Tuesday, March 29, 2005

MYANMAR: KENAPA PAK LAH TIDAK BERANI BERTEGAS

BERNAMA melaporkan hari ini bahawa pendirian kerajaan Malaysia berhubung Myanmar tidak akan berubah. Walaupun ada usaha dari Kelab Penyokong Kerajaan atau BBC di Dewan Rakyat untuk membantangkan usul mendesak ASEAN menangguhkan keputusannya melantik Myanmar untuk mempengerusikan ASEAN bagi tempoh 3 tahun sehingga 2007.

Pak Lah menegaskan bahawa keputusan perlantikan ini telah dibuat secara kolektif sesama anggota ASEAN dan kerajaan tidak berhasrat membelakangkan keputusan tersebut.

Myanmar adalah sebuah negara autokratik yang dipimpin oleh junta tentera. Demokrasi tidak diamalkan di Myanmar. Malah pilihanraya yang diadakan pada tahun 1990 telah dibatalkan dengan pemimpin parti yang memenangi pilihnaraya tersebut Aung San Su Kyi telah ditahan sehingga ke hari ini.


SYU KYI

Setakat hari ini masih tidak kelihatan perkembangan yang positif di Myanmar. Demokrasi masih dibelenggu, Syu Kyi masih dalam tahanan dan junta tentera terus memegang kuasa. Mengapa Malaysia mengambil sikap membisu dalam hal ini?

Dalam isu Palestin Malaysia mahu menjadi juara, menuntut hak untuk warga Palestin. Malaysia melaung-laungkan pencapaiannya sebagai sebuah negara demokrasi yang bebas, yang berani bersuara dalam isu-isu antarabangsa termasuklah menuntut reformasi dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, tiba-tiba dalam hal Myanmar ia memilih untuk menyepi!

Junta tentera di Myanmar menekan dan menindas demokrasi, hak rakyatnya untuk bersuara disekat. Mengapa dalam isu yang berlaku di rantau Asia Tenggar ini Malaysia seolah-olah kelu sedangkan isu nun jauh di Timur Tengah ia mahu mengambil peranan. Kalau benar mahu jadi juara Malaysia harus berani menganjurkan kongres antarabangsa untuk pembebasan Myanmar. Ini tidak, yang dekat diabaikan yang jauh pula ia bersungguh.

Barangkali kerajaan tidak mampu melakukan apa-apa lantaran di Malaysia sendiri itulah lebih kurang amalan kerajaan pun. Walaupun tidak ada junta tentera di sini tetapi sikap kerajaan lebih-kurang macam Myanmar pun. Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA digunakan sesuka hatinya untuk menyekat mereka yang menentangnya. Kebebasan bersuara dan berhimpun walaupun dibenarkan namun dilonggokkan dengan pelbagai syarat dan peraturan yang tak masuk akal.

Oleh kerana tak banyak beza antara kerajaan Myanmar dan kerajaan disinilah maka Pak Lah menganggap junta kuku besi Myanmar sebagai kawan. Yang penting Malaysia boleh berniaga dan mengaut keuntungan, isu moral dan apa saja lagi dihumbankanlah sahaja ke dalam tong sampah!

No comments: