Wednesday, November 05, 2008

Belanja duit KWSP untuk rangsang ekonomi tak praktikal

Semalam kerajaan telah memperkenalkan rangsangan ekonomi bernilai RM7billion untuk menghadapi kesan tekanan terhadap ekonomi dunia. Salah satu langkah yang mahu diperkenalkan adalah membenarkan kaum pekerja mengurangkan caruman KWSP mereka secara sukarela iaitu sebanyak 3 peratus ke 8 peratus berbanding 11 peratus sekarang. Pengurangan ini akan berkuatkuasa selama 2 tahun bermula tahun 2009.

Tujuan pengurangan ini adalah bagi memberikan tambahan tunai kepada para pekerja untuk dibelanjakan. Menurut kajian pihak kerajaan sekiranya kesemua pekerja yang merupakan pencarum KWSP menerima opsyen ini bermakna sebanyak RM4.8 billion akan dibelanjakan sekaligus merangsang ekonomi negara.

Semasa dalam perjalanan ke KL pagi tadi saya sempat mengikuti radio Bernama24. Yang ditemumbual pagi tadi adalah Timbalan Setiausasah Agung MTUC Sdr Abd Halim. Jelas MTUC tidak bersetuju dengan pelan ini kerana hakikatnya KWSP adalah satu skim simpanan wajib untuk kegunaan masa tua pekerja. Jika simpanan ini dikurangkan bermakna kita turut mengurangkan dana para pekerja untuk digunakan semasa zaman persaraan mereka, sudah pastilah degan itu ia merupakan suatu keputusan yang tidak bijak.

Kata Sdr. Halim sudah bertahun lamanya MTUC menuntut agar kerajaan mewajibkan COLA ataupun elaun sara hidup sebanyak RM300 untuk dibayar oleh majikan ke atas kaum pekerja di Malaysia. COLA inilah sepatutnya digunakan untuk kalau perlu merangsang ekonomi negara. Dan saya bersetuju sangat kerana ini tidak akan menjejaskan simpanan KWSP yang sewajarnya disimpin untuk masa depan.

Dalam ucapan penggulungannya di Parlimen semalam TPM Najib Tun Razak sekadar membuat perbandingan dengan mereka yang berpendapatan tinggi iaitu antara RM2,000 ke RM6,000 sebulan. Sudah tentulah mereka akan memperolehi antara RM60 ke RM180 sebulan jika menerima opsyen ini, tetapi bagaimana dengan mereka yang gaji pokoknya sekadar RM800 sebulan? RM1,000 sebulan? Kalau sekadar RM24 – RM30 sahaja, kemanakah mahu mereka belanjakan jumlah sekecil itu?

Oleh itu COLA tampak lebih praktikal dan sesuai dalam menghadapi kemelut seumpama ini

Sudah sampai masanya kerajaan mendengar dan menerima saranan pihak MTUC selaku wakil terbesar pekerja sektor swasta dari membuat sesuatu keputusan yang sebegini lemah dan tidak membantu mana-mana pihak sebenarnya termasuklah pekerja dan kerajaan sendiri.

2 comments:

Anonymous said...

salam tuan blog,

cuba hang kira, potongan kwsp aku rm 91.00 sebulan. kalu dikurangkan kepada 3% berapa aku dapat? ada lebihan ke untuk aku belanja?


tokpengulu

Ku ingat Taqwa said...

bukan kurang kepada 3% tok penghulu. kurangkan 3% daripada yg ada sekarang 11%