Saturday, March 05, 2005

CHIN PENG:
BERILAH MAHKAMAH KEBEBASAN MEMBUAT KEPUTUSAN

Bekas Setiausaha Agung Parti Kominis Malaya Chin Peng 81 tahun, telah memfailkan permohonan di mahkamah tinggi Pulau Pinang untuk memohon deklarasi bahawa beliau dan 300 - 500 orang bekas anggota partinya berhak memasuki, bermastautin, berkediaman dan tinggal di Malaysia.

Belum pun sempat mahkamah nenutuskan tarikh untuk mendengar permohonan tersebut, banyak pihak termasuk Perdana Menteri telah membuat kenyataan membantah permohonan tersebut.




Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan bahawa Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia masing-masing membuat bantahan atas alasan sekiranya dibenarkan Chin Peng kembali bermakna pengorbanan bekas perajurit selama ini seolah-olah tidak dihargai.

Pak Lah turut menyuarkana sentimen yang sama sebagaimana dipetik Utusan:

Kerajaan akan tetap berpegang kepada pendirian yang pernah dibuat pada tahun 2003 untuk tidak membenarkan Chin Peng balik ke Malaysia.

Sejak akhir-akhir ini berita tentang Chin Peng sering mendapat liputan. Sejak terbitnya buku beliau setebal 527 muka:

Alias Chin Peng: My Side of History

banyak pihak berminat untuk menyelami dan mengetahui dari beliau sendiri versinya darihal perjuangan PKM dan kemerdekaan negara. Malah kerajaan Singapura tahun lalu membenarkan Chin Peng mengunjungi republik tersebut untuk memberikan pidato dan bertukar-tukar pandangan dengan ahli-ahli sejarah dan akademik.

Cuma kerajaan Malaysia sehingga hari ini walaupun setelah menandatangani Perjanjian Damai di Hadyai pada tahun 1989 dengan pihak PKM masih enggan membenarkan Chin Peng menjejakkan kaki kembali ke tanahair beliau (walaupun pimpinan PKM lain termasuklah Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Chik telah pun pulang ke tanahair).

Dalam buku beliau yang diterbitkan pada September 2003 itu Chin Peng ada menyebut antara lain bahawa setelah selesainya perjanjian 1989 itu beliau memang berhajat sangat untuk pulang. Permohonan beliau untuk pulang pada tahun 1990 telah ditolak kerajaan pada tahun 1991. Menurut beliau hajatnya untuk pulang adalah bagi mengunjungi kampung halamannya di Setiawan, Perak dan mengunjungi pusara ibu-bapa dan kaum keluarganya yang telah meninggal dunia.

Bagi saya apa pun yang pernah dilakukan oleh Chin Peng dan PKM segala-galanya telah menjadi bahan sejarah. Kita dididik dengan versi Inggeris darihal perjuangan menuntut kemerdekaan dan kita akur dengan versi tersebut. Kita tidak pernah bepeluang mendengar versi mereka yang berjuang menentang Inggeris. Ini sehinggalah Chin Peng, Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Chik mengeluarkan buku masing-masing.

Sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan menjunjung undang-undang kita sepatutnya memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat pertimbangan dan keputusan berdasarkan fakta yang dikemukakan. Membantah diperingkat ini bermakna kita sendiri tidak menghormati proses keadilan.

Chin Peng dan rakan-rakan menganggap diri mereka juga pejuang dan bukannya pengganas. Demi keadilan dalam sejarah kita sepatutnya memberi peluang mereka ini mengemukakan hujah untuk dinilai dan diteliti oleh ahli sejarah dan akademik.

Kita semua anti kominis dan keganasan, namun kita juga berpegang pada prinsip bahawa setiap individu berhak membela diri dan membersihkan namanya demi keadilan dan kebenaran.

Di dalam bukunya Chin Peng membuat kesimpulan:

You can tell me I was wrong. You can tell me I failed. But I can also tell you how it was and how I tried.

Anda boleh mengatakan yang saya bersalah. Anda boleh mengatakan yang saya telah gagal. Namun saya juga berhak menyatakan bagaimana (kisah) sebenarnya dan bagaimana saya telah mencuba.

No comments: