Saturday, August 27, 2005

Isu Mawi ke Kelantan: Respon kepada tulisan Ibnu Aki

Apabila saya menulis artikel Undang Mawi: PAS tertekan atau Umno yang gelabah iaitu respon saya terhadap kenyataan Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Tun Hussien, sebagaimana dijangkakan saya telah menerima banyak respon dan maklum balas. Rata-rata respon yang diterima adalah positif belaka kecuali adalah satu dua kerat yang negatif termasuklah dari seorang penulis yang memperkenalkan dirinya sebagai Ibnu Aki.

Beliau tidak dapat menerima hujah saya lantas bertegas bahawa dalam isu Mawi ini kerajaan PAS Kelantan sememangya tertekan, tak secara langsung samalah nadanya itu dengan Hishamuddin walaupun beliau memuatkan disclaimer ataupun penafian bahawa beliau bukan penyokong Hishamuddin.

Beliau tidak dapat menerima rasional bahawa langkah kerajaan negeri ini perlu dilihat dari perspektif dakwah, yakni agenda dakwah untuk mendekati golongan remaja yang selama ini dibuai budaya hiburan yang tidak syarie.



Dan dalam ketaksuban beliau mempertahankan hujahnya beliau telah menyelitkan satu kenyataan yang saya kira tidak tepat yang cuba membawa maksud bahawa PAS Kelantan bersedia menggadaikan prinsip perjuangan apabila sahaja kedudukannya tercabar, beliau menyebut:

Saya berkata begitu kerana melihat gelagat pentadbitan PAS di Kelantan yang pada saya akan melakukan sesuatu, walaupun bertentangan dengan GAYA parti itu apabila merasakan diri mereka tergugat. Saya rasa itu perkara biasa dan memang realiti politik.

Kalau GAYA yang Ibnu Aki maksudkan itu merujuk kepada PRINSIP, umum mengetahui bahawa prinsip perjuangan PAS adalah Islam. Bermakna beliau cuba menuduh bahawa PAS Kelantan sanggup meminggirkan Islam semata-mata kerana kedudukannya tergugat. Ini satu tuduhan yang liar, jahat dan tidak berasas.

Tidakkah dengan cara menganjurkan konsert ini melalui peraturan dan syarat yang selaras dengan slogan Membangun Bersama Islam bermakna kerajaan negeri menagmbil inisiatif memperkenalkan satu alternatif kepada satu budaya yang asalnya tidak langsung mengambil kira prinsip dan kaedah Islam.

Sejak PAS menang di Kelantan pada tahun 1990 banyak aktiviti dan budaya yang asalnya tidak memiliki unsur Islami telah dirobah dengan menyuntikkan semangat Islam dan akhirnya menyelamatkan rakyat dan negeri dari belenggu dosa dan fitnah.

Adakkah apabila kerajaan negeri pimpinan Tok Guru mengalihkan akaun kerajaan negeri dari institusi kewangan konvensional kepada yang Islam maka Ibnu Aki turut melihatnya sebagai langkah tertekan. Begitu juga dengan tindakan tidak melesenkan lagi premis-premis judi, mengawal lesen arak, memperkenalkan 5 hari bekerja (yang kini ditiru pusat) dan banyak lagi juga dilakukan kerana tertekan?

Bukan tertekan saudara, ianya dilakukan sebagai tanggungjawab kerana PAS parti Islam, maka adalah menjadi tanggungjawabnya bila diberi amanah oleh rakyat untuk melaksana dan memperkenalkan sistem dan budaya Islam setakat mana kuasa yang ada padanya sebagaimana termaktub oleh Perlembagaan Persekutuan.

Wayang kulit, karaoke dan snooker juga demikian rupalah. Ia terpaksa diharamkan terlebih dahulu kerana pada asalnya memiliki unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam dan kemudiannya dibernarkan kembali setelah diterapkan beberapa syarat dan peraturan yang selari dengan Islam, salahkah metodologi sedemikian pada pandangan saudara?

Dalam bab konsert dan hiburan ini agaknya saudara tidak banyak mengikuti perkembangan di Kelantan sehingga menganggap ianya sebagai sesuatu yang baru. Ini bukan konsert pertama yang diizinkan oleh kerajaan negeri PAS malah telah banyak yang seumpamanya telah dibenarkan (termasuklah yang tidak dibenarkan namun yang dibuat juga oleh mereka yang kecewa yang separti dengan Hishamuddin dengan berselindung di belakang premis yang dimiliki kerajaan Persekutuan).

Konsert budaya termasuklah dikir barat, nasyid dan lain-lain telah banyak kali dianjurkan. Bekas penyanyi Rock Akil Hayy telah banyak menganjurkan konsert sekitar Kelantan yang turut dihadiri Tok Guru MB malah rocker terkenal Ito pernah menyanyi dalam satu konsert anjuran PAS di PUTIK. Malah THR (Time Highway Radio) pernah menganjurkan konsert promosi Pantai Timurnya, yang turut dihadiri oleh Timbalan MB Kelantan.

Oleh itu soalan saudara:

Yang menjadi tanda tanya kepada saya, sejak bila PAS berdakwah melalui hiburan?

telah terjawab dengan sendirinya, masalahnya saudara menulis tanpa mengikuti perkembangan semasa, oleh itu lain kali perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan tuduhan melulu.

Budak FELDA Taib Andak ini (gelaran yang Ibnu Aki berikan kepada Mawi) telah memperlihatkan kecenderungan beliau kepada mempromosi budaya hiburan secara Islam, keterampilan beliau banyak berbeza dari artis-artis lain. Lalu PAS Kelantan merasakan beliau sesuai untuk melebarkan lagi jaringan dakwah Islamiyahnya, bersalahkah mereka berbuat demikian?

Kita sepatutnya positif dalam hal ini dan sepatutnya turut menyumbang kea rah kejayaan matlamam mengislamkan masyarakat dalam serba-serbi kegiatan hidupnya. PAS di Kelantan memilki kerajaan, oleh itu ia perlu menggunakan kuasa yang ada ditangannya sebijak dan secermat mungkin untuk membuktikan yang Islam itu sesuai untuk semua masyarakat sepanjang zaman.

Lantaran itu Ibnu Aki dan sesiapa sahaja yang memiliki kecintaan terhadap Islam sewajarnya bersatu tenaga membantu kejayaan usaha ini.

Hishamuddin dan rakan-rakannya telah gagal menyelamatkan umat Islam khususnya anak-anak muda kita dari tenggelam ke dalam budaya hedonisma yang liar dan melalaikan. Oleh itu bila PAS serius dalam mengemukakan alternatif sudah pastilah mereka akan risau dan merasa tertekan.

PAS tidak tertekan, di Terengganu kita telah berusaha sedaya kita melaksanakn Islam, namun atas kempen Hishamuddin dan rakan-rakannya, kerajaan berteraskan Islam telah ditolak dan kini Terengganu kembali teraba-raba. Konsert liar sudah mula dianjurkan kembali, budaya-budaya lama yang dikawal dan dilarang PAS atas nama Islam telah dihidupkan kembali. Masjid dan surau kembali lesu dan lengang. Inikah yang kita mahu berlaku di Kelantan?

Saya berterima kasih atas pandanganIbnu Aki namun saya tetap dengan pandangan saya bahawa Umnolah tertekan dan gelabah apabila PAS mengundang Mawi dan bukan sebaliknya. Mudah-mudahan Allah swt menyelematkan kerajaan PAS di Kelantan.

No comments: