MEMANSUHKAN NAHI MUNGKAR
SATU DESAKAN JAHAT
Kumpulan ini mahu menunjukkan yang mereka mewakili suara rakyat Malaysia. Kerana itu mereka mendakwa mewakili 280 NGO dan individu. Dengan dokongan itu mereka mahu mendesak pihak kerajaan dan parlimen agar akur dengan tuntutan mereka. Sedangkan sebenarnya terdapat beribu NGO dan beratus ribu malahan jutaan individu lain yang saya yakin tidak dapat menerima tuntutan melampau mereka itu.
Apakah pendirian mereka? Mereka menganggap sebarang undang-undang atau peraturan yang diperkenalkan untuk memelihara moral rakyat sesungguhnya menghakis kebebasan individu.
Bagi mereka apa sahaja jenis pakaian yang ingin diperagakan dikhalayak ramai, itu adalah hak individu. Sekiranya remaja memilih untuk bersuka-ria di kelab-kelab malam samada meminum arak, menari berpeluk-pelukan atau apa sahaja jenis perlakuan ianya merupakan hak masing-masing dan mana-mana pihak juga tidak sepatutnya menyekat hak demikian.
Bagi mereka isu moral adalah isu peribadi bermakna segala yang berkenaan akhlak dan perlakuan seseorang itu terpulang kepada masing-masing individu tanpa mana-mana parti mempunyai kuasa untuk menyekat atau melarang.
Almarhum Prof. Zulkifli Muhammad pernah menulis sebuah artikel berkenaan akhlak yang antara lain berbunyi:
Soal mempunyai dan menjaga kehormatan diri dan nilai hidup manusia adalah soal utama dalam akhlak. Manusia yang tiada menghargai dirinya sendiri sudah barang tentu longgar dalam kelakuan akhlaknya dan tidada dapat pun menggambarkan kehormatan masyarakat yang mana adalah pokok pancaran akhlaknya. Hanya dengan kehormatan dirilah manusia bertegap dan berkuat pada pendiriannya dan hak-hak hidupnya dan dengan itu pula ia menghormati pendirian orang lain dan hak-hak hidup mereka.
Ini membuktikan betapa kehormatan diri dan nilai hidup itu penting dipelihara dan dipertahankan dalam usaha mewujudkan masyarakat yang berakhlak. Apabila atas nama hak asasi kita turut memberikan kebebasan sepenuhnya kepada manusia untuk mengikut nafsunya tanpa kawalan akhlak bermakna kita bakal membentuk masyarakat yang porak peranda tanpa nilai dan harga diri.
Lebih tepat lagi Dr Harlina Halizah Siraj di dalam artikelnya yang disiarkan dalam BERITA HARIAN hari ini menulis:
Selagi seseorang itu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai manusia yang diciptakan Allah sebagai hamba dan khalifah, dia berhak dihormati dan tidak ditindas lantaran warna kulit, rupa paras, dan adat bahasa. Seorang manusia yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, tidak kira besarnya, mempunyai hak untuk diperbetulkan. Ia mesti dilaksanakan oleh rakan manusia lain di sekitarnya.
Menjadi tanggungjawab kita yang menyaksikan kemungkaran dan kemaksiatan di depan mata untuk berusaha menghalang dan memperbetulkannya. Hanya dengan usaha itu, barulah kita berhak mendapat gelaran KAHIRUL UMMAH atau ummah terbaik. Ia seperti dijanjikan Allah dalam firman-Nya bermaksud:
Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada Allah.
(Surah al-Baqarah, ayat 110)
Kesimpulannya kumpulan pendesak yang kecil ini perlu akur bahawa ISLAM menuntut pembentukan sebuah masyarakat yang berakhlak. Masyarakat ini akan terbentuk apabila kerja-kerja menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari tercetusnya kemungkaran sentiasa diberi perhatian.
ISLAM menjamin hak asasi dan kebebasan manusia. Namun ISLAM tidak pernah sekali-kali mengizinkan penyalahgunaan kebebasan hak asasi tadi dengan memberikan lessen kepada perlakuan maksiat dan kerja-kerja mungkar. Terbentuknya satu masyarakat yang berakhlak dan saling hormat-menghormati itu sesungguhnya adalah merupakan satu hak yang dijamin dan dipertahankan oleh ISLAM.
No comments:
Post a Comment