Wednesday, March 30, 2005

APA JASA VINCENT TAN KEPADA KELANTAN?

Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat hari Ulangtahun Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan Yang Ke-55. Semoga Allah swt melanjutkan usia ke bawah DYMM Al Sultan dan Raja Perempuan.

Namun demikian sebagai hamba rakyat saya rasa terkilan apabila membaca senarai para penerima bintang dan darjah kebesaran sempena ulangtahun keputeraan Al Sultan itu. Kerana salah seorang penerimanya adalah VINCENT TAN CHEE YIOUN iaitu Pengerusi Berjaya Group Berhad. Beliau menerima Darjah Kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran DATUK.

Berjaya Group ini adalah syarikat induk yang memiliki Berjaya Sports Toto syarikat perjudian yang juga tersenarai di Bursa Malaysia. Kedua-dua Berjaya Group dan Berjaya Sports Toto tidak termasuk dalam senarai saham yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah Bursa Malaysia.

Kerajaan PAS negeri Kelantan telah mengamalkan dasar MEMBANGUN BERSAMA ISLAM sejak memerintah negeri itu pada tahun 1990 . Ia telah berusaha membina dan membentuk rakyat dan negeri Kelantan kearah penerimaan Islam secara total sebagai satu cara hidup demi kesejathteraan rakyat dan negeri. Antara langkahnya adalah mengharamkan premis judi sejak tahun 1990 serta segala aktiviti yang bercanggah dengan Islam setakat mana kuasa yang terdapat padanya.

Walaupun diperakui bahawa kuasa menganugerahkan bintang dan darjah kebesaran adalah kuasa DYMM Al Sultan namun saya merasakan ia perlulah seiring dengan dasar dan matlamat kerajaan negeri. Bukankah sepatutnya istana dan kerajaan itu laksana isi dan kuku, istana memayungi kerajaan dan kerajaan mendaulatkan istana.

Tindakan mengurniakan bintang kebesaran kepada pemilik syarikat judi ini dikira tidak selari dengan hasrat rakyat untuk kembali kepada Islam. Dan semoga ianya akan diberi perhatian oleh pihak istana dan kerajaan negeri. Jangan sampai Islam dipersendakan oleh pihak musuh lantaran kealpaan kita.

No comments: