Monday, May 16, 2005

KES MENGHINA AL QURAN DI GUANTANAMO

Majalah Newsweek di dalam liputannya telah memuatkan darihal layanan yang diterima oleh tahanan Islam Guantanamo Bay, Cuba. Menurut laporan tersebut terdapat saksi yang memberi maklumat melihat anggota tentera Amerika yang menyoal-siasat tahanan di sana telah melontarkan Al Quran ke dalam mangkuk tandas lalu dipam bagi menghina tahanan berkenaan.
Lanjutan dari pendedahan Newsweek itu beberapa Negara Islam telah mendesak agar kerajaan Amerika menyiasat kejadian tersebut dan memberikan penjelasan sebenar. Rakyat di Pakistan dan Afghanistan (kebanyakan tahanan di Guantanamo datang dari kedua-dua buah Negara tersebut) telah keluar beramai-ramai menunjuk perasaan membantah tindakan biadap Amerika itu.


DEMO DI PAKISTAN

Dalam kekalutan ini Setiausaha Negara Amerika Rice terpaksa membuat kenyataan bahawa Amerika tidak pernah sekali-kali bertindak menghina kitab suci Al Quran dan akan menyaisat kejadian tersebut jika benar.

Dan hari ini Newsweek telah membuat kenyataan memohon maaf, dan cuba mempertikaikan pula kesahihan laporannya itu sendiri.

Apa pun yang mahu saya utarakan di sini adalah sikap Pak Lah selaku Perdana Menteri Malaysia. Dalam akhbar tempatan semalam apabila diajukan soalan berkenaan isu ini (sebelum kenyataan Newsweek hari ini) Pak Lah sekadar berkata beliau kesal dengan kejadian tersebut akan tetapi menegaskan bahawa TIDAK ADA APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN.

Sebagai sebuah Negara yang berdaulat, mewakili NAM dan OIC pula, saya kira banyak yang boleh kita lakukan. Sekurang-kurangnya kita mengirimkan nota bantahan kepada kedutaan Amerika di sini, dan minta supaya kejadian ini disiasat sebenar-benarnya. Kita juga boleh mengarahkan diadakan solat hajat di masjid dan surau-surau di seluruh Negara.

Takkanlah bila Al Quran, kitab suci pegangan kita, hukum tertinggi kita diperlakukan sedemikian rupa kita sekadar berlepas tangan mengatakan kita tidak boleh buat apa-apa!

Semasa zaman pemerintahan Khalifah Al Muktasim dari Bani Abasiyyah, kerajaan Islam ketika itu dikira terlalu lemah. Namun apabila berlku satu kejadian dimana seorang muslimah dihina dan diperlakukan oleh musuh-musuh Islam di sebuah Negara bukan Islam, Muktasim yang memiliki kerajaan yang lemah itu telah mengerahkan bala tentera Islam ke Negara tersebut demi menebus maruah Islam.

Dalam hal ini kita tidaklah mengharapkan Pak Lah melakukan sebagaimana Muktasim, tetapi sekurang-kurangnya keluarkanlah kenyataan yang tegas yang mencerminkan pendirian Malaysia, yang membela maruah dan nama baik Islam. Sampai bila kita nak berterusan bersikap tak boleh buat apa-apa ni?

No comments: