CEMERLANG MEMBAZIR GEMILANG YANG SIA-SIA
Saya menghormati Pak Lah sebagai PM Malaysia. Sebagai ketua eksekutif negara pada tangannyalah terletak nasib dan masa depan bangsa dan negara. Kiranya beliau kuat dan berwibawa maka demikianlah negara namun kiranya beliau lemah maka akan lemahlah juga negara dan rakyat di dalamnya.
Sejak menjadi PM pelbagai komen dan pandangan telah dilontarkan terhadap kepimpinan beliau. Banyak yang baik banyak juga yang negatif.
Bagi saya dalam tempoh sesingkat 48 jam sebelum artikel ini ditulis sahaja beliau telah terlibat dalam kerja-kerja pembaziran dan sia-sia yang terus-terang saya katakan telah merugikan negara. Bayangkan negara seterusnya di bawah kepimpinan beliau?!
Pada hari Sabtu lalu di Kuala Terengganu Pak Lah telah mengumumkan pembinaan ISLAMIC CIVILISATION THEME PARK, yang dijangka siap dalam tempoh 3 tahun. Kerajaan akan melantik pakar perunding dan para artisan yang pernah bekerja untuk taman tema bertaraf antarabangsa seperti Movie World dan Sea World di Australia dan Disnelyland Tokyo bagi merealisasikan matlamat penubuhan taman berkenaan. Taman ini yang terletak di Pulau Pak Man berhampiran Pulau Duyong akan dipenuhi dengan binaan 21 replika bangunan dan monument bersejarah Islam termasuklah masjid-masjid terkenal diseluruh dunia. Juga akan dibina sebuah MASJID KACA KRISTAL TERAPUNG di atas Sungai Terengganu!
Belanjanya RM200 juta! Tidakkah ini satu pembaziran besar khususnya bagi rakyat Terengganu. Apa gunanya dibina replika 21 masjid sedangkan masjid-masjid di Terengganu pun dhaif-dhaif belaka? Apa gunanya masjid terapung dari kaca kiranya rakyat Terengganu kebanyakkannya sengsara menderita tidak memiliki rumah sendiri?
Sedangkan dengan RM200 juta boleh membina sehingga 8,000 buah rumah untuk rakyat termiskin kiranya kos pembinaan rumah tersebut sekitar RM25,000 sebuah.
Kemudian siang tadi pula di Putrajaya Pak Lah telah merasmikian persidangan PEACE IN PALESTINE yang dihadiri sekitar 400 peserta termasuk wakil-wakil aktivis masyarakat. Dalam ucapannya Pak Lah mengajak masyarakat dunia untuk bergabung bagi mencari penyelesaian terhadap isu Palestin khususnya dalam hubungan Israel – Palestin.
Sejauh manakah suara Pak Lah ini didengari? Adakah melangkau bangunan Putrajaya International Convention Centre itu atau sekadar bergema di dalam bangunan gajah putih itu sahaja tanpa mampu menerobos ke dunia luar.
Mengapa kita berbelanja bertaus ribu malahan menjangkau jutaan barangkali semata-mata bagi menganjurkan satu persidangan antarabangsa yang tidak pun diambil peduli langsung oleh dunia luar apalagi negara yang berkonflik itu. Seolah-olah majlis ini dirancang untuk menonjolkan imej Pak Lah semata-mata tanpa menghiraukan sedikit pun samada ianya akan mampu memberi impak ke atas Palestin atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.
Kerana itu bagi saya dalam tempoh 48 sahaja Pak Lah telah membuktikan yang beliau berkemampuan membawa mudarat kepada rakyat dan negara. Apa akan jadi 48 jam berikutnya, dan hari-hari seterusnya? Cemerlang, gemilang, terbilang atau apa?
No comments:
Post a Comment