Monday, January 15, 2007

Boikot tetap boikot

Tinggal tak sampai 24 jam dari sekarang akan bermulalah proses penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN N.06 Batu Talam, Pahang bagi mengisi kekosongan ekoran kematian wakil rakyat Umno baru-baru ini.

PAS, PKR dan parti-parti politik pembangkang yang lain telah membuat keputusan untuk memulau atau memboikot pilihanraya tersebut. Ini bermakna tidak ada parti politik yang berdaftar selain BN dijangka akan mengemukakan kertas pencalonan esok. Jika hanya BN sahaja yang mengemukakannya bermakna calon mereka akn diisytihar menang tanpa bertanding. Oleh itu tiada pemilihan dijalankan pada 28 Januari nanti.



Sepatut-patutunya seluruh hulubalang dan pendekar BN terutma dari Umno bersyukur dan berterima kasih kerana mereka menang percuma. Tidak perlulah menghasut dan mencabar terutama PAS dengan kata-kata jolokkan takut kalah, bacul dan seumpamanya. Saya pasti jika PAS atau mana-mana parti pembangkang lain diisytiharkan menang tanpa bertanding sebegini, sudah pasti merek akan mengucapkan terima kasih kepada BN.

Jadi kenapa ada sikap sedemikian dari Umno khasnya? Jawapannya pertama, mereka tidak akan dapat mengukur kekuatan pembangkang sebelum pilihanraya umum dipanggil, apabila boikot ini berlaku dan kedua, lebih peribadi lagi, ramailah dalam Umno dari peringkat sebawah-bawah cawangan sehinggalah bahagian dan dari luar Pahang tidak akan berpeluang disuap dan disogok wang dari kantung parti dan taukeh-taukeh mereka, kerena bila dah menang tanpa bertanding, apa gunanya berbelanja lagi.

Dalam kekalutan ini sepatutnya elok sangat kita meneliti dan mengkaji asas-asas pemboikotan PAS itu.Benarkah proses pilihanraya dalam negara yang dikendalikan oleh SPR pincang dan tempang?

Benarkah dalam pertandingan pilihanraya gelanggangnya tidak sama rata?

Benarkah SPR itu memihak dan akur kepada telunjuk parti pemerintah?

Rakyat perlukan jawapan. Tindakan PAS dan rakan-rakan mereka ini perlu dipandang serius dan tidak ditolak ke tepi begitu sahaja. Kalau benar sistem pilihanraya kini pincang dan tempang maka mengapa yang Umno dan BN takut sangat untuk mengarahkan agar ianya diperbaiki? Saya kira jika reformasi dan rombakan besar-besaran dilakukan terhadap SPR sudah pasti ianya akan membawa imej yang baik bagi negara di mata dunia dan rakyat sendiri.

Kalaulah contohnya permohonan pembangkang agar semua pengundi yang telah keluar mengundi dicelup jarinya dengan dakwat bagi memastikan ia tidak mengundi bagi kali yang kedua (sebagaimana diamalkan di India, bumi demokrasi terbesar di dunia), apalah yang Umno dan BN takut sangat? Kalau dilaksanakan pun belum tentu mereka akan kalah, kecualilah memang mereka dengan bantuan SPR berkomplot membenrakan pengudnian berulang berlaku dalam kes-ks tertentu!

Kalaulah contohnya lagi anggota tentera dan polis tidak lagi mengundi secara pos tetapi sebaliknya mengundi sebagaimana orang awam yang lain iaitu secara terbuka dan boleh diperhatikan oleh semua, apakah ini akan mengakibatkan Umno dab BN akan kalah? Di Palestin bumi yang sedang berkecamuk pun semasa pilihnarayanya tentera dan polis mereka mengundi sebagaimana orang awam biasa, mengapa pula Malaysia yang aman damai ini mengamalkan sistem yang sudah ketinggalan zaman ini? Kecualilah memang Umno dan BN berkomplot dengan SPR bagi memanipulasi keputusan undi pos ini!

Segala kemungkinan ini menimbulkan keraguan, malah ada kes-kes yang telah pun dilaporkan namun tiada tindakan yang konkrit diambil oleh kerajaan dan SPR. Lantas bagaimana kita mahu mendakwa WE ARE THE BEST?

Saya bimbang jika setelah perkara ini didedahkan, dan SPR terus berselindung disebalik kain Umno dan BN, sudah pastilah ianya mencacat dan mungkin membunuh pertumbuhan sistem demokrasi yang sepatutnya mekar subur dalam sebuah negara maju. Apa gunanya kita maju tetapi proses demokrasi kita setaraf dan mungkin lebih teruk dari negara dunia ketiga yang lain.

No comments: