Wednesday, March 02, 2005

KHIR OK DAH TAK OK LAGI

Semuanya OK Khir demikianlah bunyinya tajuk akhbar Utusan Malaysia hari ini. Khir Toyo semalam sebelum menyerahkan laporan kedua darihal perkosaan Taman Pertanian di Bukit Cerakah kepada PM (laporan pertama ditolak oleh PM) telah membawa para pemberita mengunjungi Taman berkenaan.

Setelah hampir seluruh media perdana mendedahkan darihal kesan ekologi terhadap pembangunan di sekitar taman berkenaan Khir dengan selamba mahu membuktikan bahawa segala pendedahan yang dibuat adalah palsu dan tidak benar.

Lantaran kenyataannya:

Semuanya OK, tidak terjejas dan ia tidak diceroboh.

itulah maka Utusan menggelarkan beliau Khir OK!

Sebenarnya isu di sini bukan soal pencerobohan terhadap tanah di Taman tersebut, persoalan utama sebenarnya adalah kesan pembangunan yang tidak terkawal yang berlaku di sekeliling Taman berkenaan yang dibimbangi menganggu tumbuhan dan hidupan di dalam Taman berkenaan.

Sebagaimana didedahkan oleh Utusan sebelum ini bukit-bukau yang ditarah disekitarnya telah mengakibatkan banjir melanda taman berkenaan apabila hujan lebat. Hidupan dan tumbuhan turut terjejas dan mati akibat hutan yang sepatutnya menampan Taman berkenaan telah gondol dikerjakan oleh pemaju.

Inilah masalahnya dan Khir OK tidak sepatutnya lari dari isu sebenar.



Kalau kita membaca NST hari ini di muka hadapan ditunjukkan gambar dari udara sekitar Taman berkenaan. Khir tidak boleh menafikannya. Betapa pembangunan luar kawalan sebenarnya berlaku atas kelulusan asal pihak kerajaan negeri, segala kerja pembangunan berjalan dengan rancak di bawah dagu MB dan para EXCO nya.

Malah Utusan dalam laporannya hari ini menimbulkan berbagai lagi persoalan ekoran kenyataan Khir antara lain:

Timbul persoalan, apakah itu jawapan beliau dalam menangani isu sebenar kesan ekologi yang dialami oleh taman itu akibat pembangunan di sekelilingnya?

Mengapa isu sebenar mengenai pembahagian tanah yang terlalu banyak kepada pemaju-pemaju tidak dijawab?

Kenapa kelulusan diberikan untuk pembangunan di kawasan yang sensitif kepada pembangunan, dan kenapa bukit Kelas 4 ditarah?

Laporan media mengenai isu itu sebelum ini, sama sekali tidak menyentuh mengenai soal pencerobohan.

Akibat dari tindakan politik selamatkan diri ini Khir sesungguhnya telah membangkitkan lebih banyak lagi pertikaian terhadap kredibiliti beliau. Petang semalam beliau dikhabarkan telah menyerahkan laporan kedua kepada PM.

Dan sebentar tadi TV3 telah menyiarkan kenyataan dimana Kabinet telah mengarahkan agar Taman berkenaan diambil-alih sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan dan digazetkan sebagai Taman Pertanian Negara. Jelaslah pusat tidak lagi dapat menaruh kepercayaan kepada Khir untuk memelihara Taman berkenaan.

Dengan keputusan demikian bermakna masadepan politik Khir berada di hujung tanduk. Nampaknya Khir dah tak OK lagi selepas ini!

No comments: