Monday, January 29, 2007

Kemenangan besar yang mencetuskan keraguan

Cuba kita fikirkan andaian ini. Saya bukan bermaksud menuduh bahawa ianya telah berlaku di Batu Talam. Tetapi sekadar membuat andaian, dalam melihatkan betapa ghairahnya BN menyambut apa yang dikatakan kemenangan besar mereka semalam.

Awal-awal lagi jentera BN diketuai Timbalan Presiden Umno menyatakan yang BN yakin menang dengan majoriti lebih 3,000 undi. Dalam Pilihanraya Umum lalu calon mereka mengalahkan PAS dengan majoriti 2,761 undi.

Bermakna awal-awal lagi jentera BN diberikan satu sasaran oleh pemimpin tertinggi mereka. Satu sasaran yang sesungguhnya tidak mustahil kalu dikaji kerana kali ini BN berlaga dengan Bebas dan bukannya calon pembangkang. Ng Chee Pang sepanjang-panjang tempuh berkempen tenggelam-timbul bersama ayahnya selaku jurucakapnya.

Jelas Ng tidak mampu mendirikan sebuah jentera pilihanraya yang sempurna. Tukang kempen dan tampal posternya tidak ada, malah poster pun sekadar berhampiran bilik gerakannya itupun sekadar salinan fotostat. Bilik gerakan beliau pula sering tutup dari dibuka. Dan lebih ketara lagi (malah yang paling kritikal) Ng tidak mampu mengemukakan polling dan counting agentnya untuk ditempatkan di tempat-tempat mengundi di 12 pusat pengundian di dalam kawasan DUN berkenaan.

Pernahkah anda berpengalaman menyaksikan operasi dalam bilik mengundi semasa pengundian dan pengiraan undi dijalankan?

Selain pengundi yang masuk keluar semasa tempoh pengundian, yang akan kekal berada dalam bilik mengundi adalah Ketua Tempat Mengundi (KTM), kerani-kerani tempat mengundi dan seorang wakil parti yang bertanding sebagai polling dan counting agent.

Dengan kelemahan Ng pasti tidak ada seorang pun wakilnya yang akan berada di bilik-bilik mengundi semasa pengundian dibuka sehinggalah ia ditutup untuk proses pengiraan. Jadi dapatkah kita bayangkan suasananya di dalam bilik-bilik mengundi ini?

Pertama, siapakah KTM ini? Mereka adalah pegawai yang samada terdiri dari kakitangan SPR atau kakitangan kerajaan yang dilantik oleh SPR termasuklah kerani-kerani tadi. Kalau kakitangan kerajaan mereka ini biasanya dari Raub sendiri, lazimnya terdiri dari guru-guru sekolah-sekolah disekitar daerah tersebut.

Sekali lagi saya perlu tegaskan yang bukannya saya berniat membuat tuduhan tetapi dalam ketiadaan wakil dan pemerhati calon Bebas lantaran kelemahan mereka tadi siapakah yang dapat memberi jaminan bahawa ketelusan dan keadilan terlaksana dalam bilik-bilik mengundi di Batu Talam semalam?

Saya sendiri pernah melihat dalam satu kejadian dalam Pilihanraya Umum 1990 dimana wakil calon BN yang bertindak sebagai Polling Agent, tanpa segan silu berborak-borak dan memancing undi dalam bilik mengundi, itu dalam keadaan seorang budak 21 tahun hadir sebagai polling agent calon pembangkang. Budak tadi tidak berani membuat sebarang bantahan kerana polling agent BN tadi merupakan TAIKO di kampung berkenaan. Dan malah KTM dan kerani-kerani dalam bilik itu pun (yang semuanya orang tempatan) maklum. Jadi bayangkan senario yang sama di Batu Talam dalam keadaan langsung tiada wakil Bebas!

Baiklah balik kepada operasi dalam bilik mengundi. Mana-mana pengundi yang datang ke saluran (bilik darjah) yang ditetapkan perlu menyerahkan kad pengenalan untuk disemak oleh KTM lalu dikeluarkan kertas undi dengan disaksikan polling agent calon-calon. Lalu mereka memangkah dan memasukkan kertas undi ke dalam tong dan berlalu keluar.

Boleh atau tidak kertas-kertas undi dikeluarkan tanpa ada pengundi yang hadir? Jawapannya tidak boleh malah ia merupakan satu kesalahan dalam peraturan pilihanraya. Tetapi jika saya KTM, dan saya kebetulan kenalan polling agent lalu atau kenalan calon BN memandangkan beliau Setiausaha Umno Raub dan telah banyak menolong saya, lalu saya katakan, memandangkan ramai tidak keluar mengundi di saluran kita saya akan keluarkan 10 kertas undi, kerani (yang juga kenalan kita semua) tolong pangkahkan dan masukkan dalam tong. Siapakah yang akan membantah tindakan saya ketika itu?

Dan kedua selepas tempoh pengundian tamat, maka bermulalah proses mengira undi. Jumlah kertas undi yang dikeluarkan akan dihitung dan begitu juga undi yang berada dalam tong. Bermulalah proses pengasingan kertas undi, yang akan diasingkan antara yang emangkah dacing dan bas (simbol calon Bebas). Undi yang ragu akan ditempatkan dalam bakul yang berasingan. Kemudian akan berjalan proses untuk memastikan samada undi ragu tadi rosak atau boleh diterima, sekali lagi siapakah yang akan menjamin ketulsan dan keadilan jika tiada wakil dari pihak Bebas?

Siapakah yang akan membantah kalau terdapat 30 (contohnya) kertas undi ragu dalam bakul lalu saya selaku KTM memutuskan kita beri sahaja semua 30 kepada BN? Atau lebih ekstrim lagi saya dengan kerjasama lain yang hadir meroskakkan kertas undi yang saya mahu rosakkan, siapakah yang akan tahu?

Saya memberikan andaian-andaian ini kerana saya bimbang dengan target majoriti 3,000 undi (yang akhirnya menjadi 5,857) yang ditetapkan oleh Timbalan Presiden Umno, maka keghairahan petugas-petugas BN untuk melonjakkan nama bakal PM Malaysia itu mengakibatkan ada kecderungan manipulasi seumpama ini tamabahan dalam kelemahan jentera Bebas.

Cuba kita lihat kenyataan Setiausaha SPR dalam Utusan hari ini, bahawa peratus pengundian tertinggi ialah di SMK LKTP iaitu 79.62 peratus manakala yang terendah adalah di SK Kundang Patah iaitu hanya 58.18 peratus.

Manakala saluran undi yang menyaksikan paling rendah peratus yang keluar mengundi adalah di saluran dua SK LKTP Tersang 1 iaitu hanya 39.56 peratus!

Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam saluran-saluran mengundi terutama yang mencatatkan lonjakkan tinggi umpama saluran satu SK Kuala Atok yang menyaksikan peratus keluar mengundi seramai 80.29 peratus.

Mungkin andaian-andaian saya ini tidak berlaku sama-sekali semalam, alhamdulillah. Tetapi sekiranya ada, maka mereka yang diberikan amanah samada KTM atau kerani-keraninya atau polling dan counting agent BN, ingatlah kamu mungkin boleh bersorak dan bersenang hati hari ini, tetapi esok apabila kita semua di hadapkan di hadapan Mahkamah Allah Yang Maha Adil, lidah kita mungkin kelu tetapi tangan dan anggota badan kita semua akan berkata-kata dengan lafaz kebenaran, ketika itu tiada gunanya wang dan kain pelekat atau apa sahaja habuan yang kamu terima di dunia, kekal abadilah kamu dalam azab dan kesengsaraan.

No comments: