Monday, March 21, 2005

NASIB ORANG MELAYU DIJAJAH BANGSA SENDIRI

Buletin Utama TV3 sebentar tadi terus memaparkan kegiatan pembalakan hutan di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang serta nasib para penduduk di kampung-kampung Melayu yang berhampiran.

Jika semalam dipaparkan betapa para penduduk tempatan terpaksa merendam hasil getah mereka sementara menunggu air sungai naik bagi memudahkan mereka membawanya ke pekan berhampiran menggunakan perahu panjang untuk dipasarkan. Hari ini ditunjukkan pula keadaan jalan tanah merah yang merupakan satu-satunya jalan menghubungi kampung-kampung berdekatan dengan pekan berhampiran.



Jalannya merupakan jalan bertanah yang berdebu semasa musim panas dan lecak serta berselut di musim hujan.

Sedih apabila melihat Ketua-ketua Kampung serta Ketua Umno cawangan mengeluh dan menyatakan tidak puas hati masing-masing terhadap pihak kerajaan. Ada yang mendakwa telah menjadi ahli Umno sejak hampir 40 tahun namun janji cuma tinggal janji. Wakil rakyat cuma datang apabila undi mereka diperlukan, selepas pilihanraya beginilah nasib anak-anak bangsa.

Kenyataan yang paling tajam datangnya dari seorang pakcik yang menyebut bahawa keadaan mereka seolah-olah hidup dalam era penjajahan. Tapi penjajahnya bukan orang asing tetapi sesama bangsa sendiri!

Demikianlah nasib orang Melayu, hina dan merempat di tanah air sendiri. Nasib dan kebajikan mereka tidak terbela sedangkan sokogan dan undi mereka dituntut semasa perlu. Berapa lamakah lagi mereka yang terlibat akan hidup dalam keadaan demikian?

Di Kuala Lumpur herot-herot mulut para pemimpin mendabik dada memperkatakan darihal pembangunan dan kegemilangan bangsa dan negara, tetapi hakikatnya ramai lagi yang diabaikan, hidup sengsara dan menderita.

Untuk rekod pada pilihanraya umum 1999 PAS menang di DUN Tahan namun Umno menang kembali pada pilihanraya umum lalu. Sementara itu rakyat di sana terus susah dan dirundung malang.

No comments: