Tuesday, August 16, 2005

Ya Allah selamatkanlah bumi Aceh



Akhirnya dengan izin Allah swt termetrailah perjanjian damai antara kerajaan Republik Indonesia dan gerakan pembebasan Gerakan Aceh Merdeka ataupun GAM di Helsinki Isnin lalu.

Dengan perjanjian damai ini bermakna berakhirlah sengketa perang saudara antara kerajaan Indonesia dan GAM yang telah berlarutan selama lebih 30 tahun dengan mengorbankan lebih 15,000 nyawa.

Melalui perjanjian damai ini kesemua anggota GAM bersetuju meletakkan senjata dan akan diberikan pegampunan oleh kerajaan Indonesia. Semua tahanan GAM dalam penjara Indonesia akan dibebaskan dalam tempoh 2 minggu dan anggota GAM akan dibenarkan mengambil bahagian dalam arus politik perdana di Indonesia.



Selain itu Aceh sendiri akan diberikan otonomi dengan diberikan hak dan kebebasan menguruskan hasil mahsulnya sendiri. Malah 70 peratus dari hasil buminya akan diurus sendiri oleh wilayah ini kelak.

Aceh sebelum ini merupakan satu-satunya wilayah yang diberikan status daerah istimewa oleh kerajaan Indonesia. Melaui perjanjian ini Aceh akan terus dibenarkan melaksanakan syariat dan undang-undang Islam sebagai hukum amalannya.



Mudah-mudahan tiada lagi berlaku pertumpahan darah di bumi Serambi Mekah ini yang telah melahirkan puluhan para ulamak terkenal dan tersohor. Mudah-mudahan rakyat Aceh akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan warga dunia yang lain, yang bebas dan merdeka. Mudah-mudahan Islam terus subur di bumi bertuah ini.

Sementara itu Aceh dijangka mengadakan pilihanraya ataupun pemilu disemua peringkat pada bulan Oktober kelak. Menurut Drs. Almuzammil Yusuf dari PKS ataupun Partai Keadilan Sejahtera (blok parti Islam yang popular dewasa ini di Indonesia) rakyat Aceh dijangka akan memberikan kemenangan besar kepada PKS lantaran identiti Islam yang dibawa PKS yang secocok dengan tradisi dan amalan Islam yang masyhur di Aceh.

Semoga Serambi Mekah di Indonesia dan Serambi Mekah di Malaysia bergema membangkitkan semangat dan kesedaran rakyat di rantau sebelah sini untuk kembali menghayati Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, insyallah.

No comments: