Friday, April 15, 2005

SYABAS: MUFTI-MUFTI PERTAHAN MORAL POLICING

Kalau hari Ahad lepas, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Dr Ismail Ibrahim menulis di dalam ruangan beliau di MINGGUAN MALAYSIA artikel bertajuk KEHIDUPAN MALAM KL DAN UK yang meluahkan perasaan beliau darihal keadaan moraliti di Malaysia, semalam beliau bergerak setapak lagi.

Dr. Ismail telah membangkitkan isu ini di dalam muzakarah mufti-mufti seluruh negara dan majlis muzakarah tersebut telah mengeluarkan kenyataan:

Penguatkuasaan berteraskan amar makruf dan nahi mungkar perlu diteruskan kerana ia dituntut bagi mempertahankan kewibawaan rakyat dan imej Negara. Apabila kita pilih kerajaan, kita beri kuasa kepadanya untuk mempertahankan nilai moral rakyat kerana kerosakan moral membawa bencana kepada Negara. (BERITA HARIAN)

Kerajaan perlu bertegas dalam soal membenteras kemungkaran dan tidak menjadikan KESALAHAN TEKNIK dalam satu dua insiden pihak berkuasa agama sebagai asas menolak undang-undang bagi menjaga moral rakyat. Mufti-mufti berharap kerajaan akan mempertahankan konsep membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran seiring dengan usaha membanteras rasuah, peyelwengan kuasa, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. (UTUSAN MALAYSIA)

Ini bermakna kerajaan berkewajiban menolak sama-sekali memorandum yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang menuntut agar MORAL POLICING ini dibatalkan atas asas menganggu dan mengekang kebebasan individu. Pengerusi Majlis Fatwa dan Mufti-mufti merupakan AUTHORITY dalam hal-hal agama, lantas tidak ada alasan lagi bagi kerajaan untuk tidak akur pada keputusan ini.

Jangan dibenarkan mana-mana pihak pun mengeksploitasi isu hak asasi untuk mengikis kewibawaan dan kesucian Islam walaupun jurucakapnya anak Perdana Menteri sekalipun!

Saya mengucapkan syabas kepada Dr Ismail dan para mufti, kini giliran umat Islam pula untuk memastikan pihak kerajaan menerima teguran ini tanpa berdolak-dalik. Kalau desakan kumpulan NGO yang berkenaan keterlaluan dan mengakibatkan mereka perlu di kaunseling seperti Al Arqam dahulu maka seretlah mereka ini untuk dimurnikan kembali akidahnya termasuklah Nori Abdullah sekali.

Sekurang-kurangnya teguran muzakarah ini dapat membuka mata ramai khususnya pihak kerajaan bahawa isu keruntuhan moral dari prespektif agama itu sesungguhnya bukan sekadar melibatkan kes khalwat, bercumbu-cumbuan dan minum arak semata-mata tetapi turut melibatkan isu rasuah dan penyelewengan kuasa!

Alhamdulillah para penasihat yang diberi tugas untuk menasihat telah pun menjalankan tugas mereka. Soal samada nasihat mereka itu didengar ataupun tidak dipedulikan maka itu tugas dan tanggungjawab kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab memberikan mandat kepada kerajaan yang kita gemari.

Saya mencadangkan agar pihak NGO Islam, parti Islam, kerajaan negeri Islam dan lain-lain kumpulan dan individu yang prihatin agar memberikan sokongan kepada kenyataan para mufti ini sekurang-kurangnya mereka dimaklumkan bahawa mereka tidak keseorangan dalam isu ini. Hidup Islam!

No comments: