Wednesday, April 27, 2005

MENYELUSURI GERAK POLITIK TOK GURU

Tidak dapat dinafikan bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah merupakan seorang tokoh politik yang sentiasa diberi perhatian. Samada mereka yang gemar maupun bagi mereka yang memusuhinya, peribadi Tok Guru ini sering dikagumi dan disegani kawan dan lawan.

Sejak akhir-akhir ini beliau semakin kedepan dan memberikan lebih banyak impak terhadap lanskap politik tanahair. Dalam jangka waktu yang singkat sesingkat beberapa minggu kebelakangan sahaja Tok Guru telah mencetuskan pelbagai suasana yang kadangkala sukar diduga dan dibaca. Penuh kontroversi, penuh kejutan namun terus dikagumi dan dihormati.

Dalama suasana PAS akan berdepan dengan Muktamar Tahunannya pada awal Jun kelak, yang akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti, Tok Guru contohnya tidak mahu ketinggalan dalam mencorakkan momentum. Ketika ramai yang menanti-nanti pencalonan dari kawasan-kawasan, Tok Guru tiba-tiba mencetuskan suatu kejutan. Calonkan Dr Siti Mariah sebagai Naib Presiden PAS, biar kita mendahului Umno dalam hal mengenengahkan kepimpinan wanita, demikianlah lebih kurang kenyataannya.

Terperanjat dan terkedu kawan dan lawan. Saranan Tok Guru benar-benar berani dan terkehadapan.

Bukankah PAS selama ini dikatakan mengekang dan mengongkong golongan wanita. PAS dituduh memberikan second class treatment terhadap golongan hawa. Dan apa lagi yang tidak diperkatakan terhadap PAS dalam isu wanita, tiba-tiba kenyataan Tok Guru ini bagaikan memaku dan mematikan tohmahan dan fitnah ini.

Muslimat dalam PAS sesunggunya bukan sekadar dihormati dan diberi peranan hatta nak menjadi Naib Presiden jawatan ketiga tertinggi dalam parti, pun boleh. Ini tidak pernah berlaku dalam Umno yang kononnya memartabatkan wanita.

Dalam pada itu kerajaan negeri Kelantan pimpinan Tok Guru turut mengumumkan akan melantik penghulu dikalangan wanita peringkat parlimen setelah hampir dua tahun mewujudkan penghulu wanita diperingkat DUN. Satu langkah yang tidak pernah diberi perhatian oleh kerajaan Umno Kelantan dahulu mahupun oleh kerajaan-kerajaan negeri Umno yang lain!

Tidakkah perkembangan ini sesuautu yang baik dan positif bagi golongan wanita, yang terbit dan dicetuskan oleh Mursyidul Am PAS sendiri! Pasti persepsi masyarakat terhadap Tok Guru dan institusi ulamak yang selama ini dimomokkan oleh Umno akan beransur berubah melalui cetusan-cetusan sensasi ini.

Tidak cukup dengan isu wanita, malah beberapa minggu lalu Tok Guru turut mencetuskan satu lagi kontroversi apabila turut hadir bersama-sama Ku Li, Annuar Musa, Mohammad Yaakub (bekas MB Umno Kelantan) dan lain-lain dalam satu majlis anjuran Ibrahim Ali di Kota Bharu. Tok Guru hadir dan mendengar kertas yang dibentangkan oleh Ku Li berkenaan perpaduan rakyat dan kedaulatan Raja.

Ramai yang menyangka MB Kelantan itu tidak akan hadir malah mungkin mewakilkan Timbalannya atau mana- mana EXCO kanan, rupa-rupanya dengan gagah Tok Guru hadir dan duduk di pentas utama bagi membuktikan keterbukaan dan kesediannya untuk melibatkan diri dalam isu perpaduan dan kerjasama dengan mana-mana pihak yang bersedia.

Saya yakin segala-gala ini dilakukan oleh Tok Guru demi mentarbiyah secara amali anak-anak didiknya di dalam PAS khususnya agar mereka turut mengamalkan satu sikap keterbukaan dan berpandangan jauh demi meletakkan Islam dalam arus perdana dan terus disegani, dihormati dan akhirnya diterima dengan senang hati oleh semua pihak insyallah.

Bertuahlah mereka yang dapat membaca, meneliti dan menerima didikan amali beliau ini. Kepimpinan Ulamak akan dipandang tinggi dan dimartabatkan apabila pemimpinnya berani dan terbuka seperti Tok Guru. Mudah-mudahan berjayalah Islam di bawah terajunya.

No comments: