KITA YANG BUKA PINTU PAGARNYA
Di Malaysia ini tuntutan untuk kembali kepada Islam bukan hanya diinginkan oleh orang PAS sahaja malah ramai yang inginkan demikian cuma tertakluk kepada keterbatasan masing-masing. Mereka yang dalam Umno, tidak berparti, ahli akademik, kakitangan kerajaan, remaja Islam sehinggalah kepada Raja-raja Melayu masing-masing samada kuat ataupun kurang semuanya mahu melihat Islam ini dimartabatkan di tempat yang tertinggi.
Semua yang prihatin ingin melihat anak-isteri dan kaum keluarga masing-masing menjadi individu yang baik-baik. Selamat di dunia dan lebih penting lagi selamat di akhirat.
Kerana itu dalam hal ini kita semua tidak kira mana parti ataupun fahaman bertanggungjawab membela dan mempertahankan Islam. Bila bertembung antara tuntutan dunia dan tuntutan Islam maka lepaskanlah tuntutan dunia itu dan berpaut teguhlah pada Islam. Ketika itu Islam akan dihormati dan disegani.
Tetapi apabila kita tidak demikian. Kepentingan dunia, survival politik, kerusi dan kuasa lebih penting maka akhirnya nanti Islam akan menjadi hina dan lemah.
Baru-baru ini Majlis Perbandaran Kota Bharu mengeluarkan cadangan (baru cadangan belum pun dikuatkuasa lagi) garispanduan pakaian untuk para peniaga wanita yang bukan Islam. Bagi yang Islam dituntut supaya sentiasa menutup aurat (itu peruntukkan Allah swt bukannya MPKB atau PAS). Cadangan pakaiannnya adalah kemeja ataupun blouse tangan panjang dan skirt labuh sekurang-kurangnya paras lutut (bukannya suruh tutup aurat pun!).
Sebagai seorang Islam saya rasa sesuailah peraturan itu memandangkan Kelantan pun lebih 95 peratus penduduknya beragama Islam. Soal ianya diperintah PAS tidak penting, ini soal mahu melaksanakan Islam dalam keadaan keupayaan yang ada. Mengapa kita tidak boleh sokong? Mengapa kita tidak boleh keluarkan kenyataan mengalu-alukan langkah ini? Lebih sedih lagi mengapa pula kita buka peluang untuk pihak bukan Islam membuat komen dan memberikan tafsiran mereka pula terhadap Islam?
Dalam akhbar THE STAR hari ini seorang pembaca yang mengulas isu ini menulis:
Choosing to wear body hugging t-shirts, blouses and various lengths of the skirt is the right of an individual. I believe that if a person is endowed with good physical assets, she should be proud and flaunt it and not hide it under long and loose clothing
Memilih untuk menggunakan tshirt ketat (memeluk tubuh), kemeja dan skirt apa sahaja panjangnya adalah hak individu. Saya percaya yang sekiranya seseorang itu dianugerahkan tubuh badan yang cantik, dia sepatutnya berbangga dan memperagakan (kecantikan tubuh) itu tanpa perlu menyembunyikannya di bawah pakaian panjang dan labuh.
Apabila kita membuka pintu pagar atas nama hak asasi dan kebebasan maka tatkala itu bersedialah untuk melihat Islam diperkecil dan dipersendakan. Dan apabila ini berlaku kita menjadi kepanasan dan tidak menentu.
Dalam hal MPKB ini pihak berkenaan masih membuka pintu dailog dengan para peniaga pasaraya dan gedung-gedung. Bermakna ianya belum muktamad lagi. Malah usaha MPKB berdailog dengan para pengusaha untuk memutuskan perkara ini sewajarnya dialu-alukkan. Tetapi kita tidak, kita izinkan pula pihak yang tidak tahu untuk membuat pelbagai komen dan telahan.
Kesimpulannya berikut saya siarkan kenyataan Tok Guru MB Kelantan dalam wawancaranya dengan UTUSAN hari ini, mudah-mudahan menjadi renungan kita semua:
Harapan saya ialah saya minta orang Melayu beragama Islam faham Islam sebenar, supaya hidup di dunia selamat, dalam kubur selamat dan di akhirat juga selamat. Kedua kalau ada orang Cina yang pandang serong kepada Islam tolong ubahkan fikiran, kalau rasa tidak puas hati dengan Islam, tanya keluarga Islam, tanya saya pun tak apa.
Jangan kita pula menjadi agen ataupun alat untuk Islam itu dipersendakan.
No comments:
Post a Comment