ATAS NAMA KEBEBASAN HAPUSKAN NAHI MUNGKAR
Akhbar THE SUN hari ini meletakkan di muka depan tajuk:
CAMPAIGN AGAINST MORAL POLICING
dengan gambar warna Ivy Josiah, Sivarasa, Raja Aziz dan Marina Mahathir yang mewakili 280 NGO dan individu yang melancarkan kempen mendesak agar segala jenis undang-undang dan peraturan berhubung pengawalan ataupun pembenterasan kesalahan moral dibatalkan.
Menurut kumpulan ini isu moral sepatutnya ditangani diperingkat keluarga masing-masing dan sebarang usaha untuk memperuntukkan kawalan terhadapnya akan hanya memberikan implikasi negatif terhadap rakyat jelata.
Antara tuntutan pihak ini adalah supaya segala peraturan dan undang-undang samada berkenaan agama ataupun PBT yang menafikan hak individu dan hak bersuara rakyat perlulah dibatalkan.
Tuntutan ini dipercayai berpunca dari beberapa isu antaranya peraturan PBT yang melarang pasangan bercumbuan di taman-taman awam, garispanduan pakaian wanita yang ingin diperkenalkan MPKB serta kes serbuan JAWI di The Zouk baru-baru ini.
Soalnya adakah memelihara kesejahteraan ummah dengan mengawal dan melarang perlakuan yang tidak Islamik (saya tidak mahu gunakan istilah sumbang) dikhalayak ramai itu salah, bertentangan dengan Islam atau bagaimana? Benarkah isu moral semata-mata urusan keluarga masing-masing? Benarkah memelihara ummah dari gejala sosial yang dilarang Islam itu menggugat hak asasi umat Islam?
Pihak berkenaan harus sedar bahawa tidak ada keluarga di Malaysia ini yang tidak mahu anaknya dibesarkan dalam eviromen yang sihat dan baik. Tidak ada ibu ataupun bapa yang bersedia melihat di depan matanya, anaknya sendiri berpakaian tidak senonoh digomol pula oleh anak orang lain dari berlainan jantina dikhalayak ramai. Ibu ataupun bapa Muslim tidak akan membenarkan anak-anaknya berpelisiran di kelab-kelab malam yang hidangan minumannya termasuk arak, yang pakaian para pengunjungnya menjolok mata belaka kerana risiko terhadap kemuliaan dan nama baik keluarga masing-masing.
Memang atas nama liberalisma, keterbukaan dan lain-lain mungkin ada segelintir ibu-bapa Muslim yag tidak kisah. Barangkali Marina Mahathir sebagai seorang ibu tidak kisah, namun beliau tidak boleh mewakili umat Islam di Negara ini! Lihat sahaja dalam kes serbuan di Zouk, Jeslina Hashim mengatakan ibu-bapanya tidak marah dan tidak kisah pun beliau berpakaian demikian, adakah ibu-bapa beliau mewakili pandangan ibu-bapa Muslim sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam?
Nyatalah matlamat kumpulan ini sungguh longgar dan tidak boleh diterima oleh mana-mana Muslim yag berilmu khususnya dalam bab menegakkan yang makuf dan mencegah yang mungkar. Antara ahli palimen yang menyokong tuntutan kumpulan ini disamping ahli parlimen wanita DAP adalah Zaid Ibrahim, ahli parlimen Kota Bharu. Marina Mahathir dipetik sebagai berkata bahawa peraturan dan undang-undang yang sedia ada TIDAK MASUK AKAL.
Hairan, dalam bumi Islam Hadhari tuntutan untuk melonggarkan lagi akhlak umat Islam yang telah sedia longgar diberikan tempat dan ruang.
No comments:
Post a Comment