Monday, August 29, 2005

Sejarah kemerdekaan negara yang sengaja digelapkan (Bahagian I)



Tinggal beberapa hari lagi negara akan meraikan ulangtahun kemerdekaannya yang ke 48. Kebanyakkan dari pejuang kemerdekaan telah pun meninggalkan kita buat selama-lamanya, namun jasa dan pengorbanan mereka akan tetap abadi dalam lipatan sejarah.

Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar telah membuat kenyataan melalui Harakah edisi terbaru meminta supaya sambutan ulangtahun kemerdekaan kali ini akan menyingkap kemabli sejarah yang sebenar yang berlaku dalam perjuangan menuntut kemerdekaan termasuklah tokoh-tokoh pejuang yang benar-benar telah terlibat di dalam menyumbang kea rah kemerdekaan negara.

Umno sesungguhnya bukanlah pemilik tunggal perjuangan menuntut kemerdekaan dan hakikat ini perlu dibongkar untuk pengetahuan rakyat jelata khususnya jenerasi kini.

Malang sekali buku-buku sejarah di sekolah-sekolah rendah dan menengah sekadar mengagung-agungkan jasa para pejuang Umno semata-mata, seolah-olah Umno sahajalah yang bertanggungjawab memerdekakan bumi bertuah kita ini.

Hilang langsung jasa Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1939 jauh sebelum tarikh pendudukan Jepun di Tamah Melayu.Nama Ibrahim Hj Yaakub, pengasas KMM tidak mendapat tempat dalam sejarah versi kini. Menjelang penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu bermula tanggal 8 Disember 1941 penjajah British ketika itu telah mengisytiharkan darurat dan antara tahanan politik terawal dalam sejarah negara adalah barisan kepimpinan KMM ini iaitu seramai kira-kira 130 orang.

Ketika British menyerah kalah pada 15 Febuari 1942 Jepun telah memberi tempat kepada para pimpinan KMMwalaupun KMM tidak lagi dibenar bergerak. Antara ucapan Ibrahim Yaakub ketika itu sebagaimana yang tercatat dalam buku Ahmad Boestamam: Lambaian Dari Puncak (Memoir 1941-45) adalah:

Kemenangan tentera Jepun bukan bererti kemenangan bangsa Melayu. Kita mesti terus berjuang menuju cita-cita, dan kemenangan bangsa Melayu hanya akan datang apabila cita-cita yang kita perjuangkan itu tercapai.

Ibrahim Yaakub dan seorang lagi tokoh iaitu Dr Burhanuddin al Helmy terlibatb dalam usaha mengisytiharkan kemerdekaan negara bersama Indonesia melalui bantuan Jepun. Beberapa siri rundingan telah diadakan termasuklah yang melibatkan Sukarno dan Dr Hatta dari Indonesia. Cuma nasib tidak menyebelahi mereka, ketika persiapan akhir sedang dibuat , Jepun tiba-tiba menyerah kalah pada tanggal 15 Ogos 1945. Sukarno telah terus sahaja mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia tanpa Malaya pada tanggal 17 Ogos 1945 manakala Ibrahim Yaakob telah melarikan diri ke Indonesia.

Bermakna sebelum pun Umno bernyawa, telah ada usaha-usaha dan ikhtiar dari anak-anak bangsa untuk memerdekakan negara dari kuasa dan cengkaman penjajah. Mengapakah kita menyembunyikan fakta ini tiap kali negara memperingati ulangtahun kemerdekaan negara? (insyallah bersambung)

No comments: