Tuesday, August 16, 2005

Muzakarah PAS dan Umno jangan berlengah lagi

PAS dan Umno merupakan dua pemain besar dalam gelanggang poltik negara sejaka pra kemerdekaan lagi. Kedua-duanya mewakili sebilangan besar rakyat Melayu yang beragama Islam dalam negara. Kedua-duanya telah melahirkan ramai pemimpin Melayu Islam yang besar-besar belaka.

Cumanya PAS dan Umno masing-masing memiliki kaedah, pendekatan dan matlamat perjuangan yang berbeza. Perbezaan inilah yang melahirkan jurang yang memisahkan kedua-dua pihak. Selagi tidak ada usaha untuk merapatkan jurang ini maka selagi itulah PAS dan Umno akan terus bertelagah dan berperang sesama sendiri.


Hakikatnya para pengundi Melayu Islam, melainkan penyokong tegar masing-masing, sebenarnya sentiasa beralih dari PAS ke Umno dan sebaliknya dari satu pilihanraya ke satu pilihanraya. Bermakna bagi orang Melayu Islam rata-rata cuma ada dua parti besar yang memberikan keselesaan bagi mereka sejak dari Merdeka, iaitu samada PAS ataupun Umno.

Hujung minggu lalu Presiden PAS dalam sidang akhbarnya sejurus selesai mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat telah sekali lagi menyatakan kesediaan beliau dan partinya untuk duduk bermuzakarah bersama Umno.

Dalam suasana isu kontrak sosial dan hak istimewa Melayu ini sedang hangat diperkatakan, memang sesuai sangatlah PAS dan Umno duduk berunding dan berbicara. Mulakan dengan persamaan, kita sama-sama beragama Islam, bergerak dari situ. Jangan ditonjolkan perbezaan kerana itu akan hanya menjadi batu penghalang.

Pentadbiran Palestin dan Rejim Yahudi, dua musuh tradisi sejak zaman berzaman pun boleh duduk semeja dengan penuh adab dan hormat menghormati, berbincang dan berunding, inikan pula PAS dan Umno.

Dalam akhbar UTUSAN MALAYSIA hari ini, Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yasin, yang mengulas isu muzakarah ini telah memaksa agar PAS menerima Islam Hadhari terlebih dahulu sebelum bermuzakarah. Akhbar tersebut melaporkan:

Pas perlu terlebih dahulu menerima prinsip Islam Hadhari sebagai pembuka jalan bagi mencapai hasratnya untuk mengadakan muzakarah dengan UMNO.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, muzakarah di antara kedua-dua parti itu tidak akan memberi makna selagi Pas memutarbelitkan perjuangan UMNO.

Janganlah mahu mengenakan syarat dan peraturan. Kalau Umno mahu PAS menerima Islam Hadhari terlebih dahulu nanti PAS pula akan mendesak agar Umno pula menerima Dokumen Negara Islamnya, akhirnya apa pun tak jadi.

Kalau kedua-dua pihak ikhlas jangan mana-mana pihak menetapkan sebarang syarat. Yang penting adalah nasib dan masa depan ummah. Duduklah berunding secara sivik, insyallah kalau benar-benar ikhlas dan jujur Allah swt akan membuka lorong-lorong yang kelak memanfaatkan kedua-dua pihak.

Saya pasti ramai rakyat Malaysia yang beragama Islam menunggu-nunggu majlis Muzakarah ini serta hasilnya.

No comments: