Wednesday, August 24, 2005

Isu Mawi: Surat terbuka Hj. Mahfuz

Saya menerima email dari sahabat saya Tuan Hj Mahfuz Omar yang memuatkan surat terbukanya kepada Mawi, juara Akademi Fantasia 3 baru-baru ini.Saya kira isi kandungan surat ini mencerminkan position ataupun sikap dan pendirian jemaah Islam khasnya PAS berkenaan dengan Mawi, yang kini merupakan agenda besar negara, disamping pertandingan parti Gerakan dan spekulasi rombakan cabinet Pak Lah.



Ramai yang merasa tidak selesa apabila PAS melalui pimpinannya turut berusaha mendekati Mawi. Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan telah jauh ke hadapan lagi dengan segera mengundang Mawi ke majlis rasmi anjuran kerajaan negeri pada hujung bulan September nanti.

Berbagai-bagai reaksi bermain di kepala sebahagian besar masyarakat Malaysia khususnya yang prihatin dengan perkembangan politik islam tanahair. Mengapa PAS mendekati Mawi, graduan AF yang penuh aksi maksiat itu? Mengapa mengagungkan Mawi? PAS menggadaikan prinsip dengan mendekati Mawi. Dan macam-macam lagi.

Sikap cemburu ini memanglah telah diduga, namun kita tidaklah harus membawanya sampai ke peringkat cemburu buta. Anggaplah perkembangan ini sebagai suatu pendekatan dakwah dalam suasana masyarakat semasa yang sungguh mencabar. Kita tewas jika dalam suasana ini kita menutup rapat pintu dan tingkap rumah semata-mata kerana benci dengan suasana di luar.

Sebagaimana nafas surat Tuan Hj Mahfuz ini, kita perlu tangani masalah dengan hikmah dan bijaksana. Yang penting kita perlu kehadapan dalam mengemukakan penyelesaian bukannya dilihat cuba mengelak atau lari dari masalah.

Berikut surat beliau, terima kasih Tuan Hj. :

Surat terbuka untuk Mawi

MAWI PERLU JADI IKON POSITIF KEPADA REMAJA

Saudara pengarang,

Pertamanya saya ingin merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan Mawi menjuara Akademi Fantasia 3 baru-baru ini. Kejayaan Mawi ini boleh dianggap mewakili satu aspirasi baru remaja masa kini iaitu berhibur dalam batasan agama.

Saya sangat kagum dengan sikap Mawi yang cuba menyampaikan satu mesej yang bermoral kepada remaja melalui tindakannya seperti menutup aurat, berdoa, menghormati azan dan jugaseruan supaya belia meninggalkan dadah. Mesej ini sangat positif kepada remaja kerana ia disampaikan oleh seorang penghibur yang berpengaruh.

Namun begitu, satu perkara yang ingin saya sampaikan kepada Mawi ialah keperluan untuk beliau istiqomah dengan pendekatan hiburan positif ini. Mahu tidak mahu kita harus akui bahawa Mawi telah menjadi ikon kepada muda-mudi hari ini. Kita berharap yang diikuti bukan cara berpakaian atau fesyen rambutnya sahaja, tetapi mesej-mesej ketuhanan yangdibawa oleh Mawi.

Kerana itu menjadi harapan saya supaya Mawi dapat terus menonjolkan imej-imej yang positif sekaligus mempengaruhi para remaja kita agar berhibur dalam batas budaya dan adat ketimuran yang berlandaskan nilai-nilai agama. Mawi tidak harus dipengaruhi oleh budaya popular yang dibawa oleh media massa termasuk Astro yang menyungkil bakat Mawi sehingga menjadi juara Akademi Fantasia. Sebaliknya Mawi harus menukar budaya popular yang sekadar mengejar glamour kepada mencari keredhaan Allah.

Mawi seharusnya memperbetulkan KEKELIRUAN MINDA para remaja dan masyarakat tentang pendekatan Akademi Fantasia yang tidak mencerminkan Malaysia sebagai sebuah bangsa yang merdeka. Apa yang diceduk oleh Akademi Fantasia itu berteraskan cara hidup Barat yang tidak menggambarkan realiti dan aspirasi masyarakat kita. Bahkan ia mendorong pembaziran, mewujudkan budaya fanatik hedonisme dan kehidupan penuh fantasi. Mawi harus memahami kebimbangan yang diluahkan oleh Timbalan PerdanaMenteri.

Sebagai ikon baru para remaja, Mawi mesti mengambil kesempatan di atas populariti dan sokongan remaja ini untuk mengajak mereka hidup dalam budaya yang positif seperti menjauhi kemungkaran dan maksiat, tidak merokok, tidak mengambil dadah, tidak mengakses web-web lucah, menjalankan kewajipan agama dan seumpamanya. Dalam kata lain, Mawi mesti menjadikan hiburan sebagai satu medan untuk mengajak remaja menjadi orang yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Tidak ada gunanya Mawi sebagai seorang bekas qari, juara nasyid dan guru al-Quran turut membawa mesej yang sama seperti artis lain yang dianggap tidak senonoh dan tidak sesuai dengan cita rasa tempatan. Sokongan daripada pelbagai pihak termasuk parti politik terhadap peranan Mawi dalam membentuk idealisme baru remaja harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

Saya percaya dunia hiburan kita akan terus berhadapan dengan gelombang hiburan Barat yang melalaikan. Tetapi watak-watak seperti Mawi boleh mengubah keadaan ini dengan menggunakan pengaruhnya untuk membawa remaja kepada kehidupan positif.

Mawi perlu menggunakan kesempatan ini untuk mendidik remaja kita dengan cara hidup, dan pemikiran yang berteraskan agama dan jati diri bangsa Malaysia seperti yang disebutkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Prof Diraja Ungku Aziz.

Bagi menghadapi cabaran yang besar ini, saya berharap Mawi dapat menambahkan ilmu di dadanya sesuai dengan kedudukan beliau sebagai ikon yang membawa imej positif. Sangat tidak patut bagi seorang ikon jika hanya berupaya menghafal lirik lagu-lagu sahaja, sedang ilmu dan ketaqwaan tidak bertambah.

Walau bagamanapun, tanggungjawab besar untuk mengubah masyarakattdak adil untuk dbebankan sepenuhnya kepada Mawi, sebaliknya semua insan seni, budayawan dan media termasuk stesen tv, kerajaan yang perlu menyedia dan menguatkuasakan garis panduan serta para ulamak harus bersama-sama membimbing remaja kepada kehidupan yang lebih bermakna.

Mudah-mudahan karier Mawi sebagai penghibur, pendakwah dan pemacu jati diri remaja akan lebih cemerlang pada masa hadapan dengan membawa satu mesej SAYANGI REMAJA ASET NEGARA.


MAHFUZ OMAR
Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK)


No comments: