Tuesday, January 23, 2007

Petanda kegagalan program kerajaan

Pada tahun 2002 dahulu kita terjah sahaja program ini atas dasar kononnya mahu memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan anak-anak kita yang teruk merosot. Lalu melalui program EteMS atau English for the Teaching of Maths and Science kita wajibkan anak-anak kita belajar dua matapelajaran ini dalam bahasa Inggeris.

Ramai yang tak setuju, ramai yang bantah, namun apa kan daya laksana durian dan mentimun, dari dilenyek luka, maka rakyat termasuk tenaga pengajar yang tidak punya banyak pilihan menerimanya bulat-bulat.



Jika kerajaan terlalu yakin bahawa formula penyelesaian mereka ini efektif maka seharusnya persediaan yang cermat dan lengkap telah pun dilakukan. Rupa-rupanya tidak. Kini setelah 5 tahun perlaksanaan tiba-tiba mereka menyedari bahawa guru-guru yang mengajar matematik dan sains di sekolah-sekolah itu sendiri tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Kini setelah 5 tahun terdetik pula dalam benak mereka bahawa guru-guru ini perlu melalui peperiksaan bagi mengukur tahap penguasaan bahasa Inggerisnya. Kenapa baru hari ini nak ukur, enapa tidak 5 tahun sebelumnya? Kenapa sebelum perlaksanaan dasar ini guru-guru berkenaan tidak dihantar berkursus dan dilatih.

Saya tidak menyalahkan guru-guru ini kerana mereka sesungguhnya selama ini menerima latihan dalam Bahasa Melayu. Kerajaanlah yang telah merobah dasarnya terlalu kerap sekerap anak kecil ditukarkan lampinnya, maka kini yang menerima padahadalah kita semua.

Bukan hanya guru-guru tadi kini bermasalah, malah anak-anak kita rata-rata bermasalah kecuali segelintir kecil di sekolah-sekolah di kawasan-kawasan elit.

Keresahan ini kini dirasai, cerdik pandai Melayu telah berkumpul di Dewan Bahasa dan Pustaka November tahun lalu untuk berbincang isu ini dan akhirnya mengeluarkan resolusi menuntut kerajaan agar kembali ke status quo 2002. Malah dikalangan pimpinan Umno sendiri pernah menyuarakan hal ini (Konvensyen Umno Johor meluluskan resolusi yang hampir sama) walaupun kini mereka senyap seribu bahasa, sedangkan mereka sebagai parti Melayu terbesar di dunia sepatutnya menjuarai isu ini.

Kita akui bahawa bahasa Inggeris penting dan perlu diperkasakan namun bukan dengan cara kita ini. Sepatutnya waktu pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri dipertingkatkan, metodologi pengajarannya diperbaiki, bukannya menginggeriskan matematik dan sains!

Sekali lagi nasib dan masadepan umat dan bangsa diperjudikan oleh kekalutan kerajaan Umno/BN.

No comments: