernah menjadi isu. Kalau ada negara contohnya menafikan hak wanita untuk mengundi dalam pilihanraya, banyak negara Islam yang mengamalkan demokrasi memberikan hak ini umpama Malaysia dan Iran. Kalau ada negara contohnya tidak membenarkan wanita menjadi calon, banyak negara Islam yang mengamalkan demokrasi mengizinkannya, malah Iran sehingga membenarkan calon wanita untuk Naib Presiden.

Yang tidak dituntut oleh wanita Muslimah adalah perkara-perkara yang telah menjadi amalan Islam sebagaimana yang diperkenalkan oleh Rasulullah saw, diamalkan dari zaman Baginda sehingga hari ini. Antaranya adalah bahawa Solat Jumaat cuma diwajibkan ke atas umat Islam lelaki dan khatib serta imamnya adalah lelaki belaka sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Tiba-tiba Jumaat lalu dunia Islam dikejutkan apabila ada segolongan kecil di Amerika Syarikat diketuai oleh Professor Amina Wadud, seorang professorPengajian Islam di Virginia Commonwealth University telah mengerjakan solat jumaat (dalam gereja) diimamkan oleh Aminah sendiri. Jemaah sekitar 100 lebih orang ini bercampur lelaki dan wanita.


Aminah mengimamkan solat Jumaat

Di dalam Harakahdaily bekas Imam Besar Masjid Negara Ustaz Taib Azamudeen berkata:

Sembahyang yang diimamkan oleh wanita yang makmumnya terdiri daripada lelaki dan wanita adalah tidak sah.

Malah Sheikhul Azhar sebagaimana dipetik oleh BBC mengatakan Islam tidak membenarkan wanita menjadi khatib dan imam kepada jemaah yang termasuk kaum lelaki.

Bagi saya peruntukkan hukum telah jelas dalam hal ini. Soal samada Aminah merupakan professor tidaklah merupakan lesen bagi beliau untuk memberikan tafsiran sesuka hatinya dalam hal ini.


Aminah Wadud

Namun yang menjadi kebimbangan berikutan peristiwa ini adalah penerimaan mereka yang kurang jelas pemahaman Islamnnya dan memang pula merupakan juara dalam bab-bab memberikan tafsiran yang mengelirukan terhadap Islam. Sebagai contoh dalam UTUSAN hari ini Astora Jabat memberikan liputan meluas terhadap aksi Aminah dengan sokongan yang tinggi melangit.

Aminah memang merupakan rakan akrab kepada Marina Mahathir dan pertubuhan Sisters in Islam. Oleh itu atas nama perjuangan GENDER EQUALITY jangan terkejut perkara ini kelak dituruti secara buta oleh individu dan badan yang seumapama ini dalam negara kita. Oleh itu para mufti perlu segera bertindak menyelamatkan maruah dan martabat agama di negara kita, segerelah bertindak sebelum Stadium Bukit Jalil umpamanya menjadi lokasi solat jumaat pertama yang diimamkan oleh Marina ataupun Shahrizat ataupun entah siapa-siapa lagi wanita Islam keliru dalam negara kita.

Saya pasti dunia barat yang sememangnya tidak senang dengan Islam akan menaja dan menyokong usaha sesat ini demi memecah-belahkan agama kita, tambahan ada pula baruah yang sanggup mengerjakannya. Jangan biarkan perkara ini berlaku!

Saturday, March 19, 2005

KAYANYA ANAK-ANAK MENTERI KITA

Saya tidak tahu tentang saudara pembaca namun bagi saya apabila melihat satu berita kemalangan dalam Utusan Malaysia pada hari ini saya terus berasa tersentap. Tajuknya:

Anak Ketua Menteri nyaris maut Ferrari terbalik

Kandungannya:

Seorang ahli perniagaan yang merupakan anak kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud nyaris maut apabila kereta Ferrari FS360 yang dipandunya terbabas lalu melanggar dinding terowong di antara Jalan Yap Kwan Seng dan Jalan Tun Razak pagi ini. Kejadian berlaku pada pukul 3.30 pagi .......



Saya tak pasti harganya tapi yang saya tahu sebuah Ferarri sedemikian mustahil dimiliki oleh rakyat biasa yang bukan dalam kategori jutawan. Mangsa sudah pasti dikategori itu kerana beliau terlibat dalam kemalangan ini dengan pengawal peribadi berada di sebelah. Orang biasa tidak ada pengawal peribadi!

Bertuahlah barangkali anak-anak Ketua Menteri Sarawak, ada yang memiliki bank dan memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Tidak kurang juga anak PM dan anak-anak bekas PM semuanya kaya dan hartawan belaka. Maka teringatlah saya akan 2 dari 15 perkara yang Rasulullah saw sabdakan di dalam hadis berkenaan peristiwa akhir zaman iaitu:

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

Hadis riwayat Termizi. Wallahualam.
SAMI BUDDHA BANTAH SYARIKAT ARAK
- ULAMAK MALAYSIA?

Satu berita menarik dalam akhbar THE STAR hari ini. Beribu-ribu sami Buddha berdemonstrasi di hadapan ibupejabat bursa saham Thailand kerana membantah penyenaraian awam salah sebuah syarikat arak yang paling maju di negara tersebut.


Syarikat Thai Beverages Limited yang mengeluarkan produk Chang Beer dan Mekhong Whisky itu dilaporkan akan menjadi syarikat penegluar arak yang pertama yang bakal disenaraikan di Bursa Saham Thailand ataupun SET.

Para sami yang dianggarkan berjumlah hampir 2,000 orang (menurut Bangkok Post 5,000 orang) telah melalui wakil mereka menyerahkan surat bantahan kepada SET. Antara lain surat tersebut memaparkan kesan buruk arak terhadap masyarakat disamping menyuarakan kebimbangan tentang mendadaknya naik kemalangan jalanraya yang berpunca dari pemandu yang mabuk khususnya dikalangan remaja.

MenurutPhra Suriya Panya-vachiro, Setiausaha Agung Pusat Koordinasi Sami-sami Buddha Thailand (laporan akhbar THE NATION Thailand) 99.9 peratus dari masalah sosial di Thailand dikesan dari penggunaan arak!

Thailand adalah sebuah negara Buddha. Syarikat araknya baru mahu mohon untuk disenaraikan. Malaysia sebuah negara yang didakwa Islam yang jelas mengharamkan arak namun di Bursa Malaysia di bawah kaunter produk pengguna terdapat dua syarikat pengeluar arak iaitu Carlsberg dan Guiness. Kedua-dua syarikat ini telah pun disenarai dan diurusniagakan di Malaysia sejak berpuluh-puluh tahun dan masing-masing mengaut keuntungan yang lumayan dari tahun ke tahun.

Tak tahulah apa usaha ulamak Malaysia dalam hal ini, khususnya yang duduk selesa di bilik-bilik berhawa dingin di JAKIM dan Jabatan-jabatan Agama negeri-negeri. Arak di Malaysia tidak seburuk kesannya sebagaimana arak di Thailand agaknya?
IKEA UMUM TUTUP SEMENTARA RESTORAN & KAFE
: TAPI TIADA MOHON MAAF

Masuk hari ini sudah dua hari berturut-turut pihak pengurusan IKEA Retail Malaysia memuatkan notis dalam akhbar-akhbar tempatan yang:

Memaklumkan penutupan sementara Restoran dan Kafe Exit.
Penutupan sementara bagi tujuan proses samak.
Mengusahakan untuk mengesahkan sijil jaminan halalnya.



Media tempatan telah mendedahkan secara berleluasa betapa restoran di Komplek IKEA ini menghidangkan sosej dari usus babi kepada para pelanggannya termasuk yang beragama Islamwalaupun kononnya memiliki sijil halal . Sejak terdedah berita ini banyak pihak telah menyerang pihak IKEA dan lain-lain yang terlibat dalam mengeluarkan produk tersebut.

Melihatkan ketegangan suasana maka IKEA mengeluarkan notis ini bagi mententeramkan para pelanggannya. Soalnya tiada langsung pernyataan mohon maaf oleh pihak IKEA terhadap masyarakat Islam khususnya mereka yang telah tertipu dan memakan makanan haram yang telah mereka hidangkan itu.

Ini bukan soal main-main yang boleh disapu ke bawah tikar begitu sahaja. Ini soal maruah dan kehormatan umat Islam. IKEA perlu didesak mengeluarkan pernyataan memohon maaf kepada semua umat Islam. Jangan sekadar memeperkudakan umat Islam untuk melariskan produk mereka tanpa sensitif langsung terhadap kesucian agama.

Selagi pernyataan maaf secara terbuka ini tidak disiarkan maka wajarlah umat Islam memboikot syarikat gergasi Sweden ini. Mana yang lebih penting maruah agama atau kepentingan dan keperluan peribadi?

Thursday, March 17, 2005

LTAT BERI DIVIDEN 15.75 PERATUS:
APA HAL KWSP?

Akhbar-akhbar hari ini menonjolkan pengumuman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) darihal pengumuman dividen kepada para pencarumnya. Sebagaimana yang dilaporkan UTUSAN:

Kira-kira 100,000 anggota tentera yang mencarum dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menikmati dividen dan bonus lumayan 15.75 peratus bagi tahun kewangan 2004.
Ia akan melibatkan pembayaran berjumlah RM401.4 juta.


Pada 2003, LTAT membayar dividen dan bonus 10.75 peratus manakala pada tahun 2002 ialah 10 peratus.

Tahniah diucapkan kepada semua warga tentera kerana memperolehi keuntungan yang lumayan dari pelaburan masing-masing. Tetapi yang lebih penting lagi tahniah kepada para pengurus dana LTAT khususnya jabatan LTAT yang terlibat kerana telah berjaya memikul amanah dengan bekerja keras bagi memberikan keuntungan yang sebegini lumayan!

Soalnya kalau LTAT boleh beri sehingga 15.75 peratus mengapa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beri sekadar 4.75 peratus? Sedangkan jumlah dana terkumpul KWSP lebih dari RM200 billion iaitu berlipat kali ganda lebih besar dari LTAT.

Saya cadangkan Pengurus Dana KWSP digantikan dengan Pengurus Dana LTAT yang cemerlang itu ataupun pindahkan sahaja dana KWSP untuk diuruskan oleh Pengurus Dana LTAT yang telah berjaya membuktikan kebolehan mereka. Jangan perjudikan masa depan para pekerja semata-mata kerana kepentingan pihak tertentu.

Tahniah LTAT.

Wednesday, March 16, 2005

KHIR OK DAH SERBA SALAH

Akhbar THE STAR hari ini melaporkan bahwa MB Selangor Khir Toyo menyatakan yang kerajaan negeri sedang mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam di Bukit Cerakah. Kata beliau lagi Penasihat Undang-undang kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Galian sedang menyediakan laporan darihal hakmilik tanah berkenaan.

Yang menjadikan Khir serba salah adalah ketika isu ini meletup baru-baru ini Pak Lah telah mengarahkan agar hakmilik Taman Pertanian berkenaan diserahkan kepada kerajaan Persekutuan supaya pemantauan dan pengurusan dapat dilaksanakan secara lebih efektif demi menjamin nasib dan masa depan taman warisan berkenaan. Dalam keadaan rimas dan tertekan Khir dikhabarkan telah memberikan persetujuan.

Walaubagaimanapun pada minggu lalu DYMM Sultan Selangor telah mengutus surat kepada Khir membantah pengambil-alihan berkenaan. Kata Tuanku telah banyak tanah di Selangor diserahkan kepada kerajaan Persekutuan (antaranya Kuala Lumpur, Putrajaya) oleh itu tidak perlu untuk menyerahkan mana-mana lagi jajahan negeri yang ada. Tuanku menambah bahawa jika pusat berminat memantau dan mengurus taman berkenaan kerajaan negeri boleh membenarkan tanpa perlu menyerahkan pemilikannya kepada mereka.

Dan kata Khir dalam THE STAR hari ini:

We will follow the directive of the Prime Minister.

Kita akan patuhi arahan Perdana Menteri.

Kalau demikian bagaimana dengan titah Sultan? Dalam hal ini saya bersetuju dengan Tuanku bahawa pengurusan dan pemantauan taman ini tidak perlu melibatkan penyerahan khazanah negeri Selangor kepada pusat. Kalau nak majukan, majukan sahaja bersama. Dan Khir sebagai MB sepatutnya berunding dengan Tuanku, takkanlah sampai membelakangkan institusi yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negeri.



Ada MB sebelum ini yang durhaka kepada Tuanku Sultan sebelum ini, dan nasibnya terus malang lantaran pendurhakaan itu. Sebenarnya Tuanku Sultan Selangor dari dahulu sehingga yang kini semuanya baik-baik belaka, berjiwa rakyat dan sederhana. Takkanlah Khir tak tahu?

Sekurang-kurangnya Tuanku begitu prihatian darihal kedaulatan negeri, Khir bagaimana? Dalam hal ini rakyat Selangor sepatutnya berdiri teguh di belakang Tuanku dan bersama-sama mempertahankan kedaulatan dan maruah negeri. Khirlah yang sepatutnya terkorban akibat perkosaan biadap terhadap Bukit Cerakah ini dan bukannya kedaulatan negeri!

Tuesday, March 15, 2005

KALAU ISLAM DILABEL PENGGANAS
YANG LAIN SEKADAR GANGSTER DAN SAMSENG

Sejak persitiwa September 11 para pejuang dan aktivis gerakan Islam dimerata dunia dilabel PENGGANAS oleh dunia barat khususnya Amerika Syarikat. Presiden Bush semasa mengisytiharkan WAR AGAINST TERRORISM ataupun perang besar-besaran menentang keganasan telah memberi kata-dua kepada negara-negara Islam agar jangan memberi sebarang perlindungan ataupun ruang kepada mana-mana pejuang atau gerakan Islam yang dilabel pengganas.

Yang terakhir di Indonesia Ustaz Abu Bakar Bashir telah diseret ke mahkamah atas alasan terlibat dalam aktiviti keganasan di Indonesia. Malah dalam akhbar Utusan baru-baru ini diberitakan beberapa pelajar yang menerima keputusan cemerlang namun masih dalam tahanan di Kamunting kerana dituduh terlibat dengan JI.

Tiba-tiba AFP melaporkan hari ini pimpinan parti Sinn Fein iaitu sayap politik gerakan pembebasan katholik Republik Ireland atau IRA yang terkenal dengan beberapa siri keganasan di UK sehingga hari ini diterima mengunjungi bumi Amerika Syarikat sempena perayaan St Patricks Day di sana. Bush melalui jurucakap Washington sekadar melabel gerakan IRA ini sebagai gangster dan samseng.


GERRY ADAMS PEMIMPIN SINN FEIN (IRA)

Sebagaimana dilaporkan AFP:

Continued violence, paramilitary activity and associated criminal acts remain a key obstacle to a lasting and durable peace. But a senior administration official, speaking on condition he not be named, told AFP the United States is particularly unhappy with the continued IRA thuggery and gangsterism ... and that's the message thats being sent.

Keganasan yang berterusan, aktiviti paramilitari dan penglibatan di dalam aktiviti jenayah merupakan halangan besar ke arah mencapai kedamaian yang berpanjangan. Seorang jurucakap kanan pentadbiran (Bush) yang tidak mahu namanya disebut memberitahu AFP bahawa AS sungguh tidak berpuas hati dengan kegiatan GANSTERISME dan SAMSENG IRA, dan mesej ini telah pun disampaikan.

Demikianlah double standard pentadbiran Bush yang kononnya berlagak bagai Polis Dunia. Darah ditangan pejuang IRA barangkali tidak sama merah dengan darah yang kononnya ada ditangan para pejuang Islam. Terlalu perit dan berat bagi Bush mengiktiraf IRA sebagai gerakan pengganas, mengapa, kerana label pengganas itu bagi Bush dan kaum kerabatnya hanya sesuai untuk ditampalkan ke muka umat Islam sahaja!

Monday, March 14, 2005

PAS BUKAN MACAM UMNO

BERNAMA melaporkan MB Terengganu Idris Jusoh sebagai berkata bahawa beliau yakin tidak akan ada calon yang akan menentang Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang bagi jawatan Presiden PAS dalam Muktamar PAS pada awal bulan Jun kelak.

Komen ini beliau berikan ekoran kenyataan Tuan Guru baru-baru ini bahawa beliau bersedia melepaskan jawatannya kiranya ada calon yang memperolehi lebih pencalonan bagi jawatan Presiden. Demikian juga pandangan ahli parlimen Jeli Mustapha Mohamed.



Sungguh prihatin nampaknya pimpinan Umno dalam hal ini seolah-olah bersetuju bahawa jawatan Presdien PAS hanya layak buat Tuan Guru ketika ini.

Tidak seperti ketika pemilihan pimpinan Umno dahulu. Kalangan pimpinan Umno masing-masing heboh dan gawat mengeluarkan kenyataan. Jangan cabar Presiden dan Timbalan Presiden, biarkan dua jawatan tertinggi dalam Umno ini kekal disandang oleh penyandangnya. Malah bila Tengku Razaleigh dicalonkan oleh bahagian Gua Musang, masing-masing kalangan Umno mencerca dan mengutuk Ku Li. Dalam erti kata lain walaupun pada hakikatnya demokrasi itu sebagaimana dalam PAS wujud juga dalam Umno namun ianya tidak pernah dibiarkan bernyawa malah sentiasa sahaja kaku dan layu khususnya dalam pemilihan jawatan tertinggi parti.

Kerana itulah bila Tuan Guru mengeluarkan kenyataan bersedia berundur jika ada lawan yang diberi lebih pencalonan, maka rasa rimas dan panas belaka mereka yang seumpama Idris dan Mustapha ini, heran dan terpegun kerana dalam Umno perkara seumpama ini tidak wujud samasekali.

Dalam PAS tidak ada gesaan pun agar kawasan-kawasan yang sedang bermesyuarat agung kini mencalonkan Tuan Guru sahaja untuk jawatan Presiden parti sebagaimana yang berlaku dalam Umno. Kebebasan diberikan sepenuh-penuhnya, tidak ada garis panduan tidak ada tunjuk ajar, ringkasnya demokrasi beroperasi selancar mungkin dalam pemilihan PAS!

Jauh lagi politik wang. Tidak pernah berbangkit isu membeli undi bagi mendapatkan sokongan dalam PAS sebagaimana wabak dan penyakit kronik yang melekat pekat dalam Umno.

Idris dan Mustapha tidak perlu bimbang orang PAS insyallah sentiasa akur pada disiplin Islam semasa memilih pimpinan dikalangan mereka. Idris dan Mustapha seolah-olah mahu menghasut ahli-ahli PAS agar menolak Tuan Guru lantaran kekalahan PAS dalam pilihanraya umum lalu. Ianya tidak semudah itu. Rasulullah saw sendiri pernah mengharung kemenangan dan kekalahan semasa berhadapan dengan musuh Baginda. Kekalahan bukannya menandakan yang Islam itu kalah tetapi kekalahan bagi pejuang Islam lebih merupakan ujian Allah bagi mengukuh dan meneguhkan lagi pendirian hamba-hamba Nya.

Insyallah umat Islam dan rakyat Malaysia umumnya akan lambat-laun dapat juga melihat dan membezakan antara perjuangan yang benar dan adil serta perjuangan yang bathil dan bohong. Yang jelasnya dalam isu ini tidak syak lagi antara PAS dan Umno memang jauh berbeza laksana langit dan bumi.

Sunday, March 13, 2005

NATIJAH DEBAT PERDANA:
TANGANI SEGERA MASALAH DADAH


Dalam satu perkataan boleh saya katakan bahwa kesimpulan majlis debat perdana anjuran RTM sebentar tadi, menunjukkan yang masalah penyalahgunaan dadah dalam negara kita telah sampai ke tahap KRITIKAL.

Kita mempunyai pelbagai akta dan peraturan iaitu antara yang terketat dalam dunia namun angka penyalahgunaan dadah terus meningkat dari tahun ke tahun sehingga disebut bahawa terdapat 2 penagih baru setiap jam (iaitu 48 setiap hari ataupun 1440 setiap bulan) di Malaysia dan lebih 70 peratus darinya terdiri dari kalangan anak-anak Melayu!

Berdasarkan hujah dan statistik yang dibentangkan oleh ahli-ahli panel jelas bahawa walaupun di sana terdapat undang-undang dan penguatkuasaan namun keberkesanannya kearah membenteras masalah sosial seolah tidak berkesan dan sebaliknya angka dan statistik negatif terus meningkat.

Ustaz Ahmad Awang, Zainal Abidin & Loh

Bagi saya ketiga-tiga ahli panel iaitu Zainal Abidin Zain (Presiden PEMADAM), Ustaz Ahmad Awang (Pesuruhjaya PAS Perak) dan Loh Seng Kok (ahli parlimen Kelana Jaya) telah memberikan komen dan hujah yang jujur dan semasa. Seorang lagi ahli panel iaitu DCP Najib (Pengarah Narkotik Bukit Aman) dilihat terlalu kaku bagai robot dan tidak berdaya memberikan hujah yang bernas kerana barangkali bimbang melangkaui disiplin pasukan.

Mengenepikan sentimen politik saya melihat isu ini bukan lagi isu yang boleh dipandang ringan tetapi ianya perlu ditangani secara kolektif dan serius memandangkan segala usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan nampaknya tidak berjaya menzahirkan penyelesaian yang efektif. Ahli-ahli panel yang tiga tadi (termasuklah moderator) telah menyingkap betapa kritikalnya masalah sosial ini dan betapa formula baru dan lebih berkesan sangat-sangat diperlukan.

Ustaz Ahmad Awang dan Loh Seng Kok kelihatan bersetuju bahawa pendidikan kerohanian (kata Loh menekankan unsure-unsur dan nilai-nilai baik) dari peringkat persekolahan lagi perlu ditekankan bagi melahirkan jiwa yang teguh dan mampu menolak sebarang ajakan kekancah kehancuran penyalahgunaan dadah ini.

Oleh itu saya sekali lagi memohon agar pihak PAS dan terutama kerajaan PAS di Kelantan memberikan perhatian terhadap isu yang semakin KRITIKAL ini. Dewan Pemuda PAS contohnya boleh segera menubuhkan Lajnah khas untuk menangani isu ini dengan membawa penyelesaian secara Islam (Ustaz Ahmad Awang boleh dimanfaatkan sebagai Penasihat memandangkan pendedahan yang pernah beliau terima sewaktu berkhidmat untuk kerajaan dan PUM dahulu). Dan dalam waktu yang sama kerajaan PAS Kelantan perlu menubuhkan jawatankuasa khas yang kalau boleh diterajui oleh MB atau Timbalannya untuk menangani isu yang sama.

Dalam hal seberat ini tidak cukup kita sekadar menjadi pembangkang dan pengkritik. Sudah tiba masanya kita turut menyumbang dan secara berani mengemukakan formula penyelesaian Islam yang dinanti-nantikan oleh masyarakat.

Inilah masanya untuk kita buktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa sesungguhnya Islam itu sebenarnya adalah penyelesai permasalahan ummah. Saya yakin dan percaya kalau PAS secara serius memulakan inisiatif kea rah menangani masalah dadah ini pasti banyak pihak dan tenaga professional dan bukan professional samada di dalam maupun di luar PAS akan berbondong-bondong memberikan khidmat dan bantuan.

Kesimpulannya saya mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga ahli panel debat ini kerana berjaya mengenepikan sentimen politik dan sebaliknya bersama-sama mengemukakan pandangan dan hujah demi kebaikan bersama.

Saturday, March 12, 2005

AZALINA: NIK AZIZ JENIS TIDAK MEMBACA

Masih mengenai isu garispanduan pakaian untuk para pekerja wanita yang ingin diperkenalkan oleh MPKB. Turut tidak mahu ketinggalan memberikan komen dan membelasah Tok Guru MB Kelantan adalah Azalina Othman, Menteri Belia dan Sukan.

Kata Azalina tidak ada statistik ataupun bukti yang menunjukkan bahawa punca jenayah seksual berlaku didorong oleh cara wanita berpakaian. Malah kata beliau kenyataan seumpama yang disampaikan oleh Nik Aziz itu sebenarnya hanya akan keluar dari mereka yang tidak membaca dan tidak bermaklumat.



Azalina memang dikenali sebagai seorang ahli politik yang robust dan tidak pernah bertimbang rasa lebih-lebih terhadap musuh politik beliau. Dan kenyataan beliau ini sedikit pun tidak menghairankan memandangkan beliau lebih selesa berpakaian sebagaimana Ketua Wanita MCA walaupun berlainan akidah dengan Dr Ng.

Benarlah bahawa kenyataan Tok Guru itu tidak disandarkan pada statistik namun kenyataan Azalina juga tidak berdasarkan statistik. Kalau kita lihat beberapa kes jenayah rogol dan bunuh yang high profile sejak akhir-akhir ini kebanyakannya terjadi ke atas wanita yang mendedahkan aurat.

Walaupun demikian tidak seperti Azalina, kenyataan Tok Guru adalah bersandarkan hukum. Allah swt menyebut dipenghujung ayat 59 surah al Ahzab (berkenaan pakaian menutup aurat) :

..... lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Ini statistik dan bukit dari Allah swt! Orang Islam yang beriman tidak sekali-kali mempertikaikan ayat-ayat Allah apalagi mencabarnya. Kenyataan Tok Guru bukan berdasarkan pandangan peribadi beliau tetapi saya yakin adalah berdasarkan intipati ayat ini (dan ayat-ayat lain yang berkaitan) yang Azalina sendiri barangkali tidak membacanya. Saya tidak pasti yang Tok Guru itu jenis yang tidak membaca ataupun tidak bermaklumat sebagaimana dituduh Azalina, tapi yang saya tahu insyallah beliau reti dan faham hukum berbanding Azalina yang bab hukum menutup aurat pun semacam tak faham-faham.

Kalau mahu keluar kenyataan politik sekalipun janganlah sampai keperingkat merendah-rendahkan martabat dan ilmu seseorang itu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan Azalina sendiri (yang saya kenali secara peribadi sejak dari kampus) yang tidak sempurna luar dalam.
PKNS TURUT TERLIBAT MEMPERKOSA BUKIT CERAKAH
BAGAIMANA PENGERUSI PKNS?

Akhirnya mereka yang terlibat dalam kerja-kerja memperkosa Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam ataupun Bukit Cerakah mula diseret dan didakwa di mahkamah. Namun sejauh manakah ianya memberikan penyelesaian ke atas isu ini tidaklah diketahui.

Sebagaimana dilapor dalam akhbar-akhbar hari ini 3 pemaju telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Denda diantara RM200 ke RM300 ribu telah dikenakan ke atas ketiga-tiga pihak yang didapati bersalah di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.



Yang melucukan, antara yang didakwa adalah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor ataupun PKNS iaitu badan berkanun milik kerajaan negeri Selangor. PKNS sebagaimana perbadanan kemajuan di negeri-negeri lain dipengerusikan oleh Menteri Besar masing-masing. Bermakna apabila PKNS diseret, didakwa dan didapati bersalah maka seluruh organisasi ini memikul pertanggungjawabannya termasuklah Pengerusinya iaitu Khir Toyo sendiri!

Untuk rekod ahli-ahli lembaga PKNS terdiri dari:

Menteri Besar Khir Toyo (Pengerusi)
Mufti Shuib (bekas ADUN Umno)
Jegarasah Verasamy (wakil rakyat MIC)
Zakariah Md Deros (ADUN Umno)
Karim Mansor (ADUN Umno)
Liew Yuen Kong (ADUN MCA)

bermakna seluruh kerabat BN Selangor tidak boleh terlepas dari prinsip pertanggungjawaban dan dari segi moralnya mereka juga memikul beban kesalahan yang telah diputuskan oleh mahkamah itu.

Apa lagi agaknya komen Khir? OK lagi ke?

Hakim Suraya Othman semasa menjatuhkan hukuman berkata:

Let this sentence be a lesson to the affected parties and all other developres, that they respect and heed the laws and regulations. It mirrors the abhorrence of the court and the public on those who violate the enviroment.

Biarlah keputusan penghakiman ini menjadi pengajaran kepada pihak yang terlibat serta semua pemaju yang lain, iaitu mereka perlu menghormati dan mematuhi undang-undang dan peraturan. Ianya mencerminkan kemarahan mahkamah dan orang awam terhadap mereka yang memperkosa alam sekitar.

Sebelum ini kita melihat betapa Khir beria-ia mengumumkan bahawa semua yang terlibat akan diseret ke mahkamah dan didakwa dengan seberat-berat pertuduhan. Rupa-rupanya beliau pun termasuk dalam golongan mereka yang akan didakwa. Dalam hal seserius ini Khir tidaklah boleh berlepas tangan, demikian juga wakil BN negeri yang duduk dalam lembaga PKNS.

Kalau PKNS yang merupakan perbadanan milik rakyat negeri Selangor itu perlu menanggung denda RM330,000 bermakna tidak secara langsung rakyat negeri Selangorlah yang terpaksa membayarnya akibat kecuaian mereka yang membuat keputusan, dalam hal ini lembaga dan pengurusan PKNS. Oleh itu Khir dan rakan-rakan dari sudut moralnya perlu memikul tanggungjawab terhadap kesalahan ini. Kalau PKNS kena denda RM330 ribu maka Pengerusi dan ahli lembaganya sepatutnya melepaskan jawatan masing-masing tanpa lengah lagi.

OK tak Khir?

Friday, March 11, 2005

KERANA MAHU RAKYATNYA BAIK
TOK GURU DICERCA


Saya sudah menjangkakan yang isu garispanduan pakaian untuk para pekerja wanita di premis perniagaan (yang ingin diperkenalkan MPKB) pasti akan dipolitikkan oleh pelbagai pihak. Telahan saya memang benar.

Pada hari ini Ketua Wanita MCA berterusan memukul dan menyerang tindakan MPKB itu termasuklah pandangan Tok Guru MB Kelantan. Tak cukup dengan Dr Ng, Sisters in Islam juga tidak mahu ketinggalan dalam kerja memperlekehkan pandangan Tok Guru MB.



Ekoran usaha MPKB untuk menerbitkan garispanduan sedemikian Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat selaku MB Kelantan telah memberikan pandagan. Kata beliau pelbagai gejala sosial yang berlaku ketika ini menyebabkan Kelantan memperkenalkan kod etika berpakaian kepada semua premis perniagaan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Tiba-tiba Ketua Wanita MCA Dr Ng melenting dan menyerang Tok Guru dengan mengatakan (sebagaimana dilaporkan THE STAR):

I have come to a stage where I have given up (commenting) on what Datuk Nik Abdul Aziz says. Doesnt he realize that most sex crime victims are fully dressed from head to toe and some are children? Someone with that kind of mindset on gender issues is an obstacle to the progress of women.

Saya sudah bosan mengulas pandangan Datuk Nik Abdul Aziz. Apakah beliau tidak menyedari bahawa kebanyakan mangsa jenayah seksual adalah mereka yang berpakaian lengkap dari kepala ke hujung kaki termasuklah kanak-kanak? Seseorang yang mempunyai minda sedemikian terhadap isu gender sebenarnya adalah penghalang kearah pembangunan wanita

Wakil Sisters in Islam, Nabila Nasir pula berkata:

If the way women dressed made them victims of sexual crimes then women in baju kurung and headscarves as well as girls in school uniforms would not be raped and killed.

Sekiranya cara berpakaian seseorang wanita itu mengakibatkan merek menjadi mangsa jenayah seksual bermakna wanita yang berbaju kurung dan bertudung termasuklah kanak-kanak berpakaian seragam sekolah tidak akan dirogol dan dibunuh.

Allah swt berfirman di dalam Al Quran (al Ahzab:59)

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani

Allah swt berfirman lagi (an Nur : 31)

Dan katakanlah kepada perempuan -perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau anak-anak mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tiadk berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Memang pada umumnya kita melihat si binatang yang dinamakan perogol memang tidak memilih mangsanya, namun sebagai manusia Muslim kita diperintah oleh Allah swt untuk berjaga-jaga dan mengambil usaha pencegahan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan. Inilah yang cuba diterapkan oleh kerajaan negeri pimpinan Tok Guru.

Sebagaimana kata Tok Guru dalam hal ini:

Saya sebagai bapa yang menjaga sebuah negeri kena pastikan anak-anak saya berada pada tempat yang betul agar dijauhi segala masalah yang boleh berlaku kepada mereka.

Tidakkah ini satu sikap prihatin dan bertanggungjawab seorang pemimpin yang sepatutnya dialu-alukan dan dijadikan contoh!

Kerajaan pusat sendiri mewajibkan penggunaan topi keledar ke atas penunggang dan pembonceng motosikal. Namun kalau berlaku kemalangan serius biasanya penunggang dan pembonceng menjadi mangsa walaupun menggunakan topi keledar. Lalu patutkah kita mengesyorkan agar terpulanglah pada penunggang dan pembonceng samada mahu ataupun tidak bertopi keledar?! Kalaulah pandangan Dr Ng dan rakan-rakannya mahu diterima.

Usaha pencegahan yang ingin dilaksanakan oleh Kelantan ini berdasarkan wahyu Illahi dan bukannya ciptaan Tok Guru. Sebagai kerabat BN yang mana Umno merupakan tonggaknya Dr Ng seharusnya berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan. Kalau sekadar nak singgung Tok Guru tak mengapa tapi jangan sampai ke peringkat menyinggung Islam dan penganutnya.

Kenapa hiruk-pikuk atas usaha Kelantan? Kenapa tak persoal apa usaha kerajaan BN dalam hal ini? Rogol dan bunuh berlaku saban hari, dimana formula penyelesaiannnya? Pesalah rogol dihukum seberat-beratnya namun kes rogol terus berlaku, kenapa?

Sepatutnya kita belajar dari formula Kelantan kalau pun tak sanggup nak sokong, lihat sahaja dari tepi padang, tapi awas jangan sampai keperingkat memperlekeh dan menghina.

Thursday, March 10, 2005

ISU PAKAIAN SOPAN:
KELANTAN SERIUS MEMELIHARA KEBAJIKAN RAKYAT

Kerajaan negeri Kelantan maju setapak lagi dalam usaha menjaga dan memelihara kebajikan rakyatnya apabila memberi perhatian terhadap etika berpakaian untuk pekerja wanita di premis perniagaan.

Kini bagi premis perniagaan di sekitar Kota Bharu kerajaan negeri melalui PBT mensyaratkan bahawa para pekerja wanita Islam perlulah mengenakan pakaian menutup aurat manakala pekerja wanita bukan Islam pula perlu mengenakan pakaian yang sopan bagi menjamin lesen premis perniagaan mereka diberikan keizinan.

Dalam akhbar hari ini Yang Dipertua MPKB mengumumkan garis-panduan pakaian bagi para pekerja wanita yang bukan Islam. Ini bagi memberi pentafsiran lebih jelas terhadap istilah SOPAN yang dimaksudkan. Menurut Yang Dipertua MPKB Abdul Aziz Abdul Rahman pihaknya mengesyorkan agar bagi memenuhi maksud SOPAN itu para pekerja wanita bukan Islam perlulah mengenakan pakaian sekurang-kurangnya skirt labuh dan baju tangan panjang.


YDP MPKB ABD AZIZ

MPKB sementara itu masih lagi berbincang dengan wakil-wakil pengusaha yang terbabit untuk menerima dan mengumpul maklum-balas.

Dalam akhbar THE STAR hari ini dilaporkan yang Ketua Wanita MCA Dr Ng Yen Yen tidak berpuas hati dengan langkah MPKB tersebut. Beliau berkata bahawa peraturan yang dicadangkan itu tidak perlu malah menguggat hak peribadi wanita-wanita terbabit. Kata beliau lagi wanita bukan Islam di Kelantan mengetahu sendiri maksud SOPAN itu tanpa perlu campuratangan pihak kerajaan negeri.

Memanglah MCA dan rakan kongsinya Umno tidak sekali-kali akan memberi sebarang reaksi positif terhadap usaha kerajaan negeri walaupun ianya untuk kebaikan dan keharmonian rakyat Kelantan. Dr Ng jelas membantah semata-mata kerana mahu mengambil kesempatan politik tanpa sedikit pun memberi teguran yang membina.

Salahkah MPKB sebagai badan mewakili kerajaan negeri memberikan tafsiran kepada maksud SOPAN itu? Tanpa pentafsiran jelas sudah pasti akan timbul pelbagai pandangan yang berbeza. Disinilah kerajaan dan badan-badan yang berkaitan berperanan dan bertanggungjawab untuk memberi garis panduan dan pentafsiran agar rakyat tidak kalut dan keliru.

Sebagai contoh dalam isu meminum arak yang dibenarkan oleh kerajaan pusat, apakah rakyat boleh meminum sebanyak mana yang mereka larat? Tidak, kerana apabila memandu kenderaan mereka akan disaman kiranya kandungan alkohol dalam badan mereka melepasi tahap yang ditentukan disinilah pihak berkuasa berperanan memberikan pentafsiran dan garis panduan. Mengapa Dr Ng tidak berjuang agar garispanduan ini dimansuhkan atas alasan rakyat Malaysia faham akan berapa banyak yang mereka boleh minum.

Sekurang-kurangnya dalam isu ini kerajaan Kelantan bersikap terbuka kerana bersedia menerima dan mendengar pandangan semua pihak yang terbabit. Matlamat utama adalah kebaikan semua rakyat. Wanita bukan Islam bukannya dipaksa memakai tudung atau menutup aurat sebagaimana wanita Islam (yang perintah wajibnya dikanunkan di dalam al Quran dan bukannya datang dari PAS Kelantan).

Dalam hal ini cuba Dr Ng lihat sendiri di sekeliling beliau. Contohnya sopankah pakaian wanita di litar lumba F1 Sepang apabila mengiringi para pemenang ke podium? Mengapa perlu mereka berpakaian demikian, adakah kerana cuaca panas atau untuk menarik minat dan nafsu para pengunjung dan peserta lelaki, mengapa dalam hal ini Ketua Wanita MCA membisu?!


DR NG

Kelantan mahu rakyatnya dari semua agama hidup harmoni dan sejahtera serta dapat mencari rezeki dan hidup dalam keadaan aman. Mereka membikin garispanduan dan peraturan kerana mahu menjamin kehidupan demikian. Islam tidak pernah mendiskriminasi apa lagi menyekat dan menghalang hak dan kepentingan wanita termasuklah yang bukan Islam.

Barangkali Dr Ng boleh tanya rakan-rakan beliau apa pandangan Islam Hadhari yang Dr Ng sokong itu, dalam hal seumpama ini.

Wednesday, March 09, 2005

ISU ISTANA EXCO:
KHIR OK SEKALI LAGI OK

Paku keranda tak lut. Demikianlah kehebatan ilmu Khir Toyo, dan demikianlah liatnya nyawa politik beliau.


KHIR OK YANG KEBAL

Isu perkosaan berleluasa terhadap Taman Pertanian Bukit Cerakah disangkakan dapat menamatkan terus riwayat politiknya namun Khir berjaya bersilat menepis dan menangkis sehingga terlepas. Terbaru isu istana mewah EXCO yang dibina Khir, dikatakan oleh Ketua Pembangkang Selangor sebagai satu pembaziran kerana menelan belanja hampir RM40 juta semata-mata untuk menempatkan anggota EXCO negeri.

Sekali lagi Khir kebal dan berjaya melepaskan diri.

Dalam kenyataannya hari ini beliau berkata:

PERTAMA projek istana EXCO ini dikatakan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor sendiri

KEDUA kosnya bukanlah RM40 juta tetapi sekitar RM21 juta (iaitu RM19 juta kurang dari yang dituduh YB Teng)

KETIGA bukan semua EXCO akan berpindah masuk ke istana berkenaan, selain EXCO para pegawai kanan kerajaan negeri juga akan menetap di sana

KEEMPAT rumah kelab ataupun club house mewah yang dibina di kawasan terbabit bukanlah hanya untuk kegunaan penghuni tetapi juga boleh digunakan oleh wakil NGO dan para pegawai kerajaan terutamanya diwaktu malam

Mungkinkah dengan jawapan dan penjelasan ini Khir sekali lagi OK?

Apakah secara khusus Dewan Undangan negeri meluluskan RM21 juta (kalau bukan RM40juta) untuk pembinaan 10 unit istana mewah ini termasuk rumah kelab ataupun jumlah ini dihimpunkan sekali dengan jumlah rumah kakitangan kerajaan yang akan dibina di negeri Selangor secara keseluruhannya?

Kalaupun RM21 juta untuk membina 10 unit istana itu termasuk rumah kelab tidakkah ini bermakna seunit istana itu berharga RM2.1 juta tidak termasuk kos rumah kelab tadi? RM2.1 juta untuk sebuah rumah bagi kegunaan pegawai kanan kerajaan/ahli EXCO bagi orang yang tidak berpelajaran pun merupakan satu angka yang sungguh tinggi!

Benarkah rumah kelab ini kelak akan dibenar digunakan oleh badan NGO? Atau sekadar kelak akan digunakan oleh kaum keluarga ahli-ahli EXCO, pimpinan Umno dan BN negeri serta kaum keluarga mereka semata-mata.

Bagi saya projek ini terlalu mewah dan tidak sepatutnya dilaksanakan jika semata-mata untuk menempatkan 10 orang ahli EXCO dan para pegawai kanan kerajaan negeri. Ahli EXCO sebagai ahli politik yang kerja utamanya sebagai wakil rakyat sepatutnya memadai diberikan elaun dan tinggal di rumah sendiri. Apa perlu mereka diberi keistimewaan selumayan ini sedangkan perkara ini tidak berlaku pun di negeri-negeri lain. Cuba bandingkan dengan MB Kelantan dan MB Terengganu dulu yang sekadar tinggal di rumah kayu milik sendiri, tanpa kolam renang dan tanpa rumah kelab eksklusif!

Kesimpulannya melalui kenyataan beliau hari ini Khir sekali lagi menganggap dirinya selamat, cerdik dan licik. Kalau isu sebesar pencabulan dan perkosaan terang-terangan ke atas Taman Pertanian Negara pun beliau boleh OK inikan pula sekadar berbelanja RM2.1juta untuk sebiji rumah, OKlah tu.