Tuesday, March 22, 2005

SUHAKAM DESAK BEBASKAN
SEMUA TAHANAN ISA

Semalam seramai 6 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA telah dibebaskan dari kem tahanan masing-masing di Kamunting. Mereka adalah Abi Dzar Jaafar, 18, Eddy Erman Shahime, 19, Mohd Radzi Abd Razak, 19, Mohd Ikhwan Abdullah, 19, Mohamad Akil Abd Raouf, 21, dan pensyarah UTM, Wan Min Wan Mat.

Kesemua mereka sebelum ini telah ditahan atas tuduhan kononnya terlibat dengan Jemaah Islam JI ataupun KMM, kedua-dua badan yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Al Qaeida.

Hari ini BERNAMA melaporkan bekas hakim yang juga Pesuruhjaya SUHAKAM Datuk KC Vohrah telah menggesa kerajaan agar membebaskan kesemua tahanan ISA yang telah melalui tempoh tahanan 2 tahun atas tuduhan mengancam keselamatan negara.


KC VOHRAH

Kata Vohrah kerajaan perlu menyemak semula semua kes-kes di bawah ISA dan mengkaji samada mereka yang dituduh benar-benar mengancam keselamatan negara, perkhidmatan perlu dan ekonomi negara.

Beliau menambah SUHAKAM mahu kerajaan mengimbangkan antara keselamatan negara dan hak asasi rakyat. Sekiranya benar-benar terdapat bukti terhadap tertuduh maka mereka septutnya didakwa di mahkamah terbuka sebagaimana amalan prinsip hak asasi manusia.

Dalam keghairahan kerajaan mahu menjadi juara dunia yang cemerlang, gemilang dan terbilang, maka wajarlah seruan Vohrah ini diberi perhatian. Antara tahanan yang masih merengkok dalam tahanan tanpa diberi hak untuk membela diri adalah Nik Adli Nik Mat anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Adli dituduh kononnya terlibat dengan KMM dengan mahu mendirikan Daulah Islamiyah dirantau Asia Tenggara ini. Mengapa beliau tidak didakwa di mahkamah? Mengapa beliau dan berpuluh-puluh lagi dinafikan hak mereka semata-mata kerana kononnya kerajaan menganggap mereka mengancam keselamatan negara!

Tahniah Vohrah, tahniah SUHAKAM. Sekurang-kurangnya masih lagi ada badan yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan hak dan kebebasan insane dalam negara ini.

No comments: