Tuesday, May 24, 2005

KONGSI KUASA BN MULA DIPERTIKAI

Perkara ini bukan sesuatu yang baru, ia sering menjadi bahan pertikaian khususnya sesama anggota Umno apabila satu-satu kerusi majority Melayu diserahkan kepada parti komponan bukan Melayu atas alasan semangat setiakawan BN serta konsep kongsi kuasa yang mereka amalkan. Umno lah yang sering menjadi mangsa apabila perlu menjelaskan pula kepada penyokong mereka di akar umbi darihal rasionalnya penyerahan satu-satu kerusi itu.

Kini gendang pertikaian itu dipalu semula. Umno bahagian Kelana Jaya umpamanya (Ketuanya Mohamad Mohd Taib) baru-baru ini menyuarakan keluhan mereka tentang hal ini. Kata Timbalan Ketuanya, mengapa Umno sahaja yang menjadi mangsa apabila isu pembahagian kerusi semasa pilihanraya berbangkit.

Kerusi baru parlimen Kelana Jaya adalah unik kerana komposisi kaumnya seperti berikut Melayu 42.13 peratus, Cina 37.5 peratus dan India 19.36 peratus. Pada pilihanraya umum yang lalu Muhammad Taib disebut-sebut sebagai bakal bertanding di kerusi parlimen tersebut, tiba-tiba disaat akhir ianya diserahkan kepada MCA.

Sementara itu di Pulau Pinang, Umno bahagian Bukit Mertajam pula mencadangkan agar kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang digilirkan antara parti-parti komponan sebagaimana yang pernah diamalkan di Sabah satu ketika dahulu. Di dewan undangan negeri Pulau Pinang terdapat 40 kerusi dimana Umno menang 14, Gerakan 13, MCA 9, MIC 2 dan DAP serta PAS masing-masing 1. Namun sejak zaman berzaman Umno tidak pernah sekalipun berpeluang duduk di kerusi empuk Ketua Menteri itu walaupun ia merupakan rakan kongsi terbesar.

Sesungguhnya banyak lagi kerusi yang Umno telah gadaikan dan tindakan tersebut jelas tidak disenangi oleh kalangan ahli-ahlinya. Apakah dengan perkembangan terbaru ini bermakna Umno sudah tidak yakin lagi dengan formula perkongsian kuasa selama ini?

Demikianlah lambat-laun nasib mana-mana parti yang berjuang atas dasar perkauman. Umno, MCA dan MIC adalah contoh parti yang berjuang atas dasar perkauman dalam Negara kita sejak merdeka. Sungguhpun masing-masing mereka menerima konsep perkongsian kuasa demi kepentingan bersama namun apabila ahli-ahli mereka mula menuntut dan bersuara akhirnya parti pasti perlu akur dengan tuntutan ahli dan akan timbullah bibit-bibit perpecahan sesama komponan. Ketika itu perpaduan Negara akan dilontar keluar tingkap dan yang tinggal untuk diperjuangkan adalah nasib dan kepentingan kaum yang diwakili masing-masing.

Lantaran itulah kita perlu berhijrah segera meninggalkan perjuangan berbentuk kaum dan mencari alternative yang lain yang lebih bermakna dan berkekalan.

No comments: