Sunday, April 10, 2005

KEMELUT NAHI MUNGKAR
DISEBALIK KELUHAN ISMAIL IBRAHIM

Saya terpaksa akui bahawa apabila sahaja berkesempatan membaca MINGGUAN MALAYSIA biasanya saya tidak berapa ambil pusing pada ruangan CETUSAN PEMIKIRAN tulisan Dr Ismail Ibrahim. Kerana ia bagi saya biasanya stereotype boleh didengar dan dibaca dimana-mana sahaja, rentaknya sama saling tak tumpah dengan rentak arus perdana.



Namun pada hari ini saya tertarik dan langsung terpaku membaca berulang-kali ruangan beliau itu yang bertajuk KEHIDUPAN MALAM KL DAN UK. Artikel kali ini bukan tulisan biasa ia bagi saya lebih merupakan cetusan perasaan, luahan hati seorang yang memegang jawatan PENGERUSI MAJLIS FATWA KEBANGSAAN (Ismail juga bekas Tokoh Maal Hijrah dan bekas Ketua Pengarah IKIM).

Ia berkisar sekitar pengalaman beliau berjumpa dengan seorang pelajar yang sedang menyiapkan Phd nya di Manchester. Pelajar tadi seorang ibu dan tinggal bersama anak remajanya. Dari situlah artikel Ismail berkitar sehinggalah membicara dan membandingkan antara NIGHTLIFE dan kehidupan remaja di UK dan di KL. Setelah berada di UK ibu tadi melahirkan kebimbangannya untuk pulang ke KL kerana suasana KL yang dilihat lebih mengancam dan terbuka kepada bahaya jika dibandingkan dengan UK.

Ismail menulis:

Di London tidak ada gerai untuk kita melepak, tetapi di Bangsar atau Sro Hartamas, terlalu banyak gerai yang menari kehadiran generasi tua dan muda untuk berjaga malam. Di London bar atau pubnya kebanyakannya hanya dibuka sehingga pukul 11 malam …..

Ismail mengakui kebimbangan ibu tadi dan melihat memang suasana di KL pada hari ini sungguh membimbangkan, beliau menulis:

Inilah suasana dan persekitaran yang merungsingkan kebanyakan ibu-bapa yang mempunyai anak remaja sekarang ini di negara kita, seperti yang diceritakan oleh ibu di atas khususnya di Bandar-bandar yang telah dicorakkan sebegitu rupa, supaya kelihatan seperti Bandar koboi, atau yang bersuasana kota UNCLE TOM.

Jelaslah tulisan beliau kali ini membayangkan seorang yang FRUSTRATED ataupun kecewa dengan suasana. Kecewa barangkali kerana walaupun memiliki jawatan namun tidak berdaya melakukan apa-apa. Jika seorang yang bertaraf PENGERUSI MAJLIS FATWA KEBANGSAAN pun bersikap sedemikian dalam negara Islam Malaysia hari ini, bayangkan bagaimana perasaan ibu-bapa prihatin yang memiliki ataupun bakal memiliki anak-anak remaja.

FRUSTRATION Ismail benar-benar dapat dirasakan apabila dipenghujung artikel beliau, beliau melontarkan pelbagai pertanyaan iaitu:

Saya berfikir sekiranya pun hendak diadakan perubahan yang radikal, maka siapakah pula yang akan mengadakan perubahan ini? Jabatan agama? Kerjanya sebagai POLIS MORAL tidak diperlukan lagi oleh banyak kalangan. Akta moral? Akta itu telah didesak supaya dimasuhkan. Ibu bapa? Ibu bapa pun ada yang suka kehidupan dan gaya hidup anak mudanya seperti itu. Jadi siapa? Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui, wallahualam bissawab.

Di sinilah umat Islam semuanya tercabar dan dicabar. Ini realiti yang melanda kita, satu suasana sebenar yang bukan direka-reka oleh PAS ataupun NGO Islam tetapi turut diakui oleh Dr Ismail Ibrahim sendiri. Kita perlu mengunakan apa sahaja ruang yang ada dan yang diizinkan untuk membawa perubahan. Maaf tetapi ISLAM HADHARI terbukti gagal malah bukan membantu menyelesai tetapi mengundang lebih banyak lagi masalah sejak akhir-akhir ini.

Oleh itu demi menyelamatkan maruah dan masa depan ummah insaflah dan ayuh berani bangun membawa perubahan.

No comments: