Tuesday, August 23, 2005

Antara jalur gemilang dan protes rakyat

Samada kita sedari ataupun tidak memang sempena perayaan ulangtahun kemerdekaan negara kali ini, tidak banyak kelihatan jalur gemilang dikibarkan terutama oleh tuan-tuan punya kenderaan.

Tahun-tahun sebelum ini kita sering melihat betapa jalur gemilang meriah dikibarkan oleh berbagai jenis dan saiz kenderaan yang berada di atas jalan dan lebuhraya negara. Pernah sampai keperingkat bendera-bendera kecil ini habis dipasaran walaupun ketika ianya dijual dan tidak diberi percuma.



Menteri Penerangan Kadir Sheikh Fadzir sehingga merungut sebagaimana dilaporkan oleh BERITA HARIAN:

Saya sedih kali ini apabila melihat Jalur Gemilang kurang dikibarkan berbanding tahun lalu. Oleh itu saya meminta seperti pemilik kenderaan supaya mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan mereka mulai sekarang dan tidak menunggu saat akhir.

Saya yakin keenganan mengibarkan jalur gemilang itu bukan kerana rakyat Malaysia tidak ataupun kurang patriotik. Rata-rata rakyat Malaysia dari berbagai bangsa dan keturunan memang cinta dan sayangkan tanahair ini.

Berkemungkinan keenganan mereka itu berpunca kerana ketidakpuasan hati bukan terhadap negara tetapi terhadap parti yang memerintah. Mereka protes dengan cara tidak mengibarkan bendera kerana mereka mungkin keciwa dengan pemimpin-pemimpin yang telah mereka berikan amanah untuk memimpin dan memerintah negara.

48 tahun merdeka tetapi kehidupan rakyat seolah tidak bebas dari berbagai beban yang semakin menghimpit kehidupan mereka. Yang paling hampir adalah kenaikan harga petrol bagi kesekian kalinya yang secara langsung telah menyumbang kepada kenaikkan harga berbagai barang dan perkhidmatan lain yang berkait langsung dengannya.

48 tahun merdeka, bumi dan perut laut kita memuntahkan minyak petroleum namun setiap kali harga minyak mentah naik di pasaran dunia setiap kali itulah bebanan kenaikan itu dipindahkan kepada rakyat. Rakyat bingung, sepatutnya naik harga minyak mentah dunia maka sepatutnya semakin makmur dan semakin sejahteralah rakyat, tetapi tidak!

Dalam hal ini Menteri berkenaan perlu menyuluh hati perut rakyat, jangan terkejut kiranya keenganan mengibarkan jalur gemilang itu sebenarnya lebih merupakan suatu aksi protes, satu civil disobedience terhadap kerajaan yang pada mereka sudah semakin meminggir dan mengabaikan kebajikan rakyatnya.

Kalau menteri sedih rakyat pun sedih juga kerana kehidupan mereka semakin terhimpit sedangkan kepada siapa mahu mereka adukan kesusahan mereka itu.

Selamat menyambut hari ulangtahun kemerdekaan negara ke 48. Merdeka!!!

No comments: