Saturday, August 13, 2005

Jangan amalkan larangan agama: Najib

No hugging please we are Muslims:

Harap jangan berpeluk-pelukan, kita umat Islam.

Demikianlah komen TPM Najib Tun Razak apabila mengkritik aksi di dalam beberapa rancangan realiti TV yang popular dewasa ini.

Kata Najib lagi sebagaimana yang dipetik oleh THE STAR ketika berada di Langkawi:

This is not a question of young or old people hugging. This is about religion. It is forbidden in the religion

Ianya bukan soal yang muda memeluk yang tua. Ini soal agama. Ianya dilarang oleh agama.

Barangkali Najib merujuk kepada batas hubungan antara lelaki dan wanita dalam Islam sebagaimana yang terkandung dalam Surah an Nur ayat 30 dan 31 yang antara lain berbunyi:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki (sehingga penghujung ayat).

Sememangnya aksi para remaja yang digalakkan berpeluk-pelukan dalam rancangan-rancangan seumpama ini sungguh memberikan gambaran yang buruk dan hodoh terhadap Islam dan budaya Melayu. Lalu layaklah sangat TPM mengeluarkan teguran sedemikian.



Tapi jangan berhenti setakat itu. Najib pasti tahu bahawa bukan berpelukan-pelukan sahaja yang merupakan larangan agama. Najib perlu membuka matanya serta toleh disekelilingnya. Mudah-mudahan teguran itu dibuatnya dengan niat yang ikhlas. Mudah-mudahan ianya akan turut disusuli dengan teguran-teguran lain termasuklah berjabat tangan antara bukan mahram, memelihara aurat dan lain-lain.

Kuasa dan pemerintahan terletak ditangannya. Dengan yang demikianlah sepatutnya dipimpin rakyat kearah mencinta dan mentaati peraturan Allah. Kuncinya, mahu ataupun tidak.

Yang anehnya, mereka yang berilmu agama dalam kerajaan tidak pula kedengaran mengeluarkan teguran-teguran seumpama ini. Seorang pemimpin wanita yang memiliki Phd berlatarbelakangkan agama, biasa dilihat di kaca TV berjabat tangan dan bersalaman dengan bersahaja sesama bukan mahramnya, sedangkan sebelum bercakap berdegar-degar berkenaan syariat dan hukum.



Benarlah firman Allah yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Al Baqarah: 208.

No comments: