JANGAN KIRA PAS ATAU UMNO
BANGKIT PERTAHANKAN ISLAM!
Desakan 52 NGO dan entah berapa ramai lagi individu terhadap menghapuskan undang-undang dan peraturan yang mencegah kelakuan tidak bermoral dikalangan individu khususnya umat Islam ini satu desakan melampau. Ianya suatu isu yang besar. Ianya bukan isu PAS atau Umno. Ianya bukan isu Melayu, Cina atau India. Sesungguhnya ia isu melibatkan maruah dan martabat Islam dalam Negara ini.
Saya tidak hairan kiranya umat Islam tidak kira dari mana fahaman bangkit dan menentang desakan kumpulan ini. Kerana memang ianya patut ditentang kiranya kita cemburu pada agama kita yang suci ini. PAS telah menyatakan bangkangan mereka dan demikian juga beberapa individu dan tokoh umat Islam samada yang berjawatan maupun yang memimpin NGO.
Dalam akhbar UTUSAN hari ini selain memuatkan sokongan Nazri Aziz, Rais Yatim dan Azalina Othman terhadap tuntutan kumpulan pelampau ini, dimuatkan juga pandangan Radzi Sheikh Ahmad, juga Menteri di JPM dan Setiausaha Agung Umno. Kata Radzi desakan ini TIDAK MUNASABAH.
Antara lain Radzi mengatakan:
Kalau kita hendak cakap fasal hak dan asasi, semua orang ada hak dan dengan undang-undang itulah yang kita selalu gunakan untuk tegakkan hak seseorang.
Sama juga soal akhlak ini, kita tidak boleh biar orang lain bebas buat apa dia suka, kita mesti ingat ada batas-batas yang perlu diikuti dan dihormati, ujarnya.
Mereka minta undang-undang perbandaran dimansuhkan, takkan kita hendak biarkan orang buka pusat hiburan sampai pagi, hendak bina disko suka-suka hati, ini tidak bolehlah.
Saya SALUTE Radzi kerana berani menyatakan pendirian demikian. Kerana apabila bangkit apa-apa isu berkenaan ISLAM seharusnya kita umat Islam perlu bangkit dan pertahankannya tidak kira apa pandangan dan pendirian politik kita. Tidak seperti Nazri, Rais dan Azalina yang beria-ia menyokong semata-mata kerana anak PM Norli Pak Lah yang merupakan salah seorang jurucakap kumpulan ini.
Kita takut pada Allah atau pada Pak Lah?
Saya juga menghargai pandangan , Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaitoon Othman yang turut menyuarakan rasa terkejut dengan tindakan kumpulan NGO itu yang menurut beliau, sanggup menggadai kepentingan masyarakat semata-mata untuk melindungi hak individu.
Kita mendoakan di hari Jumaat yang mulia ini semoga usaha kumpulan pendesak yang melampau ini akan digagalkan oleh Allah swt. Dan semoga seluruh umat Islam dalam Negara ini akan bangkit mempertahankan yang hak, insyallah.
No comments:
Post a Comment