Tuesday, March 01, 2005

SURAT TERBUKA KEPADA
YAB TUAN GURU DATO NIK ABD AZIZ NIK MAT

PERKARA: PUSAT PEMULIHAN DADAH SECARA ISLAM

Assalamualaikum

Kehadapan Tok Guru yang dikasihi semoga sihat sejahtera sentiasa di bawah bimbingan Allah swt.

Pada hari ahad lalu semasa program Debat Perdana di RTM 1, Dato’ Noh Omar selaku Timbana Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah mencabar PAS khususnya kerajaan negeri Kelantan agar mendirikan sebuah pusat pemulihan dadah yang bercirikan Islam yang menurut beliau akan disokong sepenuhnya oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan ataupun AADK.

Bagi saya isu penyalahgunaan dadah ini adalah satu penyakit sosial yang besar yang menurut statistiknya banyak menimpa remaja Melayu/Islam. Pihak kerajaan pusat melalui Pusat Serentinya menurut Noh sendiri sekadar mampu menahan pesakit jenis ini selama tempuh 2 tahun, tanpa program pengisian yang dapat menjamin kejayaan pemulihan yang sepenuhnya.

Dan sejak berpuluh tahun berperang dengan penyakit sosial ini dan dengan pelbagai undang-undang pencegahan nampak seolah-olah masalah kronik ini tidak pernah kelihatan reda malah semakin di luar kawalan.

Lalu saya rasa wajar sangatlah kerajaan negeri pimpinan Tok Guru mengambil langkah pro aktif dengan merancang dan mengusahakan satu pusat pemulihan yang mengambil pendekatan Islam sebagai satu alternative bagi mengubati penyakit masyarakat ini. Pasti pakar-pakar dan sukarelawan dapat dikumpulkan dari seluruh Negara untuk membantu. Jadikan pusat di Kelantan ini kelak sebagai satu pusat contoh yang boleh nanti ditauladani di tempat-tempat lain.

Saya yakin kiranya Tok Guru sendiri menerajui usaha ini pasti segenap lapisan masyarakat bukan sekadar di Kelantan sahaja akan berebut untuk memberi sokongan dan bantuan. Barangkali boleh diadakan roadshow bagi memungut dana kearah perlaksanaan usaha ini dalam waktu terdekat.

Saya berdoa dan berharap agar kerajaan pimpinan Tok Guru akan memandang serius perkara ini dan mebuktikan insyallah ISLAM BOLEH!

Sekian terima kasih.

ROSLAN SMS

No comments: