ISU ISTANA EXCO:
KHIR OK SEKALI LAGI OK
Paku keranda tak lut. Demikianlah kehebatan ilmu Khir Toyo, dan demikianlah liatnya nyawa politik beliau.
KHIR OK YANG KEBAL
Isu perkosaan berleluasa terhadap Taman Pertanian Bukit Cerakah disangkakan dapat menamatkan terus riwayat politiknya namun Khir berjaya bersilat menepis dan menangkis sehingga terlepas. Terbaru isu istana mewah EXCO yang dibina Khir, dikatakan oleh Ketua Pembangkang Selangor sebagai satu pembaziran kerana menelan belanja hampir RM40 juta semata-mata untuk menempatkan anggota EXCO negeri.
Sekali lagi Khir kebal dan berjaya melepaskan diri.
Dalam kenyataannya hari ini beliau berkata:
PERTAMA projek istana EXCO ini dikatakan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor sendiri
KEDUA kosnya bukanlah RM40 juta tetapi sekitar RM21 juta (iaitu RM19 juta kurang dari yang dituduh YB Teng)
KETIGA bukan semua EXCO akan berpindah masuk ke istana berkenaan, selain EXCO para pegawai kanan kerajaan negeri juga akan menetap di sana
KEEMPAT rumah kelab ataupun club house mewah yang dibina di kawasan terbabit bukanlah hanya untuk kegunaan penghuni tetapi juga boleh digunakan oleh wakil NGO dan para pegawai kerajaan terutamanya diwaktu malam
Mungkinkah dengan jawapan dan penjelasan ini Khir sekali lagi OK?
Apakah secara khusus Dewan Undangan negeri meluluskan RM21 juta (kalau bukan RM40juta) untuk pembinaan 10 unit istana mewah ini termasuk rumah kelab ataupun jumlah ini dihimpunkan sekali dengan jumlah rumah kakitangan kerajaan yang akan dibina di negeri Selangor secara keseluruhannya?
Kalaupun RM21 juta untuk membina 10 unit istana itu termasuk rumah kelab tidakkah ini bermakna seunit istana itu berharga RM2.1 juta tidak termasuk kos rumah kelab tadi? RM2.1 juta untuk sebuah rumah bagi kegunaan pegawai kanan kerajaan/ahli EXCO bagi orang yang tidak berpelajaran pun merupakan satu angka yang sungguh tinggi!
Benarkah rumah kelab ini kelak akan dibenar digunakan oleh badan NGO? Atau sekadar kelak akan digunakan oleh kaum keluarga ahli-ahli EXCO, pimpinan Umno dan BN negeri serta kaum keluarga mereka semata-mata.
Bagi saya projek ini terlalu mewah dan tidak sepatutnya dilaksanakan jika semata-mata untuk menempatkan 10 orang ahli EXCO dan para pegawai kanan kerajaan negeri. Ahli EXCO sebagai ahli politik yang kerja utamanya sebagai wakil rakyat sepatutnya memadai diberikan elaun dan tinggal di rumah sendiri. Apa perlu mereka diberi keistimewaan selumayan ini sedangkan perkara ini tidak berlaku pun di negeri-negeri lain. Cuba bandingkan dengan MB Kelantan dan MB Terengganu dulu yang sekadar tinggal di rumah kayu milik sendiri, tanpa kolam renang dan tanpa rumah kelab eksklusif!
Kesimpulannya melalui kenyataan beliau hari ini Khir sekali lagi menganggap dirinya selamat, cerdik dan licik. Kalau isu sebesar pencabulan dan perkosaan terang-terangan ke atas Taman Pertanian Negara pun beliau boleh OK inikan pula sekadar berbelanja RM2.1juta untuk sebiji rumah, OKlah tu.
No comments:
Post a Comment