Umno lain mahkamah lain: Pak Lah
Isu Pak Lah tegur para pemimpin Gerakan yang sedang hangat berkempen menghadapi pemilihan parti itu hujung minggu ini menjadi tajuk utama hampir semua akhbar tempatan hari ini. Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno Pak Lah dilaporkan menasihatkan para pemimpin Gerakan agar menyerahkan segala-galanya kepada para perwakilan mereka nanti.
Besar sungguh concern Pak Lah terhadap Gerakan itu sehingga ia menggerhanai satu lagi persoalan sensasi yang dikemukakan kepada beliau oleh para pemberita dalam sidang akhbar tersebut.
Pak Lah telah diminta memberi reaksi terhadap pandangan Rais Yatim (yang disiarkan dalam akhbar Siasah) bahawa kes pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno perlu disemak semula lantaran keputusan mahkamah sivil yang menolak samasekali seluruh isi kandungan buku karangan Khalid Jafri 50 Dalil Menapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.
Buku inilah merupakan bahan bukti utama dalam kes pemecatan Anwar dahulu semasa Dr Mahathir masih Presiden Umno.
Minggu lalu hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Hishamudin Mohamad Yunus telah memerintahkan agar Khalid Jafri membayar gantirugi sebanyak RM4.5 juta kepada Anwar Ibrahim kerana akibat dari tulisan buku beliau itu karier politik Anwar telah musnah sedangkan kandungannya fitnah semata-mata.
Malah dalam bulan Julai lalu hakim Mahkamah Sesyen Ampang Mohamad Saman Mohamed Ramli telah menjatuhkan hukuman 1 tahun penjara ke atas Khalid kerana bersalah di bawah seksyen 8A (1) Akta Mesin Cetak 1984. Kesalahnnya kerana mencetak malumat palsu di dalam buku beliau itu.
Ekoran perkembangan ini Rais secara jujur menyatakan perlunya kes pemecatan Anwar dari Umno pada tahun 1998 dahulu disemak semula.
Pak Lah jelas tidak bersedia memberikan sebarang reaksi melainkan berkata sebagaimana dilaporkan UTUSAN hari ini:
Kes-kes yang berkaitan dengan disiplin itu bukan perkara yang boleh dibawa ke mahkamah
Menurut laman web Malaysiakini Pak Lah turut berkata:
The sacking has happened and it cannot be changed. This was Umnos decision at that time and the court made its decision later.
Pemecatan itu telah pun berlaku dan ianya tidak boleh diubah lagi. Itu merupakan keputusan Umno ketika itu dan keputusan mahkamah ini hanya dibuat kemudian.
Sekaligus Pak Lah menafikan kesediaan untuk menyemak semula sesuatu keputusan berdasarkan bukti atau perjumpaan baru. Maka tertutup rapatlah pintu rayuan dan kemaafan dalam Umno walaupun terbukti keputusannya yang lepas itu juga palsu dan fitnah semata-mata!
Mana-mana sistem keadilan yang bertamaddun biasanya akan memberi peluang membuka kembali sesuatu kes jika terdapat penemuan baru yang mencabar bukti yang terdahulu. Hatta mayat yang telah ditanam atau disempurnakan pengkebumiannya pun boleh digali balik sekiranya terdapat bukti mengatakan ada perlakuan jenayah terhadap simati sebelum ia meninggal dunia.
Malang dalam Umno, parti yang pemimpinnya sedang ghairah mengejar kemajuan duniawi, rupa-rupanya sistem keadilannya sendiri tidak maju malah statik dan jumud. Sultan Melaka dahulu pun bersedia menyemak kembali keputusannya menghukum bunuh Hang Tuah inikan pula Presiden Umno, satu-satunya parti Melayu yang terbesar dalam dunia.
Lucunya apabila para pemberita terus menekan beliau, Pak Lah yang memang terserlah dalam bab menepis dan mencucui tangan itu berkata, sebagaimana dilaporkan oleh THE SUN:
You have to ask Rais about it. This is a court decision and has nothing to do with Umno matters.
Itu awak kena tanya Rais. Ini melibatkan keputusan mahkamah dan tidak ada kena mengena dengan masalah Umno.
Demikianlah al kisah parti Melayu terakhir dalam dunia, walaubagaimanapun saya yakin Datuk Seri Anwar sendiri pun tidak berminat langsung kembali ke riba Umno, cuma ini masalah prinsip, dan dari kenyataan Pak Lah di atas jelas beliau tidak memiliki prinsip langsung.
No comments:
Post a Comment