Monday, April 04, 2005

MORAL POLICING:
APA SIKAP UMNO SEBENARNYA?

Isu MORAL POLICING masih hebat diperdebatkan. Ada kumpulan yang mendesak agar segala peraturan dan undang-undang yang mengawal moral ataupun akhlak dan perlakuan individu perlu dihapuskan atas alasan ianya menganggu dan menghalang hak kebebasan seseorang. Mereka berhujah bahawa isu moral ataupun akhlak seharusnya diserahkan kepada keluarga masing-masing dan bukannya kerajaan.

Bersungguh-sungguh betul kumpulan ini sehingga satu memorandum telah diserahkan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan melalui jurucakap mereka Nori Abdullah iaitu anak Perdana Menteri sendiri. Selain kumpulan mereka sendiri, terdapat individu tertentu yang telah menyokong dan menurunkan tandatangan pada memorandum ini menandatangan setuju masing-masing. Antaranya termasuklah para menteri kabinet Umno iaitu Nazri Aziz, Rasi Yatim, Azalina Othman.

Kemudian terbit pula kenyataan Setiausaha Agung Umno Radzi Sheikh Ahmad dan Menteri di JPM Andullah Mat Zain yang menyelar tuntutan kumpulan ini atas alasan ianya keterlaluan.

Pasti ramai yang prihatin akan merasa gelisah melihatkan pertelagahan antara kenyataan sesama menteri kabinet Umno ini sedangkan Umnolah yang sepatutnya muncul sebagai juara Islam Hadhari.


BADRUDDIN AP JERAI

Dalam akhbar NST semalam dimuatkan temuramah dengan seorang tokoh Umno dari Kedah iaitu Badaruddin Amiruddin ahli parlimen Jerai yang telah menyentuh isu ini secara khusus. Antara lain dalam temuramah tersebut beliau menyebut:

Memastikan wujudnya hak asasi adalah suatu perkara yang baik. Namun ianya tidak boleh dituntut dengan cara merugikan negara. Ada pertubuhan yang menuntut dan menjuarai hak itu dan ini. Bagi mereka sekiranya seorang Muslim mahu meminum arak atau berpakaian menjolok mata, ianya merupakan hak, tetapi hak bagaimana sedangkan ianya HARAM.

Sekiranya umat Islam terlibat dalam aktiviti yang HARAM nanti apa pula reaksi orang lain terhadap kita?Pasti ianya mencemar imej negara dan agama.

Demikianlah reaksi Badaruddin terhadap isu ini. Beliau menambah:

Adakah anda mahu melihat anak-anak kita mengunjungi kelab-kelab malam dan pulang pada jam 3 ke 4 pagi, merokok dan minum arak? Saya dapat menyaksikan ini berlaku di ibukota dan saya sangat sedih. Mereka yang belum berkahwin berpeluk-pelukan.

Adakah anda mempunyai anak? Anda akan fahami maksud saya jika anda ada anak sendiri. Adakah ketika itu anda akan berkata: Itu hak dia, bila melihat anak anda sendiri meminum arak dan mengambil dadah?

Apa sebenarnya sikap Umno dalam hal ini? Sesama pemimpin Umno pun nampak tidak bersatu pemdapat sedangkan isu ini sangat kritikal terhadap nasib dan masadepan umat Islam dalam negara ini! Jangan dipolitikkan isu ini untuk kepentingan mana-mana pihak. Kalau memorandum dan tuntutan ini melampau walaupun anak PM yang menjuarainya yang salah tetap salah. Jangan dibela dan diberi muka dalam hal yang membabitkan maruah agama!

Saya yakin bukan hanya parti Islam, NGO Islam dan individu Islam tidak dapat menerimanya malah sahabat-sahabat kita dalam Umno juga demikian sebagaimana yang ditunjukkan oleh reaksi Badaruddin ini. Ayuh kita pertahankan yang hak dan bersama mencegah kebatilan.

No comments: