Monday, December 31, 2007

Bebaskan Hindraf penjarakan Pemuda PAS

Pada 25 November lepas berlaku ketegangan di Kuil besar masyarakat Hindu di Batu Caves. Ribuan masyarakat Hindu yang berhimpun awal pagi di situ, kerana mahu menyertai perhimpunan anjuran Hindraf, telah bertempur dengan pihak polis yang telah mengepung mereka dari luar pagar kuil tersebut. Batu, kayu dan objek keras telah dilontarkan ke arah pihak polis manakala pihak polis pula telah melepaskan berdas-das gas pemedih mata.

Apabila suasana reda, banyak harta awam dan kenderaan termasuk milik pihak polis telah menjadi mangsa. Turut menjadi mangsa adalahs eorang anggota polis yang cedera dikerjakan oleh pihak perusuh berkenaan. Beberapa tangkapan telah dibuat.

Akibatnya pada 5 Disember 2007, pihak Pejabat Peguam Negara diketuai Peguam Negara sendiri telah mengetaui pihak pendakwaan dan mendakwa 31 orang yang terlibat dalam kejadian tersebut atas tuduhan cubaan membunuh anggota polis berkenaan.

Sejurus itu, tangan-tangan politik telah memain peranan untuk mempengaruhi pihak pendakwaan. Kononnya masyarakat India tidak berpuas hati dengan dakwaan yang terlalu keras yang dikenakan terhadap 31 penyokong Hindraf itu. Jika sesuatu tidak dilakukan maka rakan karib Umno dalam BN iaitu MIC akan menerima padah kemarahan pengundi India. Lalu sepak-terajang politik laksana filem Tamil pun bermulalah. Dan akhirnya pada 17 Disember, Peguam Negara memaklumkan mahkamah bahawa tuduhan cubaan membunuh terhadap kesemua 31 perusuh itu digugurkan, mereka bagaimanapun akan didakwa atas tuduhan yang lebih ringan dan semua mereka diberi ikat jamin.

Alasan Peguam Negara kononnya, kesemua mereka telah merayu secara bertulis yang mereka bukan ahli Hindraf dan malah mengutuk perjuangan Hindraf dan berjanji tidak akan menyertai mana-mana himpunan haram lagi. Peguam Negara juga kononnya menyatakan yang pihaknya sendiri pihaknya juga tiba-tiba menghadapi kesukaran mengenal pasti siapakah sebenarnya yang melontarkan batu sehingga mencederakan aggota polis berkenaan.

Itu layanan yang diterima oleh mereka yang merusuh dan mengganas di Batu Caves.

Di Kuala Terengganu pada 8 September lalu berlaku kekecohan berhampiran Batu Burok apabila pihak polis enggan membenarkan ceramah anjuran BERSIH (sebuah badan yang dianggotai oleh parti-parti politik dan NGO yang berdaftar dan sah disisi undang-undang). Mereka yang datang berduyun-duyun untuk pergi ke tempat ceramah telah disekat dan dipaksa bersurai. Dalam kekalutan itu pihak polis telah melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air berasid ke arah mereka yang berhimpun. Pihak polis telah menyerbu ke arah mereka yang enggan bersurai dan dalam kekecohan itu dua orang penyokong PAS telah ditembak dengan peluru hidup oleh seorang anggota polis. Azaman 21 dan Suwandi 38 dikejarkan ke hospital kerana cedera parah akibat tembakan tersebut.

Anehnya Azman dan Suwandi, didakwa dimahkamah atas cubaan membunuh Konstabel wan Abdul Aziz. Konstabel berkenaan yang melepaskan tembakan terhadap kedua mereka sehingga cedera parah, tetapi mereka yang dituduh cuba membunuh!

Anehnya lagi apabila kes ini di bawa ke mahkamah kedua-dua mereka tidak diberikan ikat jamin dan semalam di Mahkamah Sesyen atas rayuan pihak peguam bela yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan ADUN PAS Wan Mutallib Embong, kedua-dua mereka terus dinafikan ikat jamin dan akan terus menrengkok di penjara bersama para penjenayah lain. Mereka telah dipenjara sejak 9 Disember lalu.

Tidakkah senario ini menggambarkan pendakwaan berpilih atau "selective prosecution" di pihak Peguam Negara yang ternayata didorong oleh kepentingan politik pihak-pihak tertentu.
Mereka ini penyokong PAS. Kerana itu mereka ini mesti diajar agar mereka tahu inilah akibatnya apabila menentang dan menggugat kerajaan BN. Tetapi dalam kes Hindraf, walaupun mereka menyertai perhimpunan haram anjuran badan haram, mengganas dan mencederakan anggota polis dan merosakkan harta awam, namun kerana undi masyarakat India kritikal untuk survival BN, maka survival BN lebih penting.

Inilah kezaliman BN yang berlaku di depan mata kita. Apakah kita akan duduk berpeluk tubuh menerima bulat-bulat kezaliman ini?
Lihat saiz batu (bongkah monier tiles) yang telah dilontarkan ke arah polis

No comments: