Thursday, January 11, 2007

Khir Toyo jaguh?

Saya telah menulis berkenaan Dr Nasrudin Aspan, bekas Pengarah Kesihatan Majlis Perbandaran Kelang MPK yang telah dibelasah oleh beberapa orang yang tidak dikenali sehingga merosakkan kenderaannya.



Dr Nasruddin terus menerima ancaman terhadap nyawanya setelah kejadian tersebut. Lalu beliau tidak yakin lagi yang diri dan keluarganya akan selamat, beliau telah meletakkan jawatan dari MPK.

Saya telah menulis betapa kita kesal bagaimana pihak polis sehingga hari ini masih gagal mendakwa mereka yang terbabit. Dan lebih serius lagi apabila Dr Nasrudin mendakwa berkemungkinan kes beliau ini ada kena mengena dengan tindakan yang beliau ambil terhadap beberapa premis hiburan di sekitar Kelang.

Tiba-tiba hari ini Menteri Besar Selangor, Khir Toyo dilaporkan sebagai berkata bahawa kakitangan awam yang menerima ancaman sepatutnya jangan mengalah dan meletak jawatan. Malah katanya beliau sendiri pernah menerima berbagai ancaman, tak perlu meletak jawatan.

Kenapalah Khir dengan mudah mengeluarkan kenyataan begitu, apakah beliau tidak maklum akan kejadian yang menimpa Dr Nasrudin. Saya pernah menulis:

Pada 27 November tahun lalu, pada jam 730 malam sejurus selepas meninggalkan rumahnya di Taman Menegun Indah untuk bertugas, kereta MPV yang beliau pandu telah dilanggar oleh sebuah lori 1 tan. Tidak cukup dengan itu, tiga orang yang tidak dikenali telah turun dan menyerang beliau dengan parang dan batang besi.Mereka telah memecahkan cermin keretanya dan menyerang beliau sehingga Dr Nasruddin terpaksa menerima lapan jahitan di kepalanya disamping luka-luka lain seluruh badan.Kemudian sepuluh hari selepas kejadian tersebut Dr Nasruddin menerima panggilamn telefon mengancam beliau. Kata pemanggil sekiranya beliau enggan meletakkan jawatan, beliau akan dibunuh.

Pernah tak kepala Khir menerima lapan jahitan sebagaimana Dr Nasrudin?

Sepatutnya sebagai MB Khir mendesak pihak-pihak berwajib agar menyiasat dan menyelesaikan segera kes melibatkan Dr Nasrudin ini. Ini kes samseng dan gangsterisma yang memalukan negeri dan rakyatnya.

Jelas mangsa tidak lagi yakin akan jaminan keselamatan yang diberikan. Jelas mangsa berada dalam ketakutan. Sepatutnya MB bertindak bagi mengatasi ketakutan dan kebimbangan itu dan bukannya bertindak bagai JAGUH kononnnya beliau lebih berani dan tahan diugut.

(artikel ini tak dapat diupload semalam kerana gangguan internet)

No comments: