Thursday, August 25, 2005

Kerjasama Pemuda Umno dan PAS -
Serlahkan keikhlasan masing-masing

Musuh politik tradisi yang paling lama bertahan dalam gelanggang politik negara sejak sebelum Merdeka sehingga kini adalah Umno dan PAS.

Perbezaan pendekatan dan pegangan perjuangan antara Umno dan PAS sangat ketara lantaran itu ia telah menjadi jurang yang telah memisahkan antara kedua pihak samada pemimpin maupun penyokong dan ahli. Dan hal ini berterusan dan berlarutan sehingga ke hari ini.



Yang menariknya kedua pihak sebenarnya menagih sokongan dari kumpulan sasar yang sama. Umno dan PAS kedua-duanya bergantung sokongan rata-rata dari pengundi Melayu Islam dalam negara. Kerana itu saingan ini kadangkala menjadi tegang dan genting sehingga mencetuskan konflik yang namapak tidak berkemungkinan akan reda.

Walaubagaimanapun apabila tercetus perkara yang meruncing yang menjejas dan mencalarkan nasib dan masa depan kumpulannya ataupun kepentingannya sepatutnya kedua pihak perlu mengenepikan perbalahan dan bersatu demi kepentingan ummah.

Semasa menangani isu Palestin Presiden PAS dan Umno pernah berpidato atas pentas yang sama. Malah dalam Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri, pernah beberapa kali kedua-dua pihak dapat bersetuju atas perkara kepentingan bersama secara terbuka.

Lantaran itu apabila UTUSAN hari ini melaporkan dengan tajuk utama:

Pemuda UMNO, Pas bekerjasama tangani masalah sosial remaja

Saya merasakan ini merupakan satu perkembangan yang sangat sihat dan baik.

Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Tun Hussien dikatakan bersetuju bekerjasama dengan Pemuda Pas dalam menangani isu-isu membabitkan masalah sosial di kalangan remaja di negara ini. Malah telah mengarahkan beberapa anggota Exco pemudanya agar segera mengadakan perundingan dengan Exco Pemuda PAS.

Langkah ini mencerminkan kedewasaan dan kematangan berpolitik kedua-dua belah pihak. Mudah-mudahan ianya berjaya dan dapat dilanjutkan meliputi perkara-perkara lain yang melibatkan kepentingan bersama.

48 tahun Merdeka barangkali telah tiba masanya kita duduk berunding, jangan lagi ada anak Melayu Islam yang terpinggir, terabai dan tersesat. Duduk dan berundinglah dalam satu muzakarah sudah pasti jauh lebih baik dan bermanfaat dari kita berkonfrantasi dan hanya meluaskan jurang yang akan terus memisah dan merugikan kita.

Tahniah Salehuddin dan teruskan!

No comments: